Memaparkan catatan dengan label hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hadis. Papar semua catatan

Umur Saydatina Khadijah r.a 40 tahun ketika berkahwin dengan Nabi Muhammad saw. Benarkah?

Mukaddimah

Seringkali kita dengar bahawa umur Khadijah ketika perkahwinannya dengan Rasulullah adalah ketika berusia 40 tahun. Malah dalam silibus pengajian sirah di sekolah-sekolah agama juga mengajar perkara yang sama. Perkara ini sudah sebati dalam masyarakat Islam kita di Malaysia. 

Namun kisah ini terdapat beberapa percanggahan jika dikaji kronologi riwayat hidup saydatina Khadijah. Pertama dari sudut akal dan sains, apakah seseorang yang berusia 40 tahun mampu melahirkan 7 orang anak? Sudah tentu tidak. Terdapat pihak-pihak yang menyatakan bahawa ini merupakan mukjizat Nabi, dan kelebihan yang diberikan oleh Allah, ada juga yang menggunakan hujah Allah Maha Berkuasa. 

Tidak dinafikan kekuasaan Allah ini, namun kita perlu sedar secara sunnatullah semua penciptaan yang ada di dunia ini diciptakan oleh Allah melalui satu proses kejadian. Daripada penciptaan Alam semesta, bumi, tumbuhan, dan manusia. Semua ini Allah telah terangkan proses kejadiannya. Adakah Allah tidak mampu menciptakannya dengan sekelip mata? Sudah tentu Allah mampu malah lebih dari itu kekuasaan Allah. Proses kejadian ini adalah kerana untuk manusia berfikir, belajar, dan melihat kekuasaan Allah, hanya segelintir keadaan sahaja Allah menjadikan sesuatu di luar kebiasaan.

Kisah ini juga telah dieksploit oleh golongan syiah, yang mendakwa bahawa Khadijah sebenarnya berkahwin lebih dari 40 tahun, dan hanya melahirkan Fatimah pada tahun kelima kenabian Nabi. Disebabkan itu Fatimah tidak mengiktiraf Zainab Ruqayyah dan Ummu Kalthum sebagai anak Nabi. Dakwaan mereka ini juga menunjukkan umur Khadijah ketika melahirkan nabi adalah 60 tahun. 

Kita perlu sedar bahawa agama dan sains tidak mungkin dapat dipisakan, justeru kisah Khadijah ini amat tidak bertepatan dengan logik sains, dan juga kisah ini akan memberi ruang kepada golongan yang memusuhi Islam untuk menghina junjungan mulia kita Rasulullah saw.

Pendapat Ulama

Ulama berbeza pendapat berkaitan umur sebenar Khadijahj ketika berkahwin dengan Nabi. Ada yang kata 40 tahun, ada yang menyatakan 35 tahun, 30 tahun, 27 tahun dan 25 tahun. Belbagai pendapat-pendapat yang dikemukan. 

Ulama yang menyatakan umur Khaidjah 40 tahun adalah dari golongan syiah. Dan mereka tidak menerima langsung pendapat lain. Menurut Imam Ibn Kathir:

" Al-Baihaqi telah memetik daripada al-Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah ra, Baginda berumur 25 tahun, dan Khadijah ra berumur 35 tahun. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa Khadijah berumur 25 tahun, sebaya dengan Rasulullah. "
(Kitab al-Bidayah wa an-Nihayah. Jilid 2, halaman 295)

Manakala usia Khadijah ketika wafat pula ada yang mengatakan 65 tahun, dan ada yang kata 50 tahun. Pendapat yang Khadijah berusia 50 tahun adalah lebih teppat.
(Kitab al-Bidayah wa an-Nihayah. Jilid 2, halaman 294)

Semua ulama hadis & sejarah bersepakat bahawa Khadijah telah menjalani hidup bersama nabi selama 25 tahun, dan wafat pada tahun ke-10 kerasulan Nabi saw. Melalui pendapat yang paling tepat usia kewafatan Khadijah pada usia 50 tahun, dan kesepakatan ulama tempohnya menjadi isteri Nabi saw selama 25 tahun, maka usia Khadijah ra ketika menjadi isteri nabi ialah 25 tahun. Pendapat ini paling tepat berbanding yang lain, dan ia juga telah disahkan oleh Al-Hafiz Ibn Kathir.

Wallahualam.


Rasulullah seorang suami yang terbaik



بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah bersabda:


خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي

Maksudnya: Sebaik-baik orang diantara kamu adalah yang berbuat kepada keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dikalangan kamu terhadap keluargaku


Kita sudah maklum bahawa Rasulullah seorang yang sangat sempurna, yang mana Allah telah menjadikan Rasulullah sebagai insan untuk dijadikan tauladan. Sifat Rasulullah yang lembut dan tidak mudah marah juga menjadikan begainda seorang yang amat romantik serta yang paling baik melayani isteri-isterinya.

Wanita diciptakan Allah daripada tulang rusuk lelaki, iaitu penciptaan hawa melalui tulang rusuk adam. Malah seorang lelaki mempunya kurang 1 tulang rusuk sebelah kiri berbanding lelaki, melalui penciptaan ini kita tahu bahawa tulang rusuk itu bengkok, dan ia akan patah jika dipaksa untuk meluruskan. Wanita memerlukan perlindungan seorang lelaki, seorang isteri perlukan perlindungan dan bimbingan suaminya, memalui inilah Rasulullah memberikan perumpamaan kepada para suami cara yang terbaik untuk mendidik isteri. Sabda Rasulullah:

فإن المرأة خلقت من ضلع وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه فإن ذهبت تقيمه كسرته وإن تركته لم يزل أعوج فاستوصوا بالنساء


Maksudnya: Sesungguhnya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika kamu mahu meluruskannya pasti kamu akan mematahkannya, sekiranya dibiarkan pasti ia akan sentiasa bengkok. Oleh yang demikian sentiasalah memberi wasiat kebaikan (nasihat) kepada mereka"
Hadis Riwayat: Bukhari

Rasulullah tidak mengajar kita untuk berkeras terhadap isteri, walaupun mereka melakukan kesalahan, malah banyakkan bersabar dan nasihatlah mereka dengan hikmah. Antara contoh yang boleh diambil dari perbuatan Rasulullah melalui hadis dari Qasim bin Muhammad bin Abi Bakar:

كانت عائشة رضي الله عنها إذا غضبت عرك النبي صلى الله عليه وسلم بأنفها ثم يقول: يا عويش قولي: اللهم رب محمد اغفرلي ذنبي وأذهب غيظ قلبي وأجرني من مضلات الفتن

Maksudnya: Apabila Aisyah sedang marah, Rasulullah memicit hidungnya dan berkata: " Wahai Aisyah katakanlah Ya Allah tuhan Muhammad ampunkanlah dosaku, dan hilangkanlah kekerasan hatinya, dan lindungi aku dari fitnah yang menyesatkan"
(Hadis Doif dalam kitab Doif Al-Jami') 

Dalam kisah yang lain pernah suatu ketika Rasulullah meratapai pinggan peninggalan Khadijah, dan teringat isterinya yang sudah bertemu Ilahi, Aisyah yang melihat timbul rasa cemburunya dan lantas mengambil pinggan itu dan memecahkannya, tetapi Rasulullah sedikit pun tidak memarahinya malah menegur dan melayaninya dengan baik. Banyak lagi kisah-kisah tauladan yang boleh dilihat dari Rasulullah, jadilah suami yang baik dan pembimbing serta pemimpin keluarga.

Rasulullah juga bukan hanya baik kepada isterinya, malah Rasulullah sangat hormat dan memuliakan isterinya. Ini amat berbeza dengan pepatah melayu " Sayang anak rotan-rotankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan". Rasulullah tidak akan sesekali meninggalkan isterinya, baik ketika hendak bermusafir mahupun menghadiri majlis-majlis.

Apabila Rasulullah hendak bermusafir, Rasulullah akan membuat undian dan memilih istrinya yang akan mengikut baginda. Bukan hanya bermusafir, Rasulullah juga tidak akan meninggalkan isterinya jika ada jemputan ke majlis. Satu kisah dari hadis riwayat Anas bin Malik:

Rasulullah mempunyai seorang jiran berbangsa Parsi, dan jirannya amat pandai memasak makanan berkuah. Dia telah memasak suatu hidangan untuk dijamu kepada Rasulullah, kemudian dia menjemput nabi, dan Rasulullah bertanya: " adakah Aisyah dijemput?" Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah menjawab: " Jika begitu akupun tidak menerima jemputan itu". Lelaki itu pulang dan datang kembali untuk menjemput sekali lagi. Rasulullah bertanya: " adakah Aisyah dijemput?" Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah menjawab: " Jika begitu akupun tidak menerima jemputan ini". Lelaki itu pulang dan datang kembali untuk menjemput sekali lagi. Rasulullah bertanya: " adakah Aisyah dijemput? Dia menjawab "Ya" pada kali ketiga, dan ketika itu Rasulullah dan Aisyah bangun dan sama-sama ke rumahnya.
(Hadis riwayat: Muslim)

Sikap Rasulullah ini bukan sahaja menggembirakan isterinya malah menunjukkan bahawa kita harus memuliakan isteri kita, dan jangan hanya mengganggap mereka ini hanya sebagai teman, atau orang gaji untuk kemas rumah dan sebagainya. Bantulah isteri ketika di rumah kerana itu juga merupakan sunnah Rasulullah. 

Rasulullah berpesan: Janganlah diantara kamu yang memukul isterinya seperti hamba, dan apabila tiba malam kamu menggaulinya.
Riwayat Bukhari


Wallahualam









Doa bermusafir untuk diri sendiri & orang lain

بسم الله الرحمن الرحيم


Ramai diantara kita yang tahu doa menaiki kenderaan, tetapi tidak ramai yang tahu doa apabila kita bermusafir, atau doa untuk dibaca kepada orang yang kita tinggal, atau doa orang ramai kepada orang yang bermusafir,dan banyak lagi. Berikut akan merupakan doa-doa yang berkaitan dengan bermusafir.

1) Doa menaiki kenderaan:

بِسْمِ اللهِ الحمد لله، سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لمنْقَلِبُون. الحمد لله (3x) الله أكبر (3x) سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْلِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّى أَنْتَ


Maksudnya: Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada tuhan kami. Segala puji bagi Allah (3x) Engkaulah yang Maha Besar (3x). Maha suci bagi Allah sesungguhnya aku berlau zalim kepada diriku, maka ampunkanlah aku, sesungguhnya tidak siapa yang dapat mengampunkan dosa selain Engkau.

Hadis riwayat: Abu Daud & At-Tirmizi


2) Doa ketika memulakan perjalanan

الله أكبر ، الله أكبر ، سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لمنْقَلِبُون. الَّلهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرِّ وَالتَّقْوَى ، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفِرِنَا هَذَا وَطْوِي عَنَّا بُعْدَهُ ،اللَّهُمَّ أَنتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ،اللهم اِنِّي أَعُوذُبِكَ مِن وَعْثَاءِ السَّفَرِ ،وَكَآبَةِ المُنْقَلَبِ  وَسُوءُ المُنْظَرِ  فِي الْماَلِ وَالاهْلِ


Maksdunya: Allah Maha Besar (3x) Maha suci tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada tuhan kami. Ya Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah jarak perjalanan ini, Ya Allah engkaulah penemanku dalam perjalan ini, dan pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindu kepadaMu dari kepenatan dalam perjalan ini,dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara buruk keatas harta dan keluarga ku.


- ketika balik dari musafir, baca doa diatas dan tambah diakhirnya:

آيبُونِ ،تَائِبُونِ ، عَابِدُونِ ،لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya: Kami kembali, kami bertaubat, kami beribadah, dah kepada tuhan kami segala pujian.

Hadis riwayat: Muslim



3) Doa apabila memasuki banda atau kawasan

اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظْلَلْنَ ، وَرَبَّ الأَرَضِينَ السَّبْعِ وَمَا أَقْلَلْنَ ، وَرَبَّ الشَّيَاطِينِ وَمَا أَضْلَلْنَ ، ورب الرياح وما ذرين أَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَخَيْرَ وخَيْرِ أَهْلِهَا مَا فِيهَا ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَشَرِّ مَا فِيهَا


Maksudnya: Ya Allah tuhan tujuh petala langit dan apa yang di bawahnya, tuhan penguasa tujuh lapisan dan segala apa yang diatasnya, tuhan yang mengusai syaitan-syaitan dan segala yang mereka sesatkan, tuhan yang menguasai angin dan segala yang ditiupnya. Aku memohon kepadamu kebaikan dari kawasan ini, dan kebaikan para penduduknya, dan segala didalamnya. Aku juga berlindung kepada mu dari keburukan kawasan ini,penduduknya serta apa yang ada didalamnya.

Hadis riwayat: Al-Hakim (sahih menurut Imam Az-Zahabi), Ibnu Sunni (menurut Ibnu Hajar hadis ini Hasan), An-Nasaie ( Hasan menurut Ibnu Baaz)


4) Doa yang perlu dibaca orang yang hendak bermusafir kepada orang yang ditinggalkan

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللهُ الَّذِي لَا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ


Maksudnya: Aku menyerahkan kamu semua kepada Allah yang ia tidak akan lalai dari urusannya

Hadis riwayat: Ahmad & Ibnu Majah


5) Doa orang ramai (beriman) yang perlu dibaca kepada orang yang sedang bermusafir

أَسْتَوْدِعُ اللهُ دِيْنَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ وَعَمَلِكَ

Maksudnya: Aku menyerahkan agamau, tanggungjawabmu, dan perbuatanmu yang terakhir kepada Allah.

زَوَّدَكَ اللهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُ مَا كُنْتَ

Maksudnya: Semoga Allah membekalkanmu dengan taqwa, mengampunkan dosamu, dan memudahkan kebaikan kepada mu, dimana sahaja engkau berada

Hadis riwayat: At-Tirmizi


6) Doa yang perlu dibaca orang yang bermusafir ketika masuk waktu subuh.

سَمَّعَ سَامِعٌ بِحَمْدِ اللهِ وَحُسْنِ بَلَائِهِ عَلَيْنَا رَبَّنَا صَاحِبْنَا وَأَفْضِلْ عَلَيْنَا عَائِذًا بِاللهِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Semoga ada yang memperdengarkan pujian kami kepada Allah (atas nikamt yang diberi) dan dugaannya yang baik bagi kami, wahai tuhan kami, jadilah peneman kami, dan berilah kebaikan kepada kami dengan perlindungan dari api neraka

Hadis riwayat: Muslim


7) Doa ketika pulang dari musafir

لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير، آيِبُونِ تَائِبُونِ عَابِدُونِ لِرَبِّنَا حَامِدُونِ، صَدَقَ اللهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ


Maksudnya: Tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, yang menguasai kerajaan serta pujian, Dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu, kami kembali dengan bertaubat,beribadah, dan memuji tuhan kami. Allah yang telah menepati janjinya,membela hamba-hambanya, dan yang menumpaskan musuh bersenderian.

Hadis riwayat: Bukhari & Muslim


Wallahualam

Doa ketika terbangun tengah malam dan bermimpi buruk

Ramai diantara kita yang biasa terjaga tengah malam, kemudian tidak boleh tidur semula sama ada akibat bermimpi buruk atau sebab-sebab lain. Berikut adalah doa-doa yang  telah diajar oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam kepada kita.


Jika kita terbangun dan tidak boleh tidur, bacalah doa/zikir ini ketika kita membalik-balikkan badan pada waktu malam:

لَا إله إلَّا اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَماَ بَيْنَهُمَا الْعَزِيْزُ الْغَفَّار
Maksudnya: Tiada tuhan yang layak di sembah selain Allah, yang maha esa, yang maha perkasa,tuhan di langit, di bumi dan diantara keduanya, yang maha mulia dan maha pengampun.
Hadis riwayat Hakim, dan dishahihkan serta dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi, Imam An-Nasa'ie, dan Ibnu Sunni. 


Jika kita terjaga pada waktu malam akibat mimpi yang buruk atau menakutkan, maka bacalah juga doa ini yang mana telah diajar oleh Rasulullah.

Jika mimpi yang menakutkan, bacalah doa:


أَعُوذُ بِكَلِماتِ اللهِ التَّامَّة مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَن يَحْضُرُونَ
Maksudnya: Aku berlindung dengan Kalimah Allah yang bebas dari kemarahan, seksaan dan kejahatan hamba-hambanya, dan dari godaan syaitan, serta jauhkanlah aku darinya.
Doa ini diriwayatkan oleh Abu Dawud 4/12 dan Shahih Tirmizi: 3/171



Jika kita terjaga akibat mimpi buruk pula, lakukanlah seperti berikut:


  1. meniup disebelah kiri 3 kali
  2. Berlindung kepada Allah dari syaitan dan dari keburukan apa yang dimimpikan (bacalah Isti'azah kemudian berdoalah dalam bahasa yang kita tahu dan memohon agar keburukan yang kita mimpikan itu dijauhkan Allah) 3 kali
  3. Jangan berkongsi atau memberitahu sesiapapun mengenai mimpi buruk kita.
  4. Ubah posisi tidur kita dari yang asal.
  5. Bangun dan solat sunnat (jika mahu).  

langkah-langkah ini diterangkan oleh Rasulullah di dalam Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Shahih Muslim: 4/1772-1773

Wallahualam

Hadis palsu cintakan negara

Menjelang hari kemerdekaan Malaysia yang ke 56, antara hadis palsu yang popular mengenai cinta kepada negara ialah

 حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الايمَان
Maksudnya: Cintakan negara adalah sebahagian daripada Iman


Ulasan para Ulama' berkenaan hadis ini:
  • Ibn al-Jauzi telah menulis dalam kitabnya Al-Maudhua't bahawa Imam As-Shaghani berpendapat hadis ini adalah palsu. 
  • Mulla Al-Qari dalam al-Masnu' fi Ma'rifat Hadith Al-Maudhu' menyatakan hadis ini tidak ada asal usulnya di sisi para ulama' Hadis

Islam memang tidak pernah melarang umatnya untuk cinta dan sayang kepada negara, akan tetapi ianya perlulah dengan tujuan dan matlamat untuk memartabatkan agama Islam di negara kita. Cinta kepada negara semata-mata bukanlah tuntutan sebenar syarak, ianya pelu dibuktikan dengan membangunkan negara dengan kaedah yang telah di ajar oleh syarak. Islam merupakan agama yang syumul dang lengkap, Nabi saw juga telah memberi contoh dan tauladan bagaimana cara mentadbir negara, tidak lupa juga tauladan yang dibawa oleh Khulafa' Ar-Rasyidin.

Orang Islam juga telah disuruh untuk mempertahankan negara dengan tujuan membela agama Islam dan memulihara Islam di negara tersebut. Berbeza dengan orang bukan Islam, mereka mempertahankan nergara demi cintakan negara semata-mata, ini disebut oleh Allah di dalam surah An-Nisa' ayat 66 yang bermaksud:



Dan Sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. dan Sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) Yang telah diberikan kepada mereka, tentulah Yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).



Kata-kata Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin dalam syarah Riyadh As-Shalihin

" Sesorang yang berperang hanya untuk membela negeri/negaranya sahaja maka dia tidak dikira sebagai mati shahid jika dia gugur di medan perperangan. Kewajipan keatas orang Islam yang tinggal di dalam negara Islam untuk berjuang mempertahankan negaranya demi Agama Islam yang ada di negara tersebut"

Kesimpulannya, tidak salah untuk kita mempunyai semangat cintakan tanah air, tetapi sebagai orang islam ianya perlu disatukan dengan tujuan demi mempertahankan Agama Islam dan untuk memastikan Islam kekal di negara kita, jangan hanya cinta dengan membuta tuli, kerana itulah yang membezakan kita dengan orang bukan Islam. Kita juga jangan lupa bahawa nikmat kebebasan dan Merdeka ini diberikan oleh Allah, dan kerana keizinan Allah, maka jangan lupa untuk kita bersyukur kepadanya. 




Wallahualam

Rujukan: 40 Hadis palsu popular. Abdul Razak Muthalib. PTS pub