Larangan tergesa-gesa ke Masjid


بسم الله الرحمن الرحيم



Seringkali kita lihat di masjid-masjid apabila telah dilaungkan Iqamat, ramai jemaah-jemaah yang berlari-lari dengan tujuan untuk dapat rakaat pertama, atau supaya tidak masbuq. Perkara sebegini dilarang di dalam Islam, sehinggakan ada yang mengambil wudhuk dengan tidak sempurna kerana terlalu gopoh untuk mengejar solat. Betul mendapat rakaat pertama itu lebih baik, tetapi ianya tidak bermakna kita harus berlari berkejar berpenat lelah untuknya, jika betul-betul inginkan, maka datanglah lebih awal, jika terlambat maka bertenanglah. Larangan ini adalah berasaskan ayat yang berikut:



ياأيها الذين ءامنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعو إلى ذكر الله

Maksudnya: "Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah"
Surah Al-Jum'ah:9


Melalui ayat ini, Allah telah memerintahkan kita untuk segera pergi ke masjid apabila dikumandangkan azan Jumaat secara khusus, dan azan solat secara umumnya. Tetapi perintah Allah ini bukanlah bermaksud segera dalam bentu berjalan, tetapi segara dalam bentuk tindakan, Dr Wahbah Az-Zuhaily dalam kitabnya Tafsir al-Munir menerangkan perkataan السعىdi dalam ayat 9 surah Jummah di atas bukanlah maksud berjalan, sebaliknya bermakna mengambil berat tentang solat apabila dikumandangkan azan. Ini selari dengan firman Allah:


ومن أراد الاخرة وسعى لها سعيها وهو مؤمن


Maksudnya: "Dan sesiapa Yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal Yang baik untuk akhirat Dengan usaha Yang layak bagiNya, sedang ia beriman"
Surah Al-Israa':19


Berjalan secara tergesa-gesa adalah dilarang, malah kita disunnahkan untuk berjalan dengan tenang dan tidak terburu-buru. Larangan ini adalah berdasarkan hadis dari Rasulullah dari Abu Hurairah:


إذا سمتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوقار ولا تسارعوا فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: Apabila kamu mendengar Iqamat, pergilah bersolat dengan melangkah dengan tenang dan bersahaja. Janganlah tergopoh-gopoh. Mana yang sempat kalian teruskan, dan yang mana kalian tertinggal maka kalian sempurnakanlah.
(Hadis riwayat: Jamaah kecuali Tirmizi)

Dalam hadis yang lain, Abu Qatadah telah mencerikatak: " Ketika kami sedang bersolat dengan Rasulullah, tiba-tiba baginda mendengar bunyi hingar bingar orang yang bergegas di belakang. Selesai solat, baginda bertanya: "Apa halnya kamu tadi?" Mereka menjawab: " Kami tergesa-gesa sebentar tadi untuk mengikuti solatmu" Baginda bersabda: " Jangan ulangi lagi perbuatan itu, Sekiranya kamu datang untuk bersolat, datanglah dengan tenang. Apa yang kamu dapat teruskan, Manakala apa yang tertinggal sempurnakanlah"
(Hadis riwayat: Bukhari & Muslim)

At-Tirmizi juga telah meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah:


إذا أقيمت الصلاة فلا تأتوها تسعون ولكن ائتوها تمشون وعليكم السكينة فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: Apabila solat didirikan maka janganlah kamu datang dengan tergopoh-gapah, Sebaliknya datanglah dengan tenang dan bersahaja. Mana yang sempat kamu teruskan, dan mana yang tertinggal maka kamu sempurnakanlah.



TETAPI perlulah ingat bahawa maksud berjalan dengan tenang dan bersahaja itu bukanlah bermakna bahawa kita boleh berlenggang ketika berjalan, ataupun apabila dengar azan kita membuat perkara lain terlebih dahulu, ataupun ketika berjalan kita sengaja membuang masa. Maksud berjalan yang dimaksudkan di dalam hadis berikut adalah kita tidak tergopoh, seperti tidak berlari ketika datang ke masjid, tidak memecut motor atau kereta dengan laju dan sebagainya.

Sebaiknya apabila mendengar azan kita terus bersiap dan pergi ke masjid dengan tenang dan berdoa lah sepanjang perjalan, jangan takut untuk masbuq, jangan takut untuk terlepas rakaat, inilah yang sebaiknya yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan