Hadis palsu cintakan negara

Menjelang hari kemerdekaan Malaysia yang ke 56, antara hadis palsu yang popular mengenai cinta kepada negara ialah

 حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الايمَان
Maksudnya: Cintakan negara adalah sebahagian daripada Iman


Ulasan para Ulama' berkenaan hadis ini:
  • Ibn al-Jauzi telah menulis dalam kitabnya Al-Maudhua't bahawa Imam As-Shaghani berpendapat hadis ini adalah palsu. 
  • Mulla Al-Qari dalam al-Masnu' fi Ma'rifat Hadith Al-Maudhu' menyatakan hadis ini tidak ada asal usulnya di sisi para ulama' Hadis

Islam memang tidak pernah melarang umatnya untuk cinta dan sayang kepada negara, akan tetapi ianya perlulah dengan tujuan dan matlamat untuk memartabatkan agama Islam di negara kita. Cinta kepada negara semata-mata bukanlah tuntutan sebenar syarak, ianya pelu dibuktikan dengan membangunkan negara dengan kaedah yang telah di ajar oleh syarak. Islam merupakan agama yang syumul dang lengkap, Nabi saw juga telah memberi contoh dan tauladan bagaimana cara mentadbir negara, tidak lupa juga tauladan yang dibawa oleh Khulafa' Ar-Rasyidin.

Orang Islam juga telah disuruh untuk mempertahankan negara dengan tujuan membela agama Islam dan memulihara Islam di negara tersebut. Berbeza dengan orang bukan Islam, mereka mempertahankan nergara demi cintakan negara semata-mata, ini disebut oleh Allah di dalam surah An-Nisa' ayat 66 yang bermaksud:



Dan Sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. dan Sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) Yang telah diberikan kepada mereka, tentulah Yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).



Kata-kata Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin dalam syarah Riyadh As-Shalihin

" Sesorang yang berperang hanya untuk membela negeri/negaranya sahaja maka dia tidak dikira sebagai mati shahid jika dia gugur di medan perperangan. Kewajipan keatas orang Islam yang tinggal di dalam negara Islam untuk berjuang mempertahankan negaranya demi Agama Islam yang ada di negara tersebut"

Kesimpulannya, tidak salah untuk kita mempunyai semangat cintakan tanah air, tetapi sebagai orang islam ianya perlu disatukan dengan tujuan demi mempertahankan Agama Islam dan untuk memastikan Islam kekal di negara kita, jangan hanya cinta dengan membuta tuli, kerana itulah yang membezakan kita dengan orang bukan Islam. Kita juga jangan lupa bahawa nikmat kebebasan dan Merdeka ini diberikan oleh Allah, dan kerana keizinan Allah, maka jangan lupa untuk kita bersyukur kepadanya. 




Wallahualam

Rujukan: 40 Hadis palsu popular. Abdul Razak Muthalib. PTS pub