Apa itu fidyah?
Fidyah merupakan bayaran yang dikenakan keatas orang-orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan syarak. Hukum membayar fidyah adalah wajib bedasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184.
Sebab-sebab yang diwajibkan fidyah:
- Tidak mampu puasa : Semua fuqaha sepakat bahawa lelaki atau wanita yang tidak mampu berpuasa kerana sakit tua, wajib membayar fidyah. Jika mereka sukar berpuasa pada bulan Ramadhan, maka dibolehkan untuk tidak berpuasa dan membayar fidyah mengikut hari yang tidak berpuasa. Menurut Ibn Abbas, ayat 184 surah al-Baqarah ini juga menjadi rukhsah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa. Jika ia tidak mampu membayar kafarah, warisnya diwajibkan untuk membayar kafarah untuknya, namun jika warisnya atau orang yang menanggungnya tidak mampu, maka menurut mazhab hanafi ia perlu beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah Azza Wa Jal.
- Orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh : Ulama bersepakat orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa dan tidak ada harapan sembuh boleh membayar kafarah mengikut hari yang tidak mampu ia berpuasa. Jika ia ada harapan sembuh maka puasanya boleh diqadha' selepas itu, dan tidak perlu membayar fidyah.
- Wanita hamil atau yang sedang menyusu : Jumhur Bersepakat wanita yang sedang hamil atau yang mesnyusukan anak, boleh untuk tidak berpuasa jika khuatir akan menjejaskan kesihatan atau memudaratkan diri. Tetapi mereka wajib menqadha' puasa dan membayar fidyah. Namun menurut Mazhab Hanafi hanya wajib qadha' tidak perlu membayar fidyah.
- Orang yang tidak Qadha' puasa Ramadhan hingga tiba Ramadhan yang berikut : Jumhur berpendapat orang yang tidak habis Qadha' puasa Ramadhannya hingga tiba Ramadhan yang berikut maka ia wajib Qadha' dan dikenakan fidyah mengikut jumlah hari yang tertinggal. Namun Mazhab Hanafi pula hanya wajib untuk Qadha' sahaja tanpa dikenakan fidyah.
Berapakan jumlah fidyah?
Menuruh Mazhab Hanafi, jumlah fidyah ialah setengah Sha' gandum, boleh juga dibayar dengan nilainya mengikut wang ringgit. Jumhur pula menyatakan bahawa jumlah fidyah ialah satu Mud makanan asas untuk satu hari tertinggal puasa. Kiraan Sha' atau Mud boleh rujuk artikel Kafarah.
Wallahu'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan