Memaparkan catatan dengan label Fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fiqh. Papar semua catatan

Benarkah Perceraian Itu Dibenci Allah

BETUL KE ALLAH BENCIKAN PERCERAIAN?
Nabi saw bersabda:
"أبغض الحلال إلى الله الطلاق"

Maksudnya: perkara halal yang paling dimurkai di sisi Allah adalah talak.
Hadis ini statusnya. Majoriti ulama hadis menghukum hadis ini statusnya DHAIF (lemah). Namun sebahagian ulama menghukum sebagai HASAN kerana banyak jalur periwayatannya.
Pada zaman Nabi saw ada seorang lelaki ceraikan isterinya. Bila ditanya oleh baginda adakah dia menceraikan kerana ada kesalahan? Dijawab tiada apa-apa sebab dan salah. Kemudian diceraikan lagi kali kedua dan ketiga. Maka nabi sabda seperti diatas.
Melalui konteks ini kita boleh faham bahawa Allah benci kepada orang yang suka-suka menceraikan isterinya tanpa sebab.
Dalam peristiwa lain, seorang sahabat isteri kepada sahabat nabi datang berjumpa Nabi saw. Katanya: Aku tidak mencela akhlak atau agama Thabit bin Qais. Tetapi aku takut diriku akan kufur dalam islam.
Jawab Nabi saw: Apakah kamu mahu kembalikan kebun miliknya itu?
Dijawab "ya"
Nabi saw: "Terimalah kebun itu dan ceraikannya dengan talak 1 (dengan cara tebus talak)"
Kesimpulannya PERCERAIAN bukanlah sesuatu yang dibenci Allah jika ada sebab, malah di dalam surah Ahzab sendiri Allah menyuruh sahabat bernama zaid bin Thabit menceraikan isterinya dan perintahkan Nabi saw berkahwin dengan bekas isteri Zaid.
Talak sendiri hukumnya boleh jadi Wajib, Sunat, Harus, Makruh, Haram.
Tidak ada salah jika suami menceraikan isterinya jika ada sebab dan tiada lagi jalan untuk kebahagiaan rumah tangga.
Malah isteri juga tidak salah jika ada sebab untuk minta diceraikan sama ada dengan cara minta pada suami, atau melalui hakim dengan cara Fasakh atau melalui cara khuluk (tebus talak).
JANGAN SALAH FAHAM!
Kami bukan menggalakkan bercerai, cuma jika tiada lagi jalan penyelesaian, jangan takut, mulakan hidup baru.
Sebaiknya, carilah semampu boleh jalan untuk kembali bahagia. Suami jangan cepat sangat lafaz talak, isteri jangan selalu sahaja minta diceraikan.
Jika berlaku masalah:
- cari punca
- berbincang
- cuba selesaikan
- kaunseling
- berusaha untuk bahagia
- jernihkan hati
- berbincang lagi
- jangan ulang
- dua-dua pihak mainkan peranan
- tiada jalan juga. Barulah ke perceraian.

Bolehkah Bapa yang MEROKOK menjadi Wali Perkahwinan?

Hukum berkaitan ini telah dijelaskan oleh SS Mufti Wilayah dengan begitu terperinci dan jelas.

Pernikahan di dalam Islam mempunyai beberapa rukun yang perlu dilaksanakan dalam memastikan ianya diiktiraf sebagai sah. Di antara rukunnya adalah keberadaan wali.
Definisi wali seperti mana yang disebutkan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji adalah : Seseorang yang melaksanakan sesuatu ucapan bagi pihak orang lain. Iaitu: Seseorang yang lemah (ada kekurangan), ataupun orang gila. Ini seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, bahawa Allah S.W.T berfirman:
فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ
Maksudnya : Maka sekiranya seseorang yang mempunyai hak ke atas nya itu merupakan safih (tidak mampu menguruskan harta), ataupun seorang yang lemah, atau dia tidak mampu untuk melaksanakannya, maka hendaklah walinya melaksanakan bagi pihaknya secara adil.
Surah al-Baqarah (282)
Maka seseorang yang diberikan hak wilayah oleh syarak, dia dinamakan sebagai wali. Kewujudan seorang wali merupakan suatu tuntutan dalam proses perkahwinan.
Terdapat beberapa dalil yang menjadi sokongan kuat bagi kenyataan ini. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T :
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النِّساء فَبَلَغْنَ أَجَلُهُنَّ فَلَا تَعْضُلُوهُنَّ أنْ يَنْكِحْنَ أَزْوَاجَهُنَّ إِذَا تَرَاضَوا بَيْنَهُمْ بالمعْرُوفِ
Maksudnya: Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, lalu telah habis tempoh (iddah) mereka, maka janganlah kamu (para wali nikah) menghalang mereka dari berkahwin semula dengan (bekas) suami-suami mereka, apabila telah terdapat keredhaan di antara keduanya dengan cara yang makruf.
Surah al-Baqarah (232)
Kata Imam al-Syafie Rahimahullah apabila mengulas ayat ini: Ayat ini merupakan dalil yang paling sarih (jelas) dalam mengambil kira peranan wali. Kerana, kalaulah peranannya tidak diambil kira, necayalah halangannya (kepada anak-anak perempuan untuk berkahwin semula) tidak memberi sebarang makna.
Begitu juga sebuah hadis yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah adalah sabda Nabi S.A.W :
لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ
Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.
Riwayat al-Tirmizi (1102).
Mazhab al-Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis tersebut merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, atau di dalam bahasa arabnya disebut نفي الصحة. Justeru, tanpa adanya wali ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan.
Di samping itu, terdapat beberapa ciri atau kriteria yang perlu ada pada diri seorang wali. Kami nyatakan beberapa syaratnya seperti berikut :
1. Islam
Seorang wali dalam nikah hendaklah merupakan seorang yang beragama Islam. Ini kerana, Islam tidak menjadikan orang bukan Islam menguasai atau menjadi penentu dalam keputusan orang Islam. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :
وَلَنْ يجْعَلَ اللهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلا
Maksudnya: Dan Allah tidak menjadikan ke atas orang kafir itu penguasaan terhadap orang orang yang beriman.
Surah al-Nisa’ (141)
2. ‘Adalah (Keadilan)
Di dalam mazhab al-Imam al-Syafie, disyaratkan bahawa seorang wali juga perlulah bersifat dengan sifat ‘adil. Ini membawa erti, dia tidak boleh berciri dengan sifat fasiq. Seperti kata al-Imam al-Bujairimi Rahimahullah dari kalangan al-Syafi’eyyah:
فَإِنَّ صِحَّةَ النِّكَاحِ تتَوَقَّفُ عَلَى حُضُورِ الشُّهُود وَعدَالتهم وَعَدَالَة الوَلِيِّ
Maksudnya: Sesungguhnya sahnya pernikahan itu terhenti ke atas hadirnya saksi-saksi yang ‘adil, juga keadilan seorang wali.
Rujuk Hasyiah al-Bujairimi (15/135).
Kami nyatakan definisi ‘adalah seperti berikut: Tidak melakukan sebarang dosa besar, dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. Serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencemarkan maruah seperti kencing di jalanan, dan seumpamanya.
Kami juga bersetuju dengan kata-kata Imam Ibn Hamdan Rahimahullah : Setiap perbuatan dosa besar, sekali sahaja melakukannya telah menjadikan seorang itu jatuh fasiq. Manakala perbuatan dosa kecil, seseorang itu dikira sebagai fasiq sekiranya melakukannya sebanyak tiga kali. Rujuk Ibn Hamdan, Sifat al-Fatwa wal-Mufti (Hlm. 13).
Pernikahan Berwalikan Perokok
Justeru, menjawab persoalan yang dikemukakan, seseorang wali yang juga merupakan perokok mempunyai kekurangan kepada sifat ‘adalah (keadilan) mereka.
Ini sama sahaja keadaannya sama ada merokok itu dikategorikan sebagai dosa besar mahupun dosa kecil.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, sifat ‘adalah mahupun fasiq, bukanlah suatu yang bersifat kekal sehingga hari kematian seseorang itu. Ini kerana, iman seseorang itu bertambah dan berkurang. Ia bertambah dengan amal ketaatan dan ia berkurang dengan amal kemaksiatan. Maka bagi seseorang yang melakukan dosa-dosa yang boleh menjadikan dirinya sebagai seorang fasiq, dengan cara bertaubat daripada melakukannya menjadikan dirinya berubah kepada sifat 'adalah.
Justeru, kami cenderung bahawa pernikahan yang berwalikan seorang perokok itu adalah sah. Dengan syarat, wali tersebut terlebih dahulu memperbanyakkan amal soleh dan juga taubat, sehinggalah tiba hari pernikahan.

Diambil dari: http://muftiwp.gov.my/ms/al-kafi-li-al-fatawi-cat/2251-al-kafi-693-hukum-perkahwinan-berwalikan-seorang-perokok

Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut Syariah

Garis panduan ini dikeluarkan oleh JAKIM, dan ianya bersesuaian dengan sistem ekonomi di Malaysia. Garis panduan ini amat penting untuk di baca oleh:

1) Peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan melalui MLM
2) Individu yang ingin menyertai rangkaian MLM

Panduan ini menerangkan bagaimana Pelan Pemasaran yang dibenarkan untuk MLM, Kriteria perniagaan MLM yang mengikut syarak, dan perkara-perkara yang dilaran di dalam MLM.

Garis panduan ini boleh dimuat turun di SINI.

Penggunaan Inhaler ketika berpuasa

Inhaler merupakan sejenis alat semburan yang dijadikan sebagai ubat untuk pesakit asma. Hukum penggunaannya merupakan suatu hukum yang baru, yang diperselisihkan oleh para ulama. Perbezaan pandangan ini terbahagi kepada dua golongan. 

Golongan pertama:

Teridiri daripada: Syeikh Abd Aziz bin Baz (bekas mufti Arab Saudi), Syeikh Muhammad bin Saleh Al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jabrin, Dr. Siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi.

Mereka ini berpendapat, penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa. Dalil mereka ialah:

Kandungan Inhaler antaranya terdapat sejumlah kecil air, jadi air yang tertinggal di dalam itu di Qias kan dengan dimaafkan air yang tertinggal di dalam mulut apabila berkumur dan membasuh hidung ketika mengambil wudhuk. Yang kedua, semburan tersebut diragui sama ada memang masuk ke dalam perut atau tidak, maka mereka menggunakan kaedah "setiap sesuatu itu masih berada pada tempat asalnya selagi belum terbukti". Yang ketiga, semburan Inhaler ini merupakan suatu perubatan, ia bukannya makan dan minum secara zahir. Yang keempat,semburan ini juga hanya melalui perut, dan tidak sampai ke perut. Qias dengan keharusan bersiwak pada bulan puasa.

Golongan kedua:

Terdiri daripada: Dr Fadl Hassan Abbas, Syeikh Muhammad Mukhtar Salami, Dr Muhammad Alfai, Syeih Muhammad Taqiudin al-Uthmani, Prof Dr. Wahbah az-Zuhaili

Mereka ini berpendapat penggunaan Inhaler membatalkan puasa. Sesiapa yang terdesak menggunakannya perlulah menqada' puasa mereka. Dalil mereka ialah:

Bahan didalammnya tetap sampai ke perut walaupun dalam kuantiti yang kecil. Walaupun ia pergi ke paru-paru, namun masih akan sampai ke perut, maka ia tetap dikira batal, kerana setiap sesuatu yang masuk ke dalam perut akan membatalkan puasa, tanpa mengira jumlahnya banyak atau sedikit. 

Kesimpulannya. Penggunaan Inhaler patut dijauhkan ketika sedang berpuasa, kecuali jika sesorang itu sangat terdesak, maka boleh menggunakannya dan bebas memilih mana-mana pendapat diatas. Jika seseorang itu berada dalam keadaan yang teruk sehingga terpaksa menggunakannya dengan kerap maka boleh memilih pendapat yang pertama, kerana ia akan menjadi sukar jika hendak qadha' puasanya setiap hari.

Wallahualam.

Rujukan: Isu-isu perubatan dan hubungannya dengan perkara yang membatalkan puasa: Penterjemah Prof Madya Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari



Khusyuk dan was-was di dalam solat. Hukum-hukum berkaitannya


Khusyuk di dalam solat merupakan sesuatu yang dituntut di dalam agama. Namun kadangkala kita sering tertanya adakah sah solat kita jika kita tidak khusyuk? Sebelum itu akan diterangkan secara ringkas apakah itu khusyuk di dalam solat.

Firman Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 1-2

"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya."
Menurut Imam Al-Ghazali, khusyuk itu tercapai jika sewaktu mengerjakan solat, terpenuhi hal-hal berikut ini:



  1. kehadiran hati;
  2. faham makna kalimah yang di baca
  3. mengagungkan Allah SWT;
  4. merasa gentar terhadap Allah SWT;
  5. rasa pengharapan kepada Allah SWT; dan
  6. merasa malu terhadap-Nya





Dengan demikian makna khusyuk sebagaimana didefinisikan oleh Sa’id bin Jubair, adalah terpusat(fokus)nya pikiran terhadap solat yang sedang dilakukan hingga tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan sebelah kirinya. Hal ini pernah dibuktikan oleh Muslim bin Yasar yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya: Ihya Ulumuddin, yang mana ketika beliau sedang mengerjakan solat di sebuah masjid, banggunan masjid itu runtuh tanpa disedarinya. 




Khusyuk merupakan roh (jiwa) solat. Jadi jika kita senantiasa solat dengan khusyuk, solat yang kita lakukan akan menjadikan hari-hari kita lebih positif . Agar kita dapat solat dengan khusyuk, maka haruslah berusaha:




  1. ketika solat kita harus merasa sedang menghadap Allah SWT, yang mengetahui segala sesuatu yang tersimpan dalam hati dan pikiran kita;
  2. tidak tergesa-gesa, baik dalam membaca bacaan solat maupun melaksanakannya;
  3. memperhatikan bacaan solat , sekaligus menghayatinya dalam hati;
  4. membuang jauh-jauh segala hal duniawi dan keraguan yang mengganggu hati.


Walaubagaimanapun, ketika sebagai manusia sering diganggu oleh syaitan, yang kerjanya untuk melalaikan manusia. Di dalam solat kita sering terfikir hal-hal berkaitan keluarga, kerja, dan macam-macam lagi. Bagaimanakah status solat kita?

Pertama sekali, kita perlu tahu konsep khusyuk di dalam fiqh, ianya sama seperti konsep taqwa. Taqwa itu bermaksud kita patuh dan laksanakan suruhan Allah, dan meninggalkan apa yang dilarang. Namun kita sebagai seorang manusia, tidak maksum dan tidak lari dari melakukan maksiat, adakah kita tidak lagi dikira sebagai orang yang bertaqwa? Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 201

Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).

Di sini kita jelas kita boleh lihat bahawa Allah taala telah menyatakan orang yang bertakwa bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi ialah orang yang apabila melakukan kesalahan dan ia cepat-cepat sedar dan kembali pada jalan yang benar.

Begitu juga dengan Khuyuk, walaupun menurut bahasa ia bermaksud kita tumpukan perhatian pada solat, tetapi dalam makna syaraknya ialah kita tumpukan perhatian, dan jika kita lalai cepat-cepat kembali menumpukan perhatian. Kerana kita mustahil untuk manusia (kecuali orang-orang yang tertentu) khusyuk 100% di dalam solat, inilah sifat manusia yang sentiasa akan dilalaikan oleh syaitan.


Bagaimana solat kita yang tidak khusyuk ini?

Solat yang tidak khusyuk hukumnya tetap sah, kerana khusyuk tidak termasuk dalam syarat sah, tetapi solat kita dianggap tidak sempurna. Sebagai seorang Islam kita perlu cuba untuk tingkatkan tahap khusyuk kita setiap kali solat. 

Bolehkah mengulangi solat fardhu 2 kali atau lebih?

Mengulangi solat fardhu ini mempunyai dua hukum. Sunnat dan Dilarang

Jika kita telah melakukan solat fardhu bersendirian atau berjemaah, kemudian kita dapati ada jemaah lain yang sedang solat, maka sunnat jika dia ulangi solat dengan jemaah itu. Syarat dan rukun solatnya dikira sama seperti solat fardhu, seperti tidak boleh solat duduk,tidak boleh batalkan solat dengan sengaja dan lain-lain. Tetapi hukum solat itu dikira sunnat.  Ini bedasarkan hadis Rasulullah






فلا تفعلا إذا صليتما في رحالكما ثم أتيتما مسجد جماعة فصليا معهم فإنها لكما نافلة

Maksudnya: Jangan kamu lakukan demikian. Apabila kamu telah bersembahyang di kediaman kamu, kemudian kamu mendatangi masjid jemaah maka bersembahyanglah bersama mereka. Maka sesungguhnya ia menjadi sunat bagi kamu.


(Tirmizi (no: 219) dan katanya "Hadis Hasan Sahih", Nasaie (no: 858).)

Hukum yang kedua, megulangi solat fardhu adalah dilarang oleh syarak, jika mengulangi itu dengan alasan kerana merasakan solat kita tidak khusyuk, atau tidak puas hati, atau rasa was-was terhadap sesuatu. Larangan ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah:





لاَ تُصَلُّوا صَلاَةً فِى يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ




Maksudnya: Jangan kamu melakukan satu-satu solat dalam satu hari sebanyak dua kali.

(Abu Daud (no: 579), Nasaie (no: 860), Ibn Khuzaimah (no: 1641), dan lain-lain.)



Bagaimana jika was-was? Adakah boleh ulangi solat fardhu?

Dalam hal ini, ia tetap dilarang. Seperti kita telah jelaskan, mengulangi solat fardhu hanya dibolehkan jika kita melakukan solat sendirian, dan ingin berjemaah. Selain dari itu maka ia dilarang.

Jika kita was-was adakah boleh batalkan solat?

Jawapannya tidak boleh, kerana Rasulullah juga pernah terlupa, baginda melakukan solat zohor dua rakaat, kemudian selepas diingatkan oleh sahabat, baginda menambah lagi dua.

Jika kita tersedar yang kita melakukan solat kurang rakaat selepas habis solat, maka kita hanya perlu tambah bilangan rakaat yang terlupa itu sahaja, dengan syarat ia perlulah dalam masa yang tidak terlalu lama (dianggarkan dalam lingkukang 5-10 minit). 

Manakala jika didalam solat kita terlupa, seperti adakah sedang di rakaat 3 atau 4? Maka dalam hal ini, perlu mengambil jumlah rakaat yang sedikit, dan melakukan sujud sahwi sebelum salam. Kata Rasulullah, jika kita memang berada pada rakaat yang betul, sujud sahwi itu sebagai penghinaan kepada syaitan kerana gagal merosakan solat kita, tetapi jika kita sebenarnya sedang di rakaat ke 4, tetapi buat kembali rakaat ke 3, maka sujud sahwi itu sebagai menyempurnakan solat kita. 

Kesimpulan

Tidak khusyuk di dalam solat sebenarnya berkait dengan was-was. Jika kita sering was-was maka syaitan lebih mudah mengganggu kita. Apabila kita sedar yang kita sering tidak khusyuk di dalam solat, maka perlulah melatih diri agar menambah ke khusyukan itu, mungkin pada peringkat awal tidak sampai 100%, walaupun pada ketika ini sekadar 10% sahaja, dengan usaha dan tingkat ilmu kita ia akan bertambah dan semakin baik. Insha Allah

Wallahualam.

Berpurdah (niqab) dan Aurat Wanita menurut 4 Mazhab

Sebelum kita membincangkan hukum berpurdah atau niqab, perlu diketahui dahulu apakah aurat bagi wanita terhadap lelaki menurut 4 Mazhab

Dalil utama dalam bab aurat ini di dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 31:

ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها

Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, kecuali apa yang zahir daripadanya.

Maka ulama berselisih pendapat dalam maksud yang "zahir" daripadanya. dan maksud perhiasan yang tidak dibolehkan.

Dalam hal ini para Ulama berselisih kepada dua golongan.

1) Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Jumhur Fuqaha'

Golongan ini berpendapat seluruh anggota badan wanita aurat kecuali muka dan tapak tangan.

Pendapat ini juga merupakan sebahagian dari pendapat para sahabat dan Tabien. Said bin Jubair menyatakan bahawa, maksud perkataan yang zahir daripadanya itu ialah Muka dan Tapak tangan. 

Selain itu, terdapat juga hadis dari Aishah r.a menyatakan, bahawa Asma' pernah ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, Rasulullah kemudian berpaling dan bersabda: "wahai Asma', perempuan apabila telah baligh tidak boleh terlihat daripadanya selain dari ini dan ini". Kemudian Rasulullah menunjukkan ke arah dua tapak tangannya dan wajahnya.

Hujah mereka yang lain ialah, didalam solat dan haji wanita boleh menunjukkan muka dan tapak tangannya. Jika kedua itu adalah aurat, maka sudah pasti tidak akan dibenarkan di dalam ibadat.

2) Mazhab Syafie & Mazhab Maliki

Golongan ini berpendapat seluruh tubuh wanita adalah aurat termasuk muka dan tapak tangan. 

Mereka memegang pada ayat dilarang menampakkan perhiasan. Perhiasan terbahagi kepada perhiasan semula jadi, dan perhiasan buatan. Maka tubuh wanita keseluruhannya di anggap perhiasan wanita,maka ia dilarang.

Kemudian dalam sambungan ayat itu menyatakan "kecuali apa yang zahir daripadanya". Golongan ini mentakwilkan yang zahir itu adalah jika berlaku keadaan yang tidak disengajakan atau dalam keadaan darurat. Seperti tertiup angin, atau dalam keadaan berubat.

Selain itu, terdapat beberapa hadis yang nabi melarang para lelaki melihat wanita, dan meyuruh untuk palingkan pandangannya, maka jelas melalui larangan nabi ini haram hukumnya melihat wanita, termasuk juga melihat wajahnya. 

Terdapat juga firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53 yang menyuruh sesiapa yang ingin meminta sesuatu pada isteri nabi perlu lakukan di sebalik tabir, ini menunjukkan larangan melihat wanita bukan mahram. Walaupun ayat ini ditujukan pada isteri nabi, tetapi ia di qiyas kan kepada seluruh wanita muslimah. 

Melalui dalil aqli pula, wajah merupakan anggota yang boleh menimbulkan fitnah, kerana ia merupakan sumber utama timbulnya fitnah.

Hukum berpurdah

Setelah jelas pandangan-pandangan berkaitan aurat wanita maka hukum berpudah juga mengikut pandangan yang sama. Bagi golongan yang menyatakan muka dan tapak tangan bukan aurat, maka berpurdah ialah harus, atau sunat. 

Sebaliknya yang berpendapat muka dan tapak tangan aurat, maka hukumnya wajib. 

Namun perlu difahami dengan jelas hukum ini, kerana kebanyakan wanita-wanita di malaysia tidak memahami perkara ini dengan teliti. Hukum berpurdah wajib jika berpegang dengan wajah itu aurat, namun dalam masa yang sama tangan dan mata juga dikira aurat, maka tidak cukup hanya berpurdah, perlu juga mengenakan sarung tangan dan menutup mata. 

Seperkara lagi yang perlu difahami, berpurdah tujuannya ialah untuk menjaga dari fitnah, jika berpurdah tetapi rancak ber'selfie' maka ia tidak mendatangkan faedah. Akhlak juga perlu dijaga, jangan terlalu teruja menunjukkan mata kepada umum, dan beberapa perkara yang menunjukkan kesilapan dalam berpurdah. 

Pendirian orang yang berpegang dengan muka bukan aurat juga perlu dihormati, jangan rasakan diri anda mulia kerana berpurdah kerana ini masalah khilafiyah. Juga jangan memaksa orang mengikut pegangan anda, dan jangan pula berkempen. Kerana masing-masing berhak mengambil mana-mana pendapat, Golongan yang berpurdah juga perlu menghormati jika sesebuah institusi mengharamkan pemakaian purdah, ini kerana dalam masalah khilaf, pihak-pihak berwajib boleh untuk menjadikan salah satu dari pendapat yang khilaf ini sebagai pegangan yang perlu diikut atas sebab mengaja maslahah yang lain. Seperti sebuah kolej yang mengharamkan atas sebab untuk mengelak berlakunya penipuan. 

Terakhir ialah, perlu diingat bahawa dalam masalah khilaf kita boleh memilih dan boleh mengamalkan kedua-dua pendapat. Jika berlaku keadaan yang melarang kita untuk berpurdah, janganlah terlalu ekstrim dan berkeras tidak mahu menaggalkannya, atau pun berada di kawasan masyarakat yang tidak menerima pemakaian ini, maka seloknya bertukarlah ke pendapat yang ianya bukan aurat. Sikap keras terhadap masalah khilaf ini akan menimbulkan permusuhan dan kekacauan.

Wallahualam


Fidyah Puasa menurut 4 Mazhab



Apa itu fidyah?

Fidyah merupakan bayaran yang dikenakan keatas orang-orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan syarak. Hukum membayar fidyah adalah wajib bedasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184.


Sebab-sebab yang diwajibkan fidyah:


  • Tidak mampu puasa : Semua fuqaha sepakat bahawa lelaki atau wanita yang tidak mampu berpuasa kerana sakit tua, wajib membayar fidyah. Jika mereka sukar berpuasa pada bulan Ramadhan, maka dibolehkan untuk tidak berpuasa dan membayar fidyah mengikut hari yang tidak berpuasa. Menurut Ibn Abbas, ayat 184 surah al-Baqarah ini juga menjadi rukhsah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa. Jika ia tidak mampu membayar kafarah, warisnya diwajibkan untuk membayar kafarah untuknya, namun jika warisnya atau orang yang menanggungnya tidak mampu, maka menurut mazhab hanafi ia perlu beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah Azza Wa Jal. 

  • Orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh : Ulama bersepakat orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa dan tidak ada harapan sembuh boleh membayar kafarah mengikut hari yang tidak mampu ia berpuasa. Jika ia ada harapan sembuh maka puasanya boleh diqadha' selepas itu, dan tidak perlu membayar fidyah. 

  • Wanita hamil atau yang sedang menyusu : Jumhur Bersepakat wanita yang sedang hamil atau yang mesnyusukan anak, boleh untuk tidak berpuasa jika khuatir akan menjejaskan kesihatan atau memudaratkan diri. Tetapi mereka wajib menqadha' puasa dan membayar fidyah. Namun menurut Mazhab Hanafi hanya wajib qadha' tidak perlu membayar fidyah. 

  • Orang yang tidak Qadha' puasa Ramadhan hingga tiba Ramadhan yang berikut : Jumhur berpendapat orang yang tidak habis Qadha' puasa Ramadhannya hingga tiba Ramadhan yang berikut maka ia wajib Qadha' dan dikenakan fidyah mengikut jumlah hari yang tertinggal. Namun Mazhab Hanafi pula hanya wajib untuk Qadha' sahaja tanpa dikenakan fidyah.

Berapakan jumlah fidyah?

Menuruh Mazhab Hanafi, jumlah fidyah ialah setengah Sha' gandum, boleh juga dibayar dengan nilainya mengikut wang ringgit. Jumhur pula menyatakan bahawa jumlah fidyah ialah satu Mud makanan asas untuk satu hari tertinggal puasa. Kiraan Sha' atau Mud boleh rujuk artikel Kafarah.


Wallahu'alam

Kafarah Puasa menurut 4 Mazhab




Apa itu Kafarah?

Kafarah ialah denda yang dikenakan ke atas orang yang membatalkan puasanya secara sengaja dan atas kehendaknya sendiri. Mereka dikenakan kafarah kerana melanggar kesucian bulan Ramadhan dengan sengaja, tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Hukum kafarah adalah wajib jika batal puasanya dalam bulan Ramadhan sahaja.

Dalam keadaan apa dikenakan kafarah?

Kafarah tidak dikenakan ke atas semua jenis keadaan yang membatalkan puasa. Kafarah hanya dikenakan jika orang yang membatalkan puasanya dalam-dalam keadaan berikut (semuanya yang hanya terjadi dalam bulan Ramadhan sahaja):

1) Mazhab Hanafi

  • Memasukkan sesuatu kedalam mulut dengan sengaja. Sama ada makanan atau tidak. seperti rokok, shisha dan lain-lain. Termasuk juga jika seseorang yang makan kerana menyangka puasa batal kerana melakukan sesuatu, sedangkan tidak batal, seperti berbekam atau bercium dengan istrinya. Jika ia makan kerana menyangka perbuatan itu membatalkan puasanya sedangkan sebenarnya tidak maka wajib juga dikenakan kafarah, kecuali ia telah diberitahu oleh ahli fiqh bahawa puasnya memang batal. 

  • Berjimak dengan sengaja. Melalui lubang faraj atau dubur, walaupun sentuhan berlaku tanpa enjakulasi, dengan syarat objek itu adalah seorang manusia yang hidup yang boleh manaikkan nafsu.  Seorang wanita juga wajib dikenakan kafarah jika ia membiarkan dirinya disetubuhi budak yang belum baligh dan orang gila. 



2) Mazhab Maliki

Perkara-perkara yang membatalkan puasa yang diwajibkan untuk qadha' puasa dan dikenakan kafarah. 


  • Bejimak dengan sengaja pada siang hari, walaupun tidak mengeluarkan mani. Apabila zakar telah masuk sahaja ke dalam faraj maka dikira sebagai jimak. Juga terjadi jika melakukannya dengan binatang. Jika berjimak dalam keadaan lupa maka ia tidak akan dikenakan kafarah. Jika seorang lelaki berjimak dengan seorang wanita yang sedang tidur atau memaksa wanita itu bersamanya, maka lelaki itu perlu membayar kafarah atas dirinya dan atas wanita itu, begitu juga sebaliknya jika wanita yang melakukan. Jika dua-dua melakukan dengan sengaja maka setiap orang perlu bayar kafarah atas dirinya.

  • Mengeluarkan mani atau madzi dalam keadaan sedar. Jika melakukan onani, atau bercumbuan seperti bercium, atau bercumbu tanpa melakukan sentuhan di kemaluan, sehingga menegeluarkan mani atau madzi maka batallah puasanya, dan dikenakan kafarah. Namun jika dia hanya memandang seseorang dan berkhayal yang menyebabkan maninya keluar, maka tidak dikenakan kafarah, tetapi puasanya batal, jika hanya keluar madzi puasanya tidak batal. Tetapi jika seseorang itu memang kebiasannya akan keluar mani jika memandang seseorang, maka ia akan dikenakan kafarah.

  • Makan dan minum dengan sengaja. Walaupun memasukkan sesuatu yang bukan makanan, ia dikira juga sebagai makan dan minum. Termasuk juga muntah dengan sengaja kemudia menelan semula muntah itu, ini semua termasuk dalam perkara yang dikenakan kafarah. Namun tidak wajib bayar kafarah jika termasuk sesuatu melalui rongga selain mulut seperti hidung dan telinga.

  • Berniat untuk berbuka pada siang hari. dan Sengaja berbuka tanpa ada uzur yang dibenarkan.


3) Mazhab Syafie & Mazhab Hanbali

Mazhab Syafie hanya 1 perkara yang membatalkan puasa dan dikenakan kafarah malah dikenakan ta'zir. Iaitu berjimak dengan sengaja. Dengan syarat ia sudah berniat puasa pada malam harinya, melakukannya dengan sengaja dan tahu akan haramnya perbuatan itu, puasanya batal kerana berjimak (Jika ia sudah batal puasa dengan perkara lain seperti makan, kemudian ia berjimak maka tidak dikenakan kafarah), dia berdoa dengan perbuatan ini (tidak ada kafarah jika belum baligh, atau orang yang mendapat rukhsah, seperti orang yang sedang bermusafir yang boleh untuk tidak puasa, dan ia berbuka dengan berjimak), dia yakin puasanya sah, dan tidak ragu-ragu, jimak berlaku pada lubang faraj atau dubur wanita yang hidup atau mati juga haiwan, selain itu tidak dikenakan kafarah. 



Bentuk-bentuk Kafarah


Kafarah puasa adalah sama seperti kafarah zhihar dan kafarah membunuh tanpa sengaja, iaitu wajib mengikut urutan.

  1. Merdekakan hamba :  Hamba yang ingin dimerdekakan perlu yang beriman (menurut jumhur kecuali mazhab hanafi), tidak mempunyai kecacatan yang menghilangkan fungsi untuk berjalan bercakap berfikir dan melihat. 
  2. Berpuasa dua bulan Qamari (bulan hijrah) berturut-turut : Jika tidak sanggup merdekakan hamba sama ada tidak mempunyai hamba atau tidak mampu, maka kafarahnya ialah berpuasa selama dua bulan qamari berturut-turut, tanpa diselangi dengan hari-hari tasyriq atau hari raya. Hanya boleh diselangi jika ada uzur syarie seperti wanita yang datang haid, atau orang sakit yang tidak mampu berpuasa tetapi sakitnya akan sembuh, atau orang yang gila, atau orang yang lupa, atau orang yang tersilap kiraan hari, atau orang yang nifas, atau orang yang pingsan dalam keadaan lama. Menurut mazhab hanafi pula selain dari uzur haid maka wajib mula dari awal jika terbatal puasanya. Selain dari itu jika ia terbatal puasanya maka perlu ulang semula kiraan dua bulan dari awal. Tidak sah puasanya jika ia mampu merdekakan hamba, jika dia sedang berpuasa kemampuan itu datang maka ia wajib merdekakan hamba walaupun puasanya pada hari terkahir menurut mazhab hanafi. Menurut Jumhur pula tidak wajib, ia boleh teruskan puasanya, kecuali jika dia benar-benar mahu merdekakan hamba. 
  3. Memberi makan 60 orang miskin : Jika tidak mampu berpuasa, makan kafarahnya ialah memberi makan 60 orang miskin, setiap seorang perlu diberi 1 Mud gandum (menurut pendapat Jumhur). 1 Mud bagi mazhab hanafi bersamaan 714.5 gram, mazhab syafie dan hanbali pula 1 mud bersamaan 510 gram, Mazhab maliki pula bersamaan 506.5 gram. Gandum buleh juga diganti dengan makanan ruji seperti beras. Menurut mazhab hanafi pula setiap orang miskin perlu diberikan 2 Mud gandum, atau 1 Mud pagi 1 Mud petang. Atau boleh diberi 1/2 Sha' kurma, 1 Sha' bersamaan dengan 2.7kg. Kurma juga boleh diganti dengan kismis kering menurut hanafi, atau boleh juga diganti dengan nilai duit. Orang yang menerima kafarah tidak boleh beri makanan kafarah itu kepada keluarganya (yang dibawah tanggungannya).

Mazhab Maliki pula tidak mewajibkan mengikut urutan, orang yang dikenakan kafarah bebas memilih yang mana, dan yang paling afdhal ialah memberi makan orang miskin. 


Bagaimana jika kesalah yang dikenakan kafarah berulang?

Jika kesalahan itu berlaku dalam hari yang sama, semua mazhab bersepakat bahawa hanya dikenakan satu kafarah sahaja. Seperti seseorang telah berjimak, dan belum membayar kafarahnya telah berjimak sekali lagi pada hari yang sama, maka hanya dikira 1 kafarah. 

Tetapi jika dilakukan pada hari yang berbeza, maka dikenakan kafarah mengikut jumlah harinya itu menurut pendapat jumhur. Menurut Hanafi pula cukup 1 kafarah sahaja jika ia melalukan beberapa kali walaupun pada hari yang lain. 


Bagaimana jika terdapat keuzuran syarie selepas melakukan kesalahan?

Jika seseorang itu membatalkan puasanya seperti berjimak, kemudian terjadinya keuzuran yang dibenarkan membatalkan puasa itu datang selepas berjimak, maka ia tetap dikenakan kafarah. Seperti seseorang telah berjimak, kemudian ia sakit, atau bermusafir, atau wanita yang datang hadi setelah berjimak ketika puasa, maka keuzuran itu tidak menghalangnya dari dikenakan kafarah. 

Mazhab hanafi pula kafarahnya gugur jika keuzuran itu datang selepas melakukan kesalahan. Kecuali jika orang bermusafir, orang yang bermusafir setelah berjimak tetap dikenakan kafarah. 



Wallahualam

Isteri berpuasa sunat tanpa izin suami

Sabda Rasulullah:


لا تصوم المرأة يوما واحدا وزوجها شاهد إلا بإذنه إلا رمضان 


Maksudnya: Seorang wanita tidak boleh berpuasa walaupun satu hari dalam keadaan suaminya berada di rumah, kecuali dengan izin suaminya. Melainkan pada bulan Ramadhan. 
(H.R Bukhari, Muslim, dan lain-lain)

Apakah hukum isteri berpuasa tanpa izin suami?

Majoriti Ulama menyatakan hukumnya adalah haram secara mutlak. Manakala Mazhab Hanafi pula menyatakan hukumnya Makruh Tahrim, iaitu makruh yang mana menghampiri haram. Seorang isteri yang ingin berpuasa sunat perlu mendapat keizinan suaminya jika suaminya berada di rumah. Jika suaminya tiada di rumah, maka ia tidak perlu mendapat keizinan suaminya. Suami juga dibolehkan untuk menyuruh isterinya membatalkan puasanya. Begitu juga jika isteri yang berpuasa ketika suami tiada di rumah, kemudian bila suaminya balik, suami boleh menyuruh isterinya membatalkan puasa. 

Jika seorang isteri tetap meneruskan puasanya walaupun tidak diizinkan suami, puasanya tetap sah, tetapi perbuatannya itu haram. Pengharaman ini bedasarkan hadis Rasulullah diatas, selain itu, mengikuti arahan suami adalah wajib, manakala puasa sunat hukumnya adalah sunat. Perkara sunat tidak boleh melebihi perkara yang wajib. 

Namun begitu, keizinan suami ini hanya dalam puasa sunat, ianya tidak terpakai dalam puasa Ramadhan. Kerana puasa Ramadhan hukumnya wajib, malah isteri tidak berdosa jika menderhaka suaminya jika suami melarang berpuasa Ramadhan. Rasulullah juga menyatakan bahawa tidak ada ketaatan pada manusia dalam perkara yang mungkar, dan tidak berpuasa Ramadhan adalah perkara yang mungkar. Sama juga keadaanya jika berpuasa Qada'. Kerara puasa Qada' dikira juga puasa Ramadhan, yang mana hukumnya adalah wajib.

Suami juga perlu bertimbang rasa dalam perkara ini, seorang suami yang baik perlu menggunakan pendakatan yang baik, walaupun suami ada hak dalam melarang perkara ini, adalah tidak wajar jika menggunakan kekerasan keatas isteri. 


Wallahualam

Sujud Syukur menurut 4 Mazhab




Menurut pendapat majoriti Ulama', sujud syukur hukumnya adalah Sunnah, namun ada yang memakruhkannya. Berikut merupakan pendapat para ulama 4 mazhab.

1) Mazhab Hanafi 

Menurut Imam Abu Hanifah, suduj syukur hukumnya Makruh, kerana kita tidak mungkin dapat menghitung nikmat Allah. Namun Ulama Hanafiyyah mengatakan sujud syukur merupakan ibadah yang berpahala, ini bedasarkan hadis dari Abu Bakrah bahawa Rasulullah bersujud setelah mendapat berita gembira. Pendapat yang difatwakan ialah sujud syukur adalah harus, namun makruh jika diluar solat. Kerana dikhuatiri orang awam menganggapnya sunnah awau wajib, dan setiap perkara yang boleh membawa kepada sunnah atau wajib sedangkan ianya tidak, adalah makruh. Jika berniat untuk sujud syukur di dalam sujud ketika solat ianya sudah memadai.


2) Mazhab Maliki

Ulama Malikiyyah berkata, jika Makruh hukumnya jika sujud syukur apabila mendengar berita yang baik, atau terhindar dari bencana seperti tsunami, gempa dan lain-lan. Yang menjadi amalan sunnahnya ialah melakukan solat 2 rakaat. Ini merupakan amalan penduduk Madinah al-Munawwarah. Namun seorang ulama dalam Mazhab Maliki membolehkannya bedasarkan hadis dari yang sama dalam Mazhab Hanafi, hadis dari Abu Bakrah ( hadis ini menurut Imam at-Tirmizi ialah hadis hasan gharib).


3) Mazhab Syafie

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Ulama Mazhab Syafie berpendapat bahawa Sujud Syukur bukan termasuk di dalam solat. Sujud Syukur sunnah dilakukan ketika mendapat berita yang baik, atau nikmat yang besar seperti, mendapat zuriat, naik gaji, atau terhindar dari bencana seperti banjir besar, atau serangan pengganas dan sebagainya. 

Keadahnya adalah sama seperti sujud tilawah. Menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie, boleh melakukan Sujud Syukur menggunakan isyarat jika sedang memandu, atau dalam keadaan lain yang menghalang ia dari sujud di tanah. Ulama Syafie bersandarkan dengan hadis dari Abu Daud dengan sanad yang hasan. 


4) Mazhab Hanbali

Kitab Mughnii menjelaskan dalam Mazhab Hanbali Sujud Syukur merupakan amalan sunnah, sama seperti Mazhab Syafie, antara dalil mereka ialah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq bersujud setelah tentera Islam menakluki Yamamah. Tidak boleh bersujud syukur ketia sedang solat, jika melakukannya juga maka batal solatnya kerana sujud syukur bukan sebahagian dari gerakan solat, kecuali jika ia terlupa, atau tidak tahu akan larangannya.

Wallahualam.


Bagaimana orang yang belum ganti puasa meninggal dunia?

Jika sesorang yang telah meninggal dunia masih mempunyai baki puasa ramadhan yang belum di Qadha atau digantikan, apakah yang boleh dilakukan?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini. 

Imam Syafie dan beberapa fuqaha lain berpendapat bahawa, walinya atau orang lain tidak menangguung puasanya, dan tidak wajib untuk qadha atas nama orang lain. Walinya harus untuk memberi makan (kaffarah) atas nama si mati.

Imam Malik juga berpendapat sama seperti Imam Syafie tetapi jika walinya di wasiatkan untuk menggantikan puasa maka wajib atas walinya untuk berpuasa bagi si mati.

Imam Hanafi pula berpendapat walinya perlu berpuasa atas si mati, tetapi jika tidak mampu maka boleh untuk memberi makan (kaffarah) sahaja. 

Pendapat yang lain pula memberi kategori sama ada puasa nazar atau puasa ramadhan. Jika puasa Nazar maka wajib untuk walinya puasa, jika puasa Ramadhan tidak wajib.

Berlaku perbezaan ini disebabkan oleh pemahaman terhadap dan Qias para ulama'. Hadis yang pertama dari Aisyah:

إنه قال عليه الصلاة والسلام: من سات وعليه صيام..... عنه وليه

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Sallahu 'alaihi Wa Sallam bersabda: Sesiapa yang meninggal, sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa maka walinya perlu berpuasa atas namanya.
(H.R: Muslim)

Dalam hadis yang lain yang bermaksud:

"Berkata Ibnu Abbas: Seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah, kemudian berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu ku meninggal, sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa sebulan, adakah aku perlu menqadha' atas namanya? Rasulullah menjawab: Andai ibumu berhutang adakah engkau perlu selesaikannya? Jawab lelaki itu: Ya. Maka berkata Rasulullah: Begitu juga hutang dengan Allah, yang mana ia lebih berhak untuk dilunaskan."
Fuqaha yang tidak berpegang dengan pendapat wali perlu menggantikan puasa menyatakan hadis-hadis tersebut bertentangan dengan perkara yang asas, iaitu sesorang tidak menganggung amalan orang lain. Seperti qadha' solat, zakat, dan lain-lain. Mereka menqiaskan perkara ini sama dengan puasa. Sebaliknya fuqaha' menganggap wali wajib puasa, berpegang dengan hadis ini sebagai hujah mereka. Terdapat juga fuqaha yang mengambil hadis ini dalam bab puasa nazar sahaja.

Ulama yang mewajibkan untuk fidyah pula berhujah dengan ayat 184 surah al-Baqarah. Ada juga yang memberi pilihan untuk memilih sama ada membayar fidyah atau wali perlu berpuasa, kerana ia menggabungkan dalil hadis dan ayat 184 surah al-Baqarah.

Wallahualam.
 




Bagaimana jika tidak Qadha puasa setelah tiba Ramadhan berikut


Menggantikan puasa Ramadhan adalah wajib bagi sesiapa yang tidak melengkapkan puasanya. Dalam bab menggantikan puasa boleh lihat di SINI

Sekiranya seseorang itu tidak sempat mengganitkan puasanya sehingga telah tiba bulan Ramadhan yang berikut, maka menurut pendapat Imam Syafie, Imam Malik, dan Imam Ahmad wajib atasnya menggantikan puasanya itu dan akan dikenakan kaffarah. Manakala menurut pendapat Mazhab Hanafi dan yang lain seperti Imam Hasan al-Basri, Imam Ibrahim an-Nakhai'e hanya diwajibkan qadha, tetapi tidak dikenakan kaffarah. 

Berlaku perbezaan pendapat ini kerana, golongan yang mewajibkan kaffarah menqiyaskan tidak menqadha puasa sama seperti orang yang sengaja tidak berpuasa, kerana mereka juga sengaja tidak menggantikan puasa, setelah setahun diberi peluang untuk menggantikannya. 

Wallahualam

Ganti puasa Ramadhan berturut atau tidak?

Men'Qadha' puasa atau menggantikan puasa Ramadhan adalah wajib, selagi mana tidak terdapat keuzuran yang dibolehkan syarak. Namun, adakah ianya perlu diganti secara berturut-turut atau dibolehkan untuk mengganti pada hari-hari yang dikehendaki. Persoalan ini adalah lebih tertumpu kepada golongan wanita yang datang haid ketika bulan ramadhan. 

Dalam bab ini, terdapat dua pendapat. Golongan fuqaha yang pertama berpendapat bahawa puasa Ramadhan perlu di gantikan secara berturut-turut, dengan beralasan terdapat sifa ada' iaitu cara perlaksanaan puasa dalam bulan ramadhan. Golongan ini menyatakan bahawa di dalam bulan Ramdhan puasa adalah berturut-turut, oleh sebab itu menggantikan puasa Ramadhan juga perlu dilakukan dengan berturut, kerana hukumnya adalah sama.

Golongan fuqaha yang kedua pula, berpendapat bahawa puasa qadha tidak perlu digantik secara berturut-turut. Terdapat juga segelintir ulama yang mensunnah kan qadha secara berturut, dan ada juga yang tidak mensunah kan.

Perbezaan pendapat ini terjadi kerana terdapatnya perbezaan dalam menetapkan hukum. Golongan pertama menggunakan kaedah Qiyas. Mereka mengQiaskan ibadat puasa dengan ibadat solat dan haji, yang mana jika terlepas perlu diganti secara berturut-turut kerana ibadat solat dan haji bersifat berturut-turut. Maka Qadha puasa juga perlu dilakukan secara berturut.

Manakala golongan kedua pula, menggunakan ayat quran secara zahirnya. Allah berfirman " maka hendaklah ia menggantikan (puasa) pada hari-hari yang lain". Ayat ini menjelas kan bahawa menggantikan puasa boleh pada hari-hari yang lain tanpa meletakkan syarat berturut, hanya perlu digantikan bilangan hari yang ditinggalkan sahaja. Hujah yang lain pula melalui Aisyah yang meriwayatkan bahawa telah turun ayat yang bermaksud: " maka hendaklah ia menggantikan (puasa) pada hari-hari yang lain secara berturut-turut", kemudiannya perkataan beruturut-turut itu dimansuhkan seperti yang terkandung didalam quran hari ini.

Wallahualam





Membaca Al-Quran tanpa wuduk


Jumhur Ulama sepakat bahawa membaca Al-Quran dan menyebut nama-nama Allah (asmaaul husna) dalam keadaan tidak berwudhuk dibolehkan. Sebahagian kecil golongan Ulama yang lain menyatakan harus untuk membaca Al-Quran ketika berwudhuk.

Perbezaan pendapat ini berlaku kerana perbezaan pemahaman terhadap dua hadis yang shahih, yang mempunyai maksud yang berbeza setiap satu.

Dalam hadis yang pertama, yang diriwayatkan oleh Abu Jahm, bahawa Rasulullah telah datang dari Sumur Jamal, kemudian baginda terserempak dengan seorang lelaki, Lelaki ini kemudian memberi salam kepada Rasulullah, namu salam itu tidak jawab oleh baginda. Lelaki itu kemudian pergi suatu tembok, lalu mengusap muka dan tangannya, kemudian barulah Rasulullah menjawab salam baginda.

Manakala hadis kedua pula dari Ali menyatakan:


Maksudnya: Bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam tidak menghalangi membaca Al-Quran (tanpa wudhuk) kecuali dalam keadaan Janabah (berhadas besar).

Jumhur Ulama berpendapat bahawa hadis yang kedua ini telah menasakhkan hukum hadis yang pertama, manakala ulama golongan yang kedua berpendapat bahawa kekuatan kewajipan wudhuk adalah lebih utama, dan ia mengatasi golongan kedua.

Wallahualam

Niat & Imsak Puasa

*      Niat & Imsak Puasa

Niat berpuasa untuk puasa bulan Ramadhan wajib dilakukan sebelum berpuasa, atau pada malam harinya. Jika seseorang itu lupa untuk berniat maka ia wajib Imsak pada hari tersebut, dan wajib menggantikan puasanya itu. Niat berpuasa Ramadhan boleh dilakukan untuk sebulan sekaligus menurut Mazhab Maliki, tetapi menurut Jumhur ulama’ dan Mazhab Syafie ianya perlu dilakukan setiap hari sebelum mulakan puasa. Jika ia sudah berniat untuk sebulan maka tidak perlu untuk mengulangi niatnya pada setiap malam, kecuali jika berlaku sesuatu yang ia perlu berbuka seperti sakit, maka ia perlu memperbaharui niat. Jika seorang wanita yang habis haidhnya pada siang hari, ia sunnat untuk Imsak pada hari tersebut, dan wajib Qadha, tetapi jika ia hendak makan atau minum tidak menjadi masalah kerana Imsak padanya hanyalah sunnat dan lebih disukai menurut Mazhab Syafie.

*Imsak: Menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan minum, kerana untuk menghormati bulan puasa walaupun ia tidak puasa.

Wallahualam.

Persoalan berkaitan berbuka atau berjimak dengan sengaja atau tidak akan diterangkan dalam post yang akan datang, Insya Allah.

Zhihar

ZHIHAR
Zhihar merupakan satu cara talak dalam amalan jahiliyyah, iaitu menyamakan isteri dengan orang-orang yang haram dikahwini seperti ibu mereka, dan haram untuk mereka menyetubuhinya, maka isteri mereka akan haram selama-lamanya.

Adakah Zhihar dikira talak atau pengharaman sahaja?
Zhihar pada zaman arab Jahiliyyah dikira talak, dan isteri mereka akan diharamkan selama-lamanya. Tetapi selepas kedatangan Islam hukum itu berubah, dan dimansukhkan, hukum zhihar adalah tidak jatuh talak, namun haram untuk suami bersama dengan isteri. Di dalam Mazhab Syafie perbuatan ini termasuk dalam DOSA BESAR.

Apa yang diharamkan dalam zhihar?
Menurut pendapat Jumhur Ulama (mazhab hanafi, maliki,hanbali) diharamkan untuk suami bersama isteri dan diharamkan juga untuk melakukan permulaan jima', dan bercumbuan. Manakala menurut mazhab syafie, diharamkan berjima' sahaja. Pendapat jumhur adalah lebih selamat dan tepat.

Apa yang terjadi jika suami telah menzhirarkan isteri?
Suami yang telah menzhiharkan isterinya, perlu melalui dua situasi ini:
1)  Haram untuk bersama dengan isterinya.
2) Jika hendak menarik balik zhiharnya itu perlu melakukan kaffarah, selepas selesai kaffarahnya maka baru dibenarkan untuk bersama dengan isterinya semula. Kaffarahnya tidak boleh dipilih,perlu ikut urutan ialah:
                     i.        Bebaskan seorang hamba. Jika tidak mampu,
                    ii.        Puasa 2 bulan berturut-turut. Mazhab hanafi dua bulan itu dikira dengan jumlah bulan secara genap, sebulan 30 hari. Mazhab maliki dan syafie pula dua bulan mengikut hari dalam kalendar hijri, jika tidak tahu maka perlu genapkan sebulan 30 hari. Jika terlepas satu hari berpuasa tanpa uzur syarie, maka puasanya terbatal dan perlu mula semula kiraan hari puasa.
                   iii.        Jika tidak mampu berpuasa disebabkan alasan yang dibenarkan syarak seperti sakit, maka kaffarahnya ialah memberi makan 60 orang miskin. Makanan yang diberikan perlulah mengikut makanan kebiasaan sesuatu kawasan, dan makan perlu sehingga kenyang. Mazhab maliki dan syafie tidak boleh memberi makan kurang dari 60 orang, tetapi mazhab hanafi membolehkan memberi makan seorang 60 kali.


Kesimpulannya, zhihar hanya terjadi melalui ucapan suami, dan haram hukumnya. Ucapan zhihar adalah merujuk kepada pengharam terhadap isteri sahaja, bukan menyamakan dalam perkara-perkara yang lain. Pengharaman boleh terjadi jika disamakan dengan ibunya atau mana-mana orang yang haram dikahwini. Wallahualam

Solat Qasar dan hal berkaitannya


بسم الله الرحمن الرحيم



Orang yang sedang bermusafir samada musafirnya itu urusan agama ataupun dunia, atau dalam perjalanan, telah diberi keringanan oleh Allah dalam melakukan Ibadat solat. Allah telah memberi hadiah kepada umat Nabi Muhammad yang sedang bermusafir untuk mengurangkan bilangan solat mereka, ia juga dipanggil Qasar. Disini akan diberi penerangan berkaitan Solat Qasar, dan pandagan-pandagan ulama serta mazhab-mazhab lain yang juga turut diterima pakai oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pembaca juga boleh untuk mengambil sebagai satu pegangan atau hanya sebagai pengetahuan, tidak perlu untuk taksub terhadap satu pandangan sahaja.


Rukhsah yang diberikan Allah untuk menqasarkan solat ini secara umumnya telah diterangkan Allah  di dalam Al-Quran:


وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة إن خفتم أن يفتنكم الذين كفروا إن الكفرين كانوا لكم عدوا مبينا

Maksudnya: " Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa memendekkan (menqasar) solat kamu, jika takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu"
(Surah An-Nisa': 101)

Di dalam ayat tersebut, Allah memberi keringanan untuk menqasarkan solat jika hanya takut di serang orang kafir, walaubagaimanapun "TAKUT" bukanlah menjadi syarat untuk menqasarkan solat, ini bedasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ya'la bin Umayyah:

" Aku bertanya kepada Umar Al-Khattab: ' Aku melihat orang-orang masih menqasarkan solat, sedangkan Allah berfirman "jika takut diserang oleh orang-orang kafir", dan bukankah rasa takut itu sudah lenyap?'
Umar menjawab: " Apa yang menghairankamu itu, sama seperti apa yang pernah aku hairankan, lalu aku bertanya kepada Rasulullah, dan baginda menjawab:

صدقة تصدق الله بها عليكم فاقبلوا صدقته

Maksudnya: "itu merupakan sedekah dari Allah untuk kamu semua, maka terimalah sedekahnya"
(Hadis riwayat : Jamaah)

Ibnu Umar juga pernah ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab " Rasulullah adalah sebaik-baik teladan untuk kamu"

Manakala Aisyah pula telah meriwayatkan: " Solat itu diwajibkan dua rakaat dua rakaat ketika di Mekkah, Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah Solat yang dua rakaat ditambah lagi dua, kecuali Solat Maghrib kerana ia merupakan witir untuk siang hari, dan Solat Subuh kerana bacaan dalam Subuh adalah panjang. Jika Rasulullah bermusafir, baginda akan mengerjakan solat sebagaimana ketika difardhukan pada awalnya, iaitu di Mekkah"
( Hadis riwayat: Baihaqi, Ahmad, Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah )

Ibnu Qayyim berkata: Ketika mula bermusafir, Rasulullah menqasarkan solat yang empat rakaat dengan menjadikannya dua rakaat, hingga beliau kembali ke Madinah. Tidak ada riwayat yang mengatakan bahawa beliau membuat empat rakaat.

Jumhur Ulama semuanya sepakat bahawa Rasulullah menqasarkan solat, dan sepakat dalam hal ini, akan tetapi mereka berbeza pendapat dalam hukum menqasarkan solat.

Menurut beberapa orang sahabat seperti, Ali, Amr, Jabir, Ibnu Abbas, Ibnu Masud, Abdullah bin Umar hukum menqasarkan solat ketika musafir hukumnya wajib, dan hukum ini juga merupakan pendapat Mazhab Hanafi.

Mazhab Maliki pula berpendapat hukumnya adalah Sunat Muakkad, malah menqasarkan solat ketika musafir lebih Muakkad berbanding Solat berjemaah yang tidak qasar. Jika orang yang bermusafir tidak berjumpa dengan imam yang qasar juga, lebih baik dia solat sendiri dengan qasar, makruh hukumnya berimam dengan orang yang bermukim.

Mazhab Syafie dan Hanbali pula berpendapat hukumnya adalah Mubah (harus), tetapi menqasar solat adalah lebih utama, dan lebih baik jika dibandingkan dengan tidak qasar.


Berapakah jarak yang dibolehkan untuk Qasar solat?

Secara umumnya kita tahu bahawa orang yang musafir dibenar untuk qasar, jama' serta berbuka. Namun tidak ada satu dalil atau hadis yang memberitahu jarak musafir ini secara khusus.

Dalam kitab Fathul Bari dinyatakan bahawa Ibnu Munzir telah menyenaraikan 20 pendapat berkaitan perkara ini. Namun disini akan diterangkan beberapa pendapat yang paling kuat.


  1. Pendapat yang pertama : Jaraknya ialah 1 Farsakh / 3mil = Lebih kurang 5KM. Keterangannya:


Dari Yahya bin Yazid: Aku bertanya kepada Anas bin Malik mengenai menqasar solat, beliau menjawab: " Rasulullah melakukan solat dua rakaat (menqasar) jika sudah berjalan sejauh 3 mil, atau 1 farsakh"
(Hadis riwayat: Muslim, Ahmad, Abu Daud, Baihaqi)

Al-Hafiz Ibnu Hajr Al-'Asqalani juga menyebut dalam Fathul Bari bahawa hadis di atas merupakan hadis yang paling sahih dan yang paling jelas dalam menjelas jarak yang diperbolehkan Qasar. Terdapat hadis yang mempunyai makna yang sama juga yang diriwayatkan oleh Sa'id bin Mansur dari Abu Sa'id Al-Khudri.


    2.  Pendapat yang kedua: Tidak ada jarak yang khusus. Keterangannya:

Ulama-ulama pendapat yang kedua ini pula tidak menetapkan jarak yang khusus, seseorang itu boleh untuk menqasarkan solat sekiranya ia menempuh satu jarak dengan tujuan untuk musafir (perjalanan), atau boleh juga dikatakan seseorang yang melakukan perjalan yang keluar dari negerinya, dan secara zahirnya sebagai manusia dapat dikatakan bahawa ia sedang dalam perjalanan atau musafir. Maka ia boleh menjamakkan solatnya. Pendapat ini dipegang oleh Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyin, dan Imam As-Syaukani.

Ibn Abi Syaibah berpendapat jarak minima untuk qasar solat ialah 1mil, atau lebih kurang 1.7KM, pendapat ini juga dipegang oleh Ibn Hazm. Manakalah Imam As-Syaukani pula berkata: " Sesiapa yang keluar dari daerah atau negerinya menuju ke suatu tempat yang mana dianggap perjalannya sebagai musafir (iaitu orang yang menempuh perjalanan), maka harus baginya untuk menqasarkan solat walaupun jaraknya kurang dari 1 barid". 1 bari = lebih kurang 22KM

Sekiranya ingin berpegang kepada pendapat ini perlu diingati bahawa Allah maha mengetahui walaupun apa yang terdetik di dalam hati kita. Jadi jika ingin menqasar solat dengan jarak yang dekat pastikan ianya benar-benar di dalam musafir, jangan sesekali mempermainkan Allah, kerana Allah maha mengetahui.


   3.   Pendapat yang ketiga: 2 atau 3 Marhalah: 1 Marhalah = 2 Barid = 8 Farsakh = 44.7 KM. Keterangannya:

Menurut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, jarak qasar ialah 2 marhalah. Ini menurut hadis dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda " Wahai orang Mekkah, janganlah kamu menqasar solat kurang dari 4 barid dari Mekkah ke asfaan"
(Hadis riwayat Tabraani, Darul Qutni. Hadis Mauquf)

Ibnu Syaibah pula berkata: Qasar dalam solat ialah pada jarak perjalanan sehari semalam. Jarak perjalan yang dimaksudkan ini ialah dengan berjalan secara normal atau menaikin unta dengan keadaan biasa. Dan jika diukur jaraknya lebih kurang 4 barid, iaitu lebih kurang  88-89 KM.

Manakala Imam Abu Hanifah pula berkata: Jarak yang dibolehkan untuk qasar adalah jarak perjalanan 3 hari 3 malam, atau lebih kurang 3 Marhalah iaitu lebih kurang 120KM.

Kesemua jarak-jarak ini terpakai dalam apa jua cara, samada berjalan, menaiki kereta, kapal terbang, mahupun kapal laut. Jarak-jarak ini juga boleh diguna untuk berbuka bagi orang yang bermusafir. Seperti yang sudah dipesan, jangan sesekali cuba mempermain atau perbodohkan Allah, kerana Allah tahu apa niat kita yang sebenar.



Bilakah dibolehkan untuk mula dan akhiri menqasarkan Solat?

Jumhur ulama sepakat bahawa dibolehkan mula qasar apabila keluar daripada kawasannya, atau daerahnya. Ini merupakan syarat Qasar. Ibnu Munzir mengatakan: Aku tidak jumpa satupun bukti yang menunjukkan Rasulullah dalam perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah.

Anas pula berkata: Aku mengerjakan solat zuhor bersama Rasulullah di Madinah 4 rakaat, dan di Dzul Hulaifah 2 rakaat.
(Hadis riwayat: Jamaah)

Orang yang bermusafir tidak boleh menqasar lagi setelah tiba di kawasannya, atau menurutnya ia merasakan sudah berada di kawasannya. Jika di kawasan perkampungan, tidak boleh qasar jika sudah melintasi rumah pertama di daerahnya.


Berapa lamakah orang bermusafir boleh menqasarkan solat?

Masalah ini juga mempunyai pelbagai pendapat. Sebelum menerangkan pendapat-pendapat ulama akan diterangkan dahulu amalan Rasulullah dan para sahabat.

Dalam kitab Fiqh Sunnah, antara amalan Rasulullah dan sahabat yang diterangkan - Menurut Ibnu Qayyim, Rasulullah berada di Tabuk selama 20 hari, dan terus melakukan Qasar serta tidak pernah mengarahkan para sahabat untuk tidak qasar solat walaupun menetap lebih lama dari itu. Hadis dari Jabir bin Abdullah: Rasulullah bermukim di tabuk selama 20 hari dan selalu menqasarkan solatnya. (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam sahih Bukhari juga ada menyebut hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah menetap dalam salah satu perjalannya selama 19 hari, dan selalu mengerjakan solat 2 rakaat. Kerana itu jika kami bermusafir selama 19 hari kami akan menqasarkan solat, dan jika lebih dari itu kami tidak lagi Qasar.

Amalan sahabat pula, Ibnu Umar pernah bermusafir dan menetap selama 6 bulan, dan hanya menqasarkan solat. Begitu juga dengan Anas bin Malik yang menetap di syam selama 2 tahun dan melakukan qasar. Ada juga sahabat yang lain melakukan hal yang sama ketika di Ramhurmuz selama 7 bulan.

Menurut pendapat Ulama pula:

Imam Malik dan Syafie berpendapat jika seseorang itu berniat ingin menetap selama lebih dari 4 hari ia perlu solat seperti biasa, jika kurang dari itu dibolehkan untuk qasar.

Imam Abu Hanifah pula jika berniat ingin menetap selama 15 hari perlu solat seperti biasa, jika kurang dibolehkan qasar. Ini juga pendapat Laits bin Saad, juga ada riwayat ini pendapat yang dipegang oleh 3 orang sahabat : Umar, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas

Ali bin Abi Talib pula mengatakan jika lebih 10 hari tidak boleh qasar, dan kurang dari itu dibolehkan.

Menurut Aisyah dibolekan qasar selagi mana ia belum menyimpan bekalan (selagi belum mengemas atau menyimpan barang-barang seperti bermukim)

Manakala kesemua Imam 4 Mazhab sepakat bahawa, jika seseorang yang tidak pasti berapa lama hendak menetap ketika musafir kerana ada sesuatu untuk diselesaikan dan ia masih menunggu dan dan berniat " Aku akan pulang mungkin hari ini atau esok", selagi ia berada dalam keadaan ini iaitu tidak pasti bila mahu pulan ia dibolehkan untuk Qasar. Tetapi Imam syafie membuat pengecualian dalam satu pendapatnya, jika orang yang di dalam keadaan sedemikian ia boleh menqasar sehingga 17 atau 18 hari, kemudian jika masih belum pulang perlu solat seperti biasa.

Ibnu Munzir mengatakan: Sudah ada Ijma' ulama bahawa seseorang yang bermusafir boleh untuk menqasarkan solatnya selagi ia tidak bermaksud untuk bermustatutin, walaupun selama bertahun-tahun.


Kesimpulannya, terdapat banyak pendapat berkaitan solat Qasar, boleh menerima mana-mana pendapat ulama dan tidak perlu untuk kita taksub terhadap satu pandangan. Kerana tidak terdapat hadis yang khusus dari Rasulullah terutama dalam bab jarak dan bilangan hari qasar. Seperti yang diberitahu, qasar merupaka sedekah dari Allah, terimalah kemudahan dari Allah ini, TETAPI jangan sesekali mempermudahkan, dan permainkan Allah.

ALLAH Maha Mengetahui.

Wallahualam