Hadis palsu cintakan negara

Menjelang hari kemerdekaan Malaysia yang ke 56, antara hadis palsu yang popular mengenai cinta kepada negara ialah

 حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الايمَان
Maksudnya: Cintakan negara adalah sebahagian daripada Iman


Ulasan para Ulama' berkenaan hadis ini:
  • Ibn al-Jauzi telah menulis dalam kitabnya Al-Maudhua't bahawa Imam As-Shaghani berpendapat hadis ini adalah palsu. 
  • Mulla Al-Qari dalam al-Masnu' fi Ma'rifat Hadith Al-Maudhu' menyatakan hadis ini tidak ada asal usulnya di sisi para ulama' Hadis

Islam memang tidak pernah melarang umatnya untuk cinta dan sayang kepada negara, akan tetapi ianya perlulah dengan tujuan dan matlamat untuk memartabatkan agama Islam di negara kita. Cinta kepada negara semata-mata bukanlah tuntutan sebenar syarak, ianya pelu dibuktikan dengan membangunkan negara dengan kaedah yang telah di ajar oleh syarak. Islam merupakan agama yang syumul dang lengkap, Nabi saw juga telah memberi contoh dan tauladan bagaimana cara mentadbir negara, tidak lupa juga tauladan yang dibawa oleh Khulafa' Ar-Rasyidin.

Orang Islam juga telah disuruh untuk mempertahankan negara dengan tujuan membela agama Islam dan memulihara Islam di negara tersebut. Berbeza dengan orang bukan Islam, mereka mempertahankan nergara demi cintakan negara semata-mata, ini disebut oleh Allah di dalam surah An-Nisa' ayat 66 yang bermaksud:



Dan Sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. dan Sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) Yang telah diberikan kepada mereka, tentulah Yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).



Kata-kata Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin dalam syarah Riyadh As-Shalihin

" Sesorang yang berperang hanya untuk membela negeri/negaranya sahaja maka dia tidak dikira sebagai mati shahid jika dia gugur di medan perperangan. Kewajipan keatas orang Islam yang tinggal di dalam negara Islam untuk berjuang mempertahankan negaranya demi Agama Islam yang ada di negara tersebut"

Kesimpulannya, tidak salah untuk kita mempunyai semangat cintakan tanah air, tetapi sebagai orang islam ianya perlu disatukan dengan tujuan demi mempertahankan Agama Islam dan untuk memastikan Islam kekal di negara kita, jangan hanya cinta dengan membuta tuli, kerana itulah yang membezakan kita dengan orang bukan Islam. Kita juga jangan lupa bahawa nikmat kebebasan dan Merdeka ini diberikan oleh Allah, dan kerana keizinan Allah, maka jangan lupa untuk kita bersyukur kepadanya. 




Wallahualam

Rujukan: 40 Hadis palsu popular. Abdul Razak Muthalib. PTS pub 



Kesalahan bulan Rejab dalam masyarakat melayu

Menjelang bulan Rejab, dilihat ramai yang berkongsi tentang kelebihan-kelebihan berpuasa bulan Rejab, dan seumpanya. Adakah terdapat hadis yang shahih dari nabi tentang ini? Sedikit kupasan akan diberikan bagi menjelaskan perkara yang sudah dilihat semakin tersebar di kalangan masyarakat melayu kita.

Antara hadis-hadis yang selalu menjadi sebutan dalam bulan Rejab ialah:

رَجَبٌ شَهْرُ اللَّهِ ، وَشَعْبَانُ شَهْرِي ، وَرَمَضَانُ شَهْرُ أُمَّتِي ، فَمَنْ صَامَ رَجَب إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا اسْتَوْجَبَ رِضْوَانَ اللَّهِ الأَكْبَرَ ، وَأَسْكَنَهُ الْفِرْدَوْسَ الأَعْلَى . وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ يَوْمَيْنِ ، فَلَهُ مِنَ الأَجْرِ ضِعْفَانِ ، وَوَزْنُ كُلِّ ضِعْفٍ مِنْ مِثْلِ جِبَالِ الدُّنْيَا . وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ جَعَلَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ خَنْدَقًا ، طُولُ مَسِيرَةِ ذَلِكَ سَنَةٌ . وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ أَرْبَعَةَ أَيَّامٍ عُوفِيَ مِنَ الْبَلاءِ وَمِنَ الْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَالْبَرَصِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيخِ الدَّجَّالِ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Maksudnya: Rejab bulan Allah, Sya'ban bulanku, dan Ramadhan bulan Umatku, maka sesiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah, yang agung dan ditempatkannya di surga al-firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Dan sesiapa yang berpuasa 3 hari dari bulan Rejab maka Allah akan menjadikan antaranya dan neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Dan sesiapa yang berpuasa 4 hari dari bulan Rejab maka ia diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-masih dajjal dan azab kubur.   Dilaporkan oleh Muhammad b. Abd Baqi' dari abu bakar Muhammad . bin Hassan an-Naqasy dari Abu Said. Hadis ini disenaraikan dalam kitab Al-Maudu'at karangan Imam Ibn Jauzi


Hadis yang lain:
من صام ثلاثة أيام من رجب كتب الله له صيام شهر، ومن صام سبعة أيام أغلق عنه سبعة أبواب النار، ومن صام ثمانية أيام فتح الله له ثمانية أبواب الجنة، ومن صام نصف رجب كتب الله له رضوانه، ومن كتب الله له رضوانه لم يعذبه، ومن صام رجبا كله حاسبه الله حسابا يسيرا


Maksudnya: sesiapa yang  berpuasa 3 hari dari bulan Rejab Allah akan menulis (memberi 
ganjaran) baginya puasa sebulan. Siapa yang berpuasa 7 hari Allah menutup baginya 7 pintu neraka. Siapa yang berpuasa 8 hari Allah membukakn baginya 8 pintu syurga. Siapa yang berpuasa setengah bulan Rejab Allah menuliskan baginya keredhaana-Nya. Siapa yang sudah ditetapkan baginya keredhaan-Nya dia tidak akan diazab, dan sesiapa yang puasa penuh bulan Rejab Allah akan menghisabnya (di akhirat) dengan hisab yang ringan. Hadis ini daripada Anas dari sumber Amru bin Al-Azhar ,dan dalam sanad ini juga terdapat 'Abban bin Abi 'Iyash yang terkenal dengan sifat pendusta

Antara hadis yang terkenal juga:
إن شهر رجب شهر عظيم ومن صام منه يوما كتب الله له صوم ألف سنة ومن صام يومين كتب الله له صيام ألفى سنة ومن صام ثلاثة أيام كتب الله له صيام ثلاثة ألف سنة....


Maksudnya: Sesungghunya bulan Rejab adalah bulan yang agung, siapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab Allah akan menulis baginya berpuasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari, Allah akan menulis baginya berpuasa 2 ribu tahun. Siapa yang berpuasa 3 hari, Allah akan menulis baginya berpuasa 3 ribu tahun.. Menurut Ibnu Arraq: Hadis ini adalah palsu tanpa syak lagi. Perawi hadis ini iaitu Harun bin 'Antarah pada pandangan Syeikh Ibnu Hibban adalah seorang pereka Hadis

Jadi apakah hukum puasa di bulan Rejab? Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Tabyin al-'Ajab Fima warada Fi Fadhl Rejab, telah berkata
"tidak terdapat hadis yang boleh dijadikan hujah menyebut tentang kelebihan khusus bulan Rejab, atau kelebihan berpuasa sepenuhnya pada bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya atau menghidupkan malamnya yang khusus"
Imam As-Suyuti telah menyebut juga di dalam bukunya al-Amr bi al-'Ittiba' wa al-Nahyu 'an al-Ibtida' menyebut Umar al-Khattab melarang orang berpuasa pada bulan Rejab dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa pada bulan Rejab.

Imam As-Syaukani pula dalam menyebut dalam kitabnya Al-Fawaid: Dalas satu risalahnya Ali bin Ibrahim Al-Athar berkata: 
"Apa yang diceritakan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya adalah PALSU, dan lemah serta tidak mempunyai sumber. Abdullah Al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadis pun yang shahih dari Rasulullah mengenainya"
Melalui penerangan berikut, jelas sekali bahawa tiada satu pun hadis yang shahih tentang kelebihan berpuasa dalam bulan Rejab, dan sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini kerana inginkan ganjara-ganjaran dalam hadis palsu tersebut maka dia telah melakukan perbuatan Bid'ah, dan amalan puasanya itu di sisi Allah bagaikan debu-debu yang berterbangan, ingatlah pesanan dari Allah kepada mereka yang membuat amalan tetapi tidak mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah


. Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa Yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan Dia terbuang sebagai debu Yang berterbangan" (surah Al-Furqan: 23)
Walaubagaimanapun, berpuasa di dalam bulan Rejab secara khusus ini disunntakan hanya kerana bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan Haram dalam Islam sahaja. Ini bedasarkan Hadis nabi yang mafhumnya:
"........ Berpuasalah beberapa hari di bulan-bulan Haram, dan jangan berpuasa di pada beberapa hari yang lain. ketika mengucapkan ayat itu, Rasulullah mengangkat tiga jari kemudian menggenggamnya balik (bermakna puasa 3 hari kemudian tidak berpuasa 3 hari, kemudian puasa 3 hari,dan tidak berpuasa 3 hari)" Hadis riwayat : Ahmad, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik.

Imam Sayyid Sabiq dalam kitab Fiqh sunnah menjelaskan, bahawa tiada kelebihan yang khusus berpuasa dalam bulan Rejab, hanyalah bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan Haram, tidak ada hadis yang shahih menjelaskan berpuasa di bulan Rejab mempunyai kelebihan dan keutaman. Ibn Hajar berkata: Tidak ada hadis shahih menjelas keutamaan puasa bulan Rejab, atau puasa pada hari-hari tertentu bulan Rejab, atau solat-solat tertentu pada bulan Rejab.

Kesimpulannya, berpuasa pada bulan Rejab adalah dibolehkan jika kita tidak mengkhususkan ganjaran tertentu atau berniat puasa sunat-sunat yang biasa seperti Isnin Khamis, Puasa hari Putih, ataupun puasa Qadha'. Disunatkan juga berpuasa pada bulan ini kerana ianya bulan-bulan Haram, sama seperti puasa pada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. TETAPI, jika kita berpuasa dengan niat dan percaya akan mendapat ganjaran seperti puasa 7 hari Rejab tertutup 7 pintu neraka, puasa 8 hari terbuka 8 pintu neraka, maka puasanya adalah sia-sia kerana mengamalkan hadis yang palsu. Lebih malang lagi, kini terdapat ramai umat Islam yang berkongsikan tentang kelebihan Rejab dengan menggunakan Hadis PALSU di laman-laman sosial, ingatlah amaran dari nabi
"Barang siapa yang berdusta keatas ku dengan sengaja, maka telah tersedialah tempatnya di dalam NERAKA"


Wallahualam 

Menggunakan barangan tidak tulen seperti windows dan buku fotostat dalam Islam


SEHINGGA hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.
Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat. 

Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.

Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?

Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

  • ‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)
  • Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial
  • Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

    Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

    Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

    Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

    Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

    Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen..




  • Sumber

    Mengutamakan puasa qada' Ramadhan atau puasa sunat Syawal


    1)   PUASA QADHA’ RAMADHAN

    Puasa merupakan ibadat dan rukun Islam yang ke tiga. Pensyariatan berpuasa ke atas orang Islam bermula pada hari Isnin 2 Syaaban tahun ke dua Hijrah.  Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 183 yang bermaksud:

    Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.


    Walau bagaimanapun terdapat kelonggaran yang diberikan oleh Allah kepada golongan-golongan tertentu yang dibolehkan untuk berbuka ketika berada di bulan Ramadhan, ini berdasarkan Firman Allah dalam surah Baqarah ayat 184 yang bermaksud:

    Maksudnya: (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.


    Rasulullah juga telah bersabda dalam sebuah hadis shahih yang bermaksud:

    Muadzah pernah bertanya kepada Aisyah “ mengapa wanita haid perlu qadha’ puasa dan tidak perlu qadha’ solat? Aisyah menjawab “ dulu pada zaman Rasulullah kami disuruh untuk menqadha’ puasa, tetapi tidak disuruh menqadha’ solat” (riwayat jemaah)



    Berdasarkan dalil-dalil di atas, terdapat golongan yang diberi kelonggaran oleh Allah untuk tidak berpuasa, dan wajib menggantikan puasanya iaitu;

                         i.        Orang yang bermusafir yang boleh menqasarkan solatnya
                        ii.        Orang yang sakit ( bahaya jika berpuasa )
                       iii.        Wanita yang sedang haid dan nifas


    Bagi orang yang bermusafir dan yang sakit, diberi kelonggaran oleh Allah, tetapi tidak wajib membatalkan puasanya, dibolehkan untuk teruskan berpuasa, ataupun berbuka, berdasarkan Hadis Nabi Muhammad:


    عن حمزة بن عمرو الأسلمى رضي الله عنه أنه قال: يا رسول الله إني أجد في قوة على الصيام في السفر فهل علي جناح؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم هي رخـصة من الله، فمن أخذ بها فحسن، ومن أحب أن يصوم فلا جناح عليــــــه.
    Maksudnya: Dari Hamzah bin Amru berkata: “wahai Rasulullah sesungguhnya aku kuat untuk berpuasa ketika dalam perjalanan, apakah aku berdosa?” Rasulullah bersabda “ Itu adalah kelonggaran dari Allah, barang siapa yang menerimanya itu adalah baik, dan siapa yang mahu berpuasa tidak mengapa”. (Riwayat Muslim)


    Manakala wanita yang sedang dalam haid dan nifas wajib untuk tidak berpuasa, seperti yang disebut dalam hadis dari Abu Sa’id Al-khudri, ketika Rasulullah dalam perjalanan hendak menunaikan solat hari raya, baginda terserempak dengan sekumpulan wanita dan menegur mereka, di antara kata-kata rasulullah ialah;


    "....أليس إذا حاضت المرأة لم تصل ولم تصم؟ قلن: بلى....."
    “ Bukankah ketika haid wanita tidak solat dan berpuasa? Mereka (wanita-wanita) menjawab: benar”


    Kesimpulannya, puasa Ramadhan Wajib digantikan jika kita berbuka dengan sebab-sebab yang telah diberikan kelonggaran oleh Allah, sama ada menggantikannya secara berurutan ataupun berselang, ia mesti dilakukan sebelum tiba Ramadhan yang berikutnya.


    2)  Puasa enam hari Syawal

    Di antara puasa-puasa sunat yang dituntut dalam ialah puasa enam hari dalam bulan syawal, merujuk kepada Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Anshari;


    "من صام رمضان ، وأتبعه ستا من شوال فكأنما صام الدهر"
    Maksudnya: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian menyambungnya dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia mendapat ganjaran seperti setahun berpuasa” (Riwayat jemaah kecuali An-Nasaie)


    Imam Ahmad berpendapat puasa sunat Syawal boleh dilakukan sama ada berturut-turut atau berselang, manakala Mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat lebih baik dilakukan secara berturut-turut bermula hari raya kedua.



    3)  Mengutamakan puasa Qadha’ Ramadhan atau puasa enam hari bulan Syawal?

    Puasa Qadha Ramadhan merupakan suatu kewajipan, manakala puasa enam hari Syawal hanya puasa sunat, namun kini sering menjadi persoalan apakah boleh jika kita puasa sunat enam hari di bulan Syawal dahulu, kemudian baru kita qadha’ puasa Ramadhan ataupun kita perlu menghabiskan dahulu Qadha puasa Ramadhan kita kemudian baru puasa enam hari bulan Syawal?

    Secara umumnya terdapat dua pandangan dan pendapat berkaitan manakah yang lebih diutamakan sama ada menqadha puasa dahulu atau puasa sunat Syawal.
         i.        Pendapat yang pertama membolehkan mendahulukan puasa sunat Syawal dahulu, kemudian boleh menggantikan puasa Ramadhan kemudian. Pendapat ini merujuk kepada Hadis dari Aisyah;


    " كأن يكون علي الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان"
    Maksudnya:  Kewajipan ke atas ku untuk puasa dari puasa Ramadhan, dan aku tidak menggantikannya sehingga datang bulan Sya’ban. (Riwayat Muslim)




        ii.        Berdasarkan hadis tersebut, Ulama berpendapat bahawa, sebagai seorang sahabat dan isteri Rasulullah sudah tentu Aisyah tidak meninggalkan puasa-puasa sunat, ini termasuklah puasa enam hari Syawal. Tindakan Aisyah menggantikan puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan bahawa dibolehkan berpuasa enam hari di bulan Syawal walaupun belum menqadha’ puasa Ramadhan.
           
           Pendndapat kedua pula, menyatakan lebih utama dan perlu mendahulukan puasa ganti terlebih dahulu sebelum berpuasa enam hari Syawal. Ini kerana dalam hadis yang menyebut tentang puasa di bulan Syawal, Rasulullah menyebut dalam hadis tersebut من صام  yang memberi maksud sesiapa yang telah berpuasa, Rasulullah menggunakan perkataan puasa yang merujuk kepada feil madhi iaitu perbuatan yang telah berlaku, ini boleh membawa maksud, sesiapa yang telah melengkapkan puasa Ramadhan, kemudian menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan syawal, akan mendapat ganjaran seperti puasa setahun.


    Keutamaan menqadhakan dahulu puasa Ramadhan boleh dilihat melalui sebuah hadis qudsi;

    "وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه"
    Maksudnya: dan tidaklah hampir kepada ku seorang hamba ku dengan apa jua pun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu / wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya. (Riwayat Bukhari)


    Jika diteliti pendapat yang kedua adalah lebih kuat, dan ia juga bertepatan dengan hadis puasa sunat Syawal itu sendiri, selain dari itu, ia boleh dikiaskan seperti keutamaan membayar hutang terlebih dahulu daripada memberi sedekah.


    Akan tetapi pendapat ini hanya dari sudut keutamaan sahaja, sekiranya dari sudut perlaksanaan ia mungkin berbeza menurut keadaan individu tertentu. Jika diteliti hadis berkaitan Aisyah menggantikan puasanya pada bulan Sya’ban adalah kerana berkemungkinan beliau perlu menggantikan puasa Ramadhannya dengan jumlah hari yang banyak, sekiranya seorang wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang agak banyak, akan menjadi kesusahan kepadanya untuk menghabiskan kesemua puasa gantinya pada bulan Syawal, kemudian menyambung pula lagi enam hari.


    Apabila dikira secara rambang, jika menurut mazhab Syafie, haid wanita boleh berlangsung sehingga 15 hari, dan  jika wanita haid utamakan dahulu puasa gantinya dalam bulan Syawal maka dalam bulan Syawal wanita haid perlu berpuasa sehingga 21 hari. Seperti yang diketahui bulan Syawal disunatkan kepada umat Islam untuk menziarahi keluarga dan rakan-rakan, dan ini pasti akan memberi kesusahan kepada para wanita.


    Jadi sekiranya wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang banyak, maka dibolehkan untuk berpuasa seperti Aisyah, iaitu mengutamakan puasa enam hari Syawal, kemudian menggantikan puasa Ramadhan pada hari-hari yang lain.


    Kepada golongan yang lain, seperti orang yang bermusafir dan sakit, perlu menggantikan dahulu puasa Ramadhannya, kemudian baru diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.


    Walaahualam



    Adakah Islam menggalakkan perkahwinan?

    Melihat kepada keadaan semasa yang berlaku pada tahun 2012 yang semakin menuju ke penghujung, tidak kira samada golongan artis, bekerjaya, mahupun pelajar. 2012 dilihat tahun yang paling ramai umat Islam di Malaysia khususnya yang melangsungkan perkahwinan, tahun ini juga mempunyai tarikh yang dilihat tarikh yang cantik bagi bakal penganting melangsungkan perkahwinan, juga merupakan peluang terakhir sekiranya mereka ingin perkahwinan mereka jatuh pada tarikh yang cantik iaitu 12/12/12.

    Persoalan yang timbul, adakah perkahwinan digalakkan dalam islam? Jawapannya sudah tentu ya. Dalam al-Quran surah ar-Ra'ad ayat 38 Allah telah menerangkan bahawa para nabi dan rasul telah diberi isteri-isteri agar mereka mempunyai keturunan. Rasulullah juga telah bersabda:

    أربع من سنن المرسلين: الحياء والتعطر والسواك والنكاح
    Maksudnya: 4 perkara yang termasuk dalam sunnah-sunnah para rasul: pemalu, memakai wangian, bersiwak, dan bernikah. (h.r Tirmizi)

    Namun seringkali kini kita mendengar dikalangan masyarakat, terutamanya golongan yang masih menuntut di IPT, sering ragu dan lebih cenderung untuk menghindarkan diri dari berkahwin, atas alasan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab, dan lain-lain. Disebabkan kita sebagai manusia, makhluk yang lemah dan tidak sempurna, kita amatlah digalakkan di dalam Islam untuk meletakkan sepenuh keyakinan kita kepada Allah, yakinlah bahawa hanya Allah yang dapat membantu kita, tidak kira kita mempunyai wang yang cukup untuk belanja kahwin ataupun tidak, kita perlu yakin bahawa Allah akan tolong kita dan permudahkan urusan kita. Di dalam surah An-nur ayat 32 Allah berfirman:

    " dan kahwinkanlah dengan orang-orang yang masih bujang (dan dara) dikalangan kamu, dan orang-orang yang soleh, dan imam-imam di kalangan kamu, sekiranya mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka dengan kurnianya..."

    Imam At-Tirmizi juga telah meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

    " 3 golongan yang Allah pasti akan tolong: orang yang berjihad di jalan Allah, hamba yang telah berjanji dengan tuannya untuk membayar wang tebusan untuk dirinya, dan orang yang berkahwin kerana ingin menjaga kesucian dirinya"

    Dalil diatas menunjukkan bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya berkahwin, ini kerana dengan berkahwin, fitnah dan maksiat akan dapat dihindari, terdapat juga hadis2 yang menerangkan bahawa dengan berkahwin, separuh daripada pintu maksiat dan kejahatan akan tertutup, antaranya hadis yang shahih yang diriwayatkan oleh Thabarani dan Hakim:

    " Barangsiapa yang diberi kurnia oleh Allah seorang isteri yang shalih bererti Allah telah menolong separuh dalam urusan agamanya, dan hendaklah ia takut pada separuh yang lainnya"

    Walaubagaimanapun, ia bukanlah bermakna kita boleh suka-suka hati untuk berkahwin dan duduk menunggu rezeki jatuh dari langit tanpa usaha, kerana Allah hanya akan membantu hambanya yang berusaha dan bertawakkal, bukan sekadar tawakkal tanpa usaha. Perkahwinan perlu disertai dengan tanggungjawab, dan kematangan, bukan hanya untuk berseronok, dan perlu juga niat yang murni, bukan untuk melepaskan nafsu dan bergembira. Berkahwinlah jika kita rasa kita sudah bersedia, dan berdoalah agar Allah membantu dalam segala urusan.

    Kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di IPT khususnya, jika tidak mampu untuk hindar dari maksiat, maka wajiblah atas mereka untuk mencari jalan agar mereka diijab qabulkan, ataupun berusaha untuk jauhkan diri dari fitnah. Dan kepada mereka yang ingin berumah tangga, banyakkanlah berbincang dengan orang yang lebih perngalaman dan yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama kita.

    Wallahualam.

    Apakah Maqasid Syariah?

    Maqasid Syariah merupakan suatu ilmu yang harus dipelajari terutamanya bagi ulama fiqh agar setiap ijtihad dan pendapat yang diberikan bertepatan dengan kehendak syariat.

    Maqasid Syariah secara ringkasnya bermaksud tujuan, natijah, atau maksud yang dikehendaki oleh syarak melaluli sumber dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Secara umumnya juga Maqasid boleh didefinasikan sebagai:

    جلب المصالح ودرؤ المفسدة  وإزالة المضرة

    Maksudnya: Mewujudkan kebaikan, menolak keburukan, dan menghilangkan kemudharatan.

    Ilmu Maqasid Syariah secara ringkas terbahagi kepada 2:

    1. مقاصد الخطاب (Maqasid Al-Khitab)
    Maqasid Al-Khitab ialah maksud yang tersirat disebalik nas atau ayat al-Quran dan hadis. Ia digunakan apabila nas syarak mempunyai dua makna iaitu:
    • Zahir makna dalil bukan atau tidak seperti maksud yang dikehendaki
    • Makna kedua, atau makna yang tersirat dari dalil itu yang sebenarnya dikehendaki   
         2.  مقاصد الأحكام (Maqasid Al-Ahkam)

    Maqasid Al-Ahkam merupakan jawapan atau penerangan kepada persoalan yang timbul daripada kehendak syarak dalam Maqasid Al-Khitab. 

    Seperti contoh, jika terdapat dalil yang menyuruh ambil sebahagian dari harta orang islam untuk dijadikan sebagai zakat, maka Maqasid Al-Khitab yang akan menentukan bahawa perintah ini perlu dipatuhi oleh semua orang islam hatta pemimpin negara sekalipun terikat dengan perintah ini, maka Maqasid Al-Ahkam yang akan menerangkan kenapa kenapa kita perlu ambil harta orang dan beri zakat kepada orang lain? mengapa hanya Asnaf yang layak menerima zakat, apakah hikmah disebalik tu dan sebagainya. 

    Setakat ini dahulu penerangan ringkas berkaitan Maqasid Syariah. Sambungan boleh lihat di SINI

    Rujukan:
    Maqasid Al-Syariah: Hikmah disebalik pensyariatan

    Prolog

    بسم الله الرحمان الرحيم


    Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

    Alhamdulillah kerana masih diberi kekuatan dan ketabahan untuk terus mempelajari ilmu Allah dan berpeluang untuk berkongsi. Semoga usaha murni ini sentiasa diberkati dan dirahmati Allah.