Dalam menjaga Maqasid Syariah, 3 perkara utama perlu ditekankan. Iaitu Maqasid Daruriyat, Maqasid Tahsiniyyat, dan Maqasid Hajiyat. Di dalam ketiga-tiga ini terdapat pelengkap yang dinamakan Mukammil, dan perkara yang melengkapkannya di sebut Mukammal. Menurut Imam Syatibi terdapat lima kaedah yang menjaga tiga perkara ini, ia dinamakan sebagai Qawaid Maqasidiyah.
1) Keperluan Asasi itu merupakan dasar bagi jenis Maqasid yang lain. Iaitu Keperluan tambahan dan kesempurnaan.
Keperluan asasi ini menjadi sumber paling utama dan yang paling penting untuk di jaga. tanpa keperluan asasi ini maka keperluan yang lain tidak akan lengkap. Ia boleh diibaratkan seperti dalam pembinaan sebuah rumah perkara paling asas adalah tianggnya. bagaimana mahu memasang bumbung jika tiangnya tidak ada.
Keperluan asasi ini perlu menjaga Agama, Nyawa, Akal, Harta, Akal.
2) Ketiadaan keperluan asasi pasti akan menghilangkan jenis Maqasid keperluan tambahan dan kesempurnaan.
Apabila Keperluan asasi ini hilang, maka apa-apa perkara yang berkait dengannya juga akan hilang. Sama seperti contoh diatas, apabila tiang rumah tidak dapat didirikan, bagaimana boleh di bina bumbung dan sebagainya.
Sama juga dalam masalah ibadat, Apabila hilang kewajipan untuk menunaikan solat bagi wanita yang haid, maka gugur juga kewajipan untuk berwuduk, dan perkara-perkara wajib yang lain yang bergantung terhadap perkara asasi tadi.
3) Ketiadaan keperluan tambahan dan kesempurnaan bukan menjadi faktor utama ketiadaan atau hilangnya keperluan asasi.
Berlawanan dengan perkara ke 2, Keperluan asasi tidak akan terjejas jika perkara tambahan atau kesempurnaan tidak ada. Sebuah rumah yang ada tiang bumbung,tetapi tidak ada dinding tetap dikira sebagai rumah,walaupun tidak sempurna. Solat juga sah jika tidak ada keperluan tambahan seperti doa ketika sujud, dan keperluan kesempurnaan seperti bacaan surah atau doa sebelum salam.
4) Kebarangkalian yang biasa berlaku apabila ketiadaan keseluruhan keperluan tambahan atau keperluan kesempurnaan akan menjadi kekurangan pada keperluan asasi.
Walaupun dalam perkara 3 kita menyatakan bahawa tanpa keperluan tambahan dan kesempurnaan, keperluan asasi masih sah, tetapi tidak dinafikan bahawa ianya akan menjadi cacat, atau akan menjadi kekurangan dari pelbagai sudut.
Seperti solat, walaupun sah solatnya tanpa bacaan sunat, tetapi ianya cacat, dan tidak menjadi satu solat yang baik. Boleh diandaikan bahawa keperluan asasi ini sebagai fardhu, keperluan tambahan sunat muakkad,dan keperluan kesempurnaan sebagai sunat.
5) Ketetapan memelihara keperluan tambahan dan keperluan kesempurnaan demi menjaga keperluan asasi.
Kaedah ini merupakan pelengkap kepada yang sebelum ini. Kita maklum bahawa tanpa keperluan tambahan dan kesempurnaan keperluan asasi akan dilihat cacat, maka Maqasid menuntut agar kita memelihara juga keperluan tambahan dan kesempurnaan ini agar keperluan asasi kita dilihat cantik. Ia merupakan perhiasan bagi perkara asas.
Semua ibadat-ibadat fardhu memerlukan perkara sunat bagi mencantikkan lagi fardhu itu, begitu juga dengan kehidupan biasa. dinding lantai pintu tingkap merupakan penambahan yang penting untuk kehidupan di rumah menjadi lebih selesa, bagi sempurnakan lagi perlu ada sofa meja dan lain-lain.
Oleh itu, tiga keperluan ini saling berkait dan perlu dijaga, cumanya keperluan asasi itu perlu lebih dipelihara dan dipastikan ianya sempurna.
Wallahualam