Fidyah Puasa menurut 4 Mazhab



Apa itu fidyah?

Fidyah merupakan bayaran yang dikenakan keatas orang-orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan syarak. Hukum membayar fidyah adalah wajib bedasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184.


Sebab-sebab yang diwajibkan fidyah:


  • Tidak mampu puasa : Semua fuqaha sepakat bahawa lelaki atau wanita yang tidak mampu berpuasa kerana sakit tua, wajib membayar fidyah. Jika mereka sukar berpuasa pada bulan Ramadhan, maka dibolehkan untuk tidak berpuasa dan membayar fidyah mengikut hari yang tidak berpuasa. Menurut Ibn Abbas, ayat 184 surah al-Baqarah ini juga menjadi rukhsah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa. Jika ia tidak mampu membayar kafarah, warisnya diwajibkan untuk membayar kafarah untuknya, namun jika warisnya atau orang yang menanggungnya tidak mampu, maka menurut mazhab hanafi ia perlu beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah Azza Wa Jal. 

  • Orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh : Ulama bersepakat orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa dan tidak ada harapan sembuh boleh membayar kafarah mengikut hari yang tidak mampu ia berpuasa. Jika ia ada harapan sembuh maka puasanya boleh diqadha' selepas itu, dan tidak perlu membayar fidyah. 

  • Wanita hamil atau yang sedang menyusu : Jumhur Bersepakat wanita yang sedang hamil atau yang mesnyusukan anak, boleh untuk tidak berpuasa jika khuatir akan menjejaskan kesihatan atau memudaratkan diri. Tetapi mereka wajib menqadha' puasa dan membayar fidyah. Namun menurut Mazhab Hanafi hanya wajib qadha' tidak perlu membayar fidyah. 

  • Orang yang tidak Qadha' puasa Ramadhan hingga tiba Ramadhan yang berikut : Jumhur berpendapat orang yang tidak habis Qadha' puasa Ramadhannya hingga tiba Ramadhan yang berikut maka ia wajib Qadha' dan dikenakan fidyah mengikut jumlah hari yang tertinggal. Namun Mazhab Hanafi pula hanya wajib untuk Qadha' sahaja tanpa dikenakan fidyah.

Berapakan jumlah fidyah?

Menuruh Mazhab Hanafi, jumlah fidyah ialah setengah Sha' gandum, boleh juga dibayar dengan nilainya mengikut wang ringgit. Jumhur pula menyatakan bahawa jumlah fidyah ialah satu Mud makanan asas untuk satu hari tertinggal puasa. Kiraan Sha' atau Mud boleh rujuk artikel Kafarah.


Wallahu'alam

Kafarah Puasa menurut 4 Mazhab




Apa itu Kafarah?

Kafarah ialah denda yang dikenakan ke atas orang yang membatalkan puasanya secara sengaja dan atas kehendaknya sendiri. Mereka dikenakan kafarah kerana melanggar kesucian bulan Ramadhan dengan sengaja, tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Hukum kafarah adalah wajib jika batal puasanya dalam bulan Ramadhan sahaja.

Dalam keadaan apa dikenakan kafarah?

Kafarah tidak dikenakan ke atas semua jenis keadaan yang membatalkan puasa. Kafarah hanya dikenakan jika orang yang membatalkan puasanya dalam-dalam keadaan berikut (semuanya yang hanya terjadi dalam bulan Ramadhan sahaja):

1) Mazhab Hanafi

  • Memasukkan sesuatu kedalam mulut dengan sengaja. Sama ada makanan atau tidak. seperti rokok, shisha dan lain-lain. Termasuk juga jika seseorang yang makan kerana menyangka puasa batal kerana melakukan sesuatu, sedangkan tidak batal, seperti berbekam atau bercium dengan istrinya. Jika ia makan kerana menyangka perbuatan itu membatalkan puasanya sedangkan sebenarnya tidak maka wajib juga dikenakan kafarah, kecuali ia telah diberitahu oleh ahli fiqh bahawa puasnya memang batal. 

  • Berjimak dengan sengaja. Melalui lubang faraj atau dubur, walaupun sentuhan berlaku tanpa enjakulasi, dengan syarat objek itu adalah seorang manusia yang hidup yang boleh manaikkan nafsu.  Seorang wanita juga wajib dikenakan kafarah jika ia membiarkan dirinya disetubuhi budak yang belum baligh dan orang gila. 



2) Mazhab Maliki

Perkara-perkara yang membatalkan puasa yang diwajibkan untuk qadha' puasa dan dikenakan kafarah. 


  • Bejimak dengan sengaja pada siang hari, walaupun tidak mengeluarkan mani. Apabila zakar telah masuk sahaja ke dalam faraj maka dikira sebagai jimak. Juga terjadi jika melakukannya dengan binatang. Jika berjimak dalam keadaan lupa maka ia tidak akan dikenakan kafarah. Jika seorang lelaki berjimak dengan seorang wanita yang sedang tidur atau memaksa wanita itu bersamanya, maka lelaki itu perlu membayar kafarah atas dirinya dan atas wanita itu, begitu juga sebaliknya jika wanita yang melakukan. Jika dua-dua melakukan dengan sengaja maka setiap orang perlu bayar kafarah atas dirinya.

  • Mengeluarkan mani atau madzi dalam keadaan sedar. Jika melakukan onani, atau bercumbuan seperti bercium, atau bercumbu tanpa melakukan sentuhan di kemaluan, sehingga menegeluarkan mani atau madzi maka batallah puasanya, dan dikenakan kafarah. Namun jika dia hanya memandang seseorang dan berkhayal yang menyebabkan maninya keluar, maka tidak dikenakan kafarah, tetapi puasanya batal, jika hanya keluar madzi puasanya tidak batal. Tetapi jika seseorang itu memang kebiasannya akan keluar mani jika memandang seseorang, maka ia akan dikenakan kafarah.

  • Makan dan minum dengan sengaja. Walaupun memasukkan sesuatu yang bukan makanan, ia dikira juga sebagai makan dan minum. Termasuk juga muntah dengan sengaja kemudia menelan semula muntah itu, ini semua termasuk dalam perkara yang dikenakan kafarah. Namun tidak wajib bayar kafarah jika termasuk sesuatu melalui rongga selain mulut seperti hidung dan telinga.

  • Berniat untuk berbuka pada siang hari. dan Sengaja berbuka tanpa ada uzur yang dibenarkan.


3) Mazhab Syafie & Mazhab Hanbali

Mazhab Syafie hanya 1 perkara yang membatalkan puasa dan dikenakan kafarah malah dikenakan ta'zir. Iaitu berjimak dengan sengaja. Dengan syarat ia sudah berniat puasa pada malam harinya, melakukannya dengan sengaja dan tahu akan haramnya perbuatan itu, puasanya batal kerana berjimak (Jika ia sudah batal puasa dengan perkara lain seperti makan, kemudian ia berjimak maka tidak dikenakan kafarah), dia berdoa dengan perbuatan ini (tidak ada kafarah jika belum baligh, atau orang yang mendapat rukhsah, seperti orang yang sedang bermusafir yang boleh untuk tidak puasa, dan ia berbuka dengan berjimak), dia yakin puasanya sah, dan tidak ragu-ragu, jimak berlaku pada lubang faraj atau dubur wanita yang hidup atau mati juga haiwan, selain itu tidak dikenakan kafarah. 



Bentuk-bentuk Kafarah


Kafarah puasa adalah sama seperti kafarah zhihar dan kafarah membunuh tanpa sengaja, iaitu wajib mengikut urutan.

  1. Merdekakan hamba :  Hamba yang ingin dimerdekakan perlu yang beriman (menurut jumhur kecuali mazhab hanafi), tidak mempunyai kecacatan yang menghilangkan fungsi untuk berjalan bercakap berfikir dan melihat. 
  2. Berpuasa dua bulan Qamari (bulan hijrah) berturut-turut : Jika tidak sanggup merdekakan hamba sama ada tidak mempunyai hamba atau tidak mampu, maka kafarahnya ialah berpuasa selama dua bulan qamari berturut-turut, tanpa diselangi dengan hari-hari tasyriq atau hari raya. Hanya boleh diselangi jika ada uzur syarie seperti wanita yang datang haid, atau orang sakit yang tidak mampu berpuasa tetapi sakitnya akan sembuh, atau orang yang gila, atau orang yang lupa, atau orang yang tersilap kiraan hari, atau orang yang nifas, atau orang yang pingsan dalam keadaan lama. Menurut mazhab hanafi pula selain dari uzur haid maka wajib mula dari awal jika terbatal puasanya. Selain dari itu jika ia terbatal puasanya maka perlu ulang semula kiraan dua bulan dari awal. Tidak sah puasanya jika ia mampu merdekakan hamba, jika dia sedang berpuasa kemampuan itu datang maka ia wajib merdekakan hamba walaupun puasanya pada hari terkahir menurut mazhab hanafi. Menurut Jumhur pula tidak wajib, ia boleh teruskan puasanya, kecuali jika dia benar-benar mahu merdekakan hamba. 
  3. Memberi makan 60 orang miskin : Jika tidak mampu berpuasa, makan kafarahnya ialah memberi makan 60 orang miskin, setiap seorang perlu diberi 1 Mud gandum (menurut pendapat Jumhur). 1 Mud bagi mazhab hanafi bersamaan 714.5 gram, mazhab syafie dan hanbali pula 1 mud bersamaan 510 gram, Mazhab maliki pula bersamaan 506.5 gram. Gandum buleh juga diganti dengan makanan ruji seperti beras. Menurut mazhab hanafi pula setiap orang miskin perlu diberikan 2 Mud gandum, atau 1 Mud pagi 1 Mud petang. Atau boleh diberi 1/2 Sha' kurma, 1 Sha' bersamaan dengan 2.7kg. Kurma juga boleh diganti dengan kismis kering menurut hanafi, atau boleh juga diganti dengan nilai duit. Orang yang menerima kafarah tidak boleh beri makanan kafarah itu kepada keluarganya (yang dibawah tanggungannya).

Mazhab Maliki pula tidak mewajibkan mengikut urutan, orang yang dikenakan kafarah bebas memilih yang mana, dan yang paling afdhal ialah memberi makan orang miskin. 


Bagaimana jika kesalah yang dikenakan kafarah berulang?

Jika kesalahan itu berlaku dalam hari yang sama, semua mazhab bersepakat bahawa hanya dikenakan satu kafarah sahaja. Seperti seseorang telah berjimak, dan belum membayar kafarahnya telah berjimak sekali lagi pada hari yang sama, maka hanya dikira 1 kafarah. 

Tetapi jika dilakukan pada hari yang berbeza, maka dikenakan kafarah mengikut jumlah harinya itu menurut pendapat jumhur. Menurut Hanafi pula cukup 1 kafarah sahaja jika ia melalukan beberapa kali walaupun pada hari yang lain. 


Bagaimana jika terdapat keuzuran syarie selepas melakukan kesalahan?

Jika seseorang itu membatalkan puasanya seperti berjimak, kemudian terjadinya keuzuran yang dibenarkan membatalkan puasa itu datang selepas berjimak, maka ia tetap dikenakan kafarah. Seperti seseorang telah berjimak, kemudian ia sakit, atau bermusafir, atau wanita yang datang hadi setelah berjimak ketika puasa, maka keuzuran itu tidak menghalangnya dari dikenakan kafarah. 

Mazhab hanafi pula kafarahnya gugur jika keuzuran itu datang selepas melakukan kesalahan. Kecuali jika orang bermusafir, orang yang bermusafir setelah berjimak tetap dikenakan kafarah. 



Wallahualam