Bidang ILMU Maqasid Syariah

بسم الله الرحمن الحيم



Dalam penulisan yang lepas, telah diterangkan secara ringkas berkaitan "Apakah Maqasid Syariah ?" (Boleh lihat di SINI). Apakah pula bidang kajian ilmu Maqasid Syariah?

Allah telah menciptakan alam ini dengan ciptaan yang amat sempurna, kemudian Allah telah menjadikan bumi ini dan mencipta manusia bagi menjadi khalifah di muka bumi. Apabila Allah menjadikan manusia, Dia tidak membiarkan manusia terkontang-kanting, malah Allah telah mengutuskan utusanNya sebagai panduan untuk Manusia. Nabi Muhammad yang merupakan Rasul terkahir merupakan nabi terakhir dan Rasul bagi sekalian alam, Rasulullah telah datang untuk membawa Islam serta memberi panduan dan undang-undang kehidupan untuk umat Islam secara khususnya dan seluruh manusia secara umumnya. 

Undang-undang yang telah dicipta oleh Allah merupakan undang-undang yang terbaik, malah ianya amat sesuai dengan kehidupan manusia sepanjang zaman, dan tidak melebihi kemampuan manusia. Oleh yang demikian aturan yang telah ditetapkan oleh Allah ini terbahagi kepada 3 bahagian, ia juga disebut sebagai Bidang kajian ilmu Maqasid Syariah:

  1. Maqasid Al-'Amah مقاصد العامة
Aturan yang pertama ini bermaksud sesuatu perkara yang diambil kira dalam menentukan semua hukum atau sebahagian besar hukum-hukum yang bertujuan menjaga maslahah umum. Undang-undang ini diturunkan dan sesuai kepada seluruh manusia, kerana ianya bertujuan untuk menjaga dan memelihara manusia sejagat. Seperti aturan berkaitan menjaga adab-adab jiran, menjaga keharmonian negara dan sebagainya. 

Bagi memahami perkara ini, ilmu terhadap Maqasi Al-'Amah amat dititikberatkan dalam memahami matlamat dan kehendak syarak yang telah diwahyukan oleh Allah. Keperluan terhadap kepentingan umum ini tidak boleh di pandang remeh kerana Islam amat menjaga keamanan sejagat, dan Islam juga merupakan agama yang menyukai keharmonian. Perkara ini juga telah mewujudkan beberapa kaedah, dan diantara yang terkenal ialah kaedah ad-Dharuriyyat al-Khams , iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Kaedah lain juga disebut Raf' al-Haraj, iaitu mengelakkan kesimpitan dan dengan menegakan keadilan sesama manusia, menegeluarkan manusia dari runtunan hawa nafsu dan mengembalikan manusia kepada fitrah.

     2. Maqasid al-Khassah

Satu perkara penting dalam memahami tuntutan syarak ialah dengan mengetahui Maqasid al-Khassah, iaitu perkara yang perkara yang perlu dipandang dalam syariah dalam menentukan sesuatu hukum terhadap sekumpulan atau kelompok-kelompok tertentu, dengan mengetahui perkara-perkara tertentu yang dikhususkan dalam syariat, seperti perbincangan yang khusus dalam perkara berkaitan ibadat, munakahat, jenayat, muamalat. Pengkhususan perkara ini adalah kearah objektif dan tuntutan syariat Islam, seperti contoh tentang keperluan seorang Muslim melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, hak-hak dalam urusan muamalat dan lain-lain.


    3. Maqasid al-Juz'iyyah

Maqasid setiap hukum terbahagi kepada hukum wajib, sunnat, haram, makruh, harus, bersyarat, penyebab dan sebagainya. Maqasid Juziyyah pula ialah perkara yang perlu diambil kira dalam tuntutan syarak untuk menentukan hukum-hukum. Seperti kewajipan membayar hutang, sunnat berkahwin, dan lain-lain.



Rujukan:

Al-Madkhal li Dirasati al-Syariah al-Islamiyyah

Maqasid al-Syariah: Hikmah di sebalik pensyariatan










Larangan tergesa-gesa ke Masjid


بسم الله الرحمن الرحيم



Seringkali kita lihat di masjid-masjid apabila telah dilaungkan Iqamat, ramai jemaah-jemaah yang berlari-lari dengan tujuan untuk dapat rakaat pertama, atau supaya tidak masbuq. Perkara sebegini dilarang di dalam Islam, sehinggakan ada yang mengambil wudhuk dengan tidak sempurna kerana terlalu gopoh untuk mengejar solat. Betul mendapat rakaat pertama itu lebih baik, tetapi ianya tidak bermakna kita harus berlari berkejar berpenat lelah untuknya, jika betul-betul inginkan, maka datanglah lebih awal, jika terlambat maka bertenanglah. Larangan ini adalah berasaskan ayat yang berikut:



ياأيها الذين ءامنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعو إلى ذكر الله

Maksudnya: "Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah"
Surah Al-Jum'ah:9


Melalui ayat ini, Allah telah memerintahkan kita untuk segera pergi ke masjid apabila dikumandangkan azan Jumaat secara khusus, dan azan solat secara umumnya. Tetapi perintah Allah ini bukanlah bermaksud segera dalam bentu berjalan, tetapi segara dalam bentuk tindakan, Dr Wahbah Az-Zuhaily dalam kitabnya Tafsir al-Munir menerangkan perkataan السعىdi dalam ayat 9 surah Jummah di atas bukanlah maksud berjalan, sebaliknya bermakna mengambil berat tentang solat apabila dikumandangkan azan. Ini selari dengan firman Allah:


ومن أراد الاخرة وسعى لها سعيها وهو مؤمن


Maksudnya: "Dan sesiapa Yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal Yang baik untuk akhirat Dengan usaha Yang layak bagiNya, sedang ia beriman"
Surah Al-Israa':19


Berjalan secara tergesa-gesa adalah dilarang, malah kita disunnahkan untuk berjalan dengan tenang dan tidak terburu-buru. Larangan ini adalah berdasarkan hadis dari Rasulullah dari Abu Hurairah:


إذا سمتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوقار ولا تسارعوا فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: Apabila kamu mendengar Iqamat, pergilah bersolat dengan melangkah dengan tenang dan bersahaja. Janganlah tergopoh-gopoh. Mana yang sempat kalian teruskan, dan yang mana kalian tertinggal maka kalian sempurnakanlah.
(Hadis riwayat: Jamaah kecuali Tirmizi)

Dalam hadis yang lain, Abu Qatadah telah mencerikatak: " Ketika kami sedang bersolat dengan Rasulullah, tiba-tiba baginda mendengar bunyi hingar bingar orang yang bergegas di belakang. Selesai solat, baginda bertanya: "Apa halnya kamu tadi?" Mereka menjawab: " Kami tergesa-gesa sebentar tadi untuk mengikuti solatmu" Baginda bersabda: " Jangan ulangi lagi perbuatan itu, Sekiranya kamu datang untuk bersolat, datanglah dengan tenang. Apa yang kamu dapat teruskan, Manakala apa yang tertinggal sempurnakanlah"
(Hadis riwayat: Bukhari & Muslim)

At-Tirmizi juga telah meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah:


إذا أقيمت الصلاة فلا تأتوها تسعون ولكن ائتوها تمشون وعليكم السكينة فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: Apabila solat didirikan maka janganlah kamu datang dengan tergopoh-gapah, Sebaliknya datanglah dengan tenang dan bersahaja. Mana yang sempat kamu teruskan, dan mana yang tertinggal maka kamu sempurnakanlah.



TETAPI perlulah ingat bahawa maksud berjalan dengan tenang dan bersahaja itu bukanlah bermakna bahawa kita boleh berlenggang ketika berjalan, ataupun apabila dengar azan kita membuat perkara lain terlebih dahulu, ataupun ketika berjalan kita sengaja membuang masa. Maksud berjalan yang dimaksudkan di dalam hadis berikut adalah kita tidak tergopoh, seperti tidak berlari ketika datang ke masjid, tidak memecut motor atau kereta dengan laju dan sebagainya.

Sebaiknya apabila mendengar azan kita terus bersiap dan pergi ke masjid dengan tenang dan berdoa lah sepanjang perjalan, jangan takut untuk masbuq, jangan takut untuk terlepas rakaat, inilah yang sebaiknya yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Wallahualam

Multi Level Marketing (MLM) menurut Syarak

بسم الله الرحمن الرحيم





MLM mula berkembang di Malaysia sekitar tahun 1980, dan kini telah banyak syarikat MLM bergabung di bawah Persatuan Jualan Langsung Malaysia, ataupun Direct Selling Association 0f Malaysia (DSAM) dengan 69 syarikat MLM yang dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)

Jualan bertingkat (MLM) adalah amat popular di Malaysia. Pada tahun 2007 ahli-ahli DSAM telah mencatatkan gabungan perolehan penjualan lebih daripada RM2.7 billion, dan lebih dari 3 juta orang yang menjadi wakil jualan. Walaubagaimanapun, sehingga kini masih tidak ramai di kalangan cendikiawan yang membahaskan tentang sistem pemasaran seperti ini dengan lebih terperinci, dengan hujah-hujah yang kukuh. Jika dilihat dari aspek ekonomi, MLM merupakan salah satu sumber penting kepada ekonomi negara, namun dari sudut syariah, satu persoalan yang timbul adalah, adakah MLM merupakan sesuatu perniagaan yang dihalalkan oleh Islam?

Sistem pemasaran MLM pada dasarnya merupakan sesuatu yang diharuskan di dalam Islam, kerana ia tidak bercanggah dengan syarat asas dalam muamalat. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan  hukum sistem jualan Langsung (MLM) Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

Walaubagaimanapun, menurut Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dalam sebuah artikelnya, MLM boleh menjadi haram sekiranya terdapat unsur-unsur yang berikut:

1) Harga yang lebih tinggi dari biasa

Produk MLM yang dijual dengan harga yang lebih tinggi dari biasa tidak digalakkan di dalam Islam, dan sebahagian ulama menyatakan ianya haram dan terbatal. Di dalam istilah fiqah, ia digelar ghabnun fahisyh, dan ulama telah mengkategorikan hukumnya kepada tiga, iaitu, haram, makruh, dan harus.

Ghabnun adalah penipuan yang dilakukan oleh penjual, dengan menaikkan harga barang, kerana didalamnya terdapat bayaran yang tersembunyi seperti yuran keahlian dan sebagainya. Seperti contoh, sebuah telefon bimbit pada asalnya bernilai RM500, akan tetapi, peniaga MLM telah menjual dengan harga RM900 disebabkan ianya disertakan dengan keahlian dan menjadi downline kepada si penjual tadi.

Akan tetapi tidak semua ghabnun itu haram, para ulama telah membahagikannya dalam tiga jenis, justeru ghabnun yang di dalamnya terdapat unsur-unsur penipuan sahaja yang tidak dibenarkan, dan menjadi haram dalam perniagaan MLM.

2) Sasaran belian peribadi sebagai syarat komisen

Perniagaan MLM kebiasaanya memerlukan sasaran jualan tertentu sebagai syarat penerimaan komisen, apabila target jualan gagal diperoleh, maka hilanglah kelayakan untuk mendapat komisen walaupun orang bawahannya berjaya.

Komisen yang diperoleh bedasarkan hasil usahanya menjual barang adalah harus, kerana ia mengikut akad upahan. komisen akan bertukar menjadi shubhah apabila ia di dalam situasi yang berikut :

a)      Peniaga tersebut terikat dengan syarat tertentu seperti sasaran jualan, kerana ia termasuk dalam paksaan.

b)     Komisen yang diperolehi daripada hasil usaha orang dibawahnya yang tidak dikenali, dan tidak mempunyai usaha daripada pendapatan tersebut.


c)      Apabila komisen ke atas orang yang mengesyorkan sesuatu produk juga dikenakan syarat penjualan, dan berbeza dengan perjanjian asal upah.


 3) Penyertaan tanpa barangan
Komisen yang diperoleh dengan cara kemasukan ahli bawahan yang baru, bukan melalui jualan barangan dan jika semakin ramai ahli baru yang menyertai, semakin tinggi komisen yang diperolehi. Cara ini boleh dikategorikan sebagai riba nasiah, dan riba al-fadhl. Hal yang sama juga sekiranya barang jualan ada, akan tetapi ianya tidak berkualiti, ataupun pembelinya tidak mempunya kegunaan ke atasnya, dibeli hanya kerana untuk cukupkan syarat, dan hanya bertujuan untuk masuk dalam rangkaian perniagaan, serta mendapatkan komisen dari rangkaian tersebut. Ia juga merupakan helah bagi menghalalkan perniagaan mereka.

 4) Terdapat penipuan
Sistem pemasaran MLM yang terdapat penipuan dalam pelan pemasarannya, maka hukumnya adalah jelas haram.Ia juga termasuk dalam paksaan penggunaan produk keatas pelanggan. Selari dengan firman Allah yang bermaksud:


Ertinya :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”
An-Nisa (4) : 29

 5) Terdapat dua akad pada suatu masa
Hadis dari Rasulullah S.A.W:
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya: “ Rasulullah S.A.W telah melarang membuat dua belian (akad) didalam satu akad”

Dalam perniagaan MLM, hal yang sedemikian berlaku apabila sebuah syarikat MLM membuka pendaftaran ahlinya dan setiap ahli baru perlu membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan, yang dikenali dengan yuran. walaupun begitu, tidak ada kontrak yang jelas tentang tujuan, atau untuk apa yuran itu dibayar. Setelah itu, ahli tersebut layak untuk menjual produk, dan mendapatkan ahli baru di bawahnya, maka di sini telah menjadi dua akad dalam satu masa, iaitu akad mu’awadat (pertukaran hak milik), dan akad wakalah (wakil syarikat).


Kesatuan Fiqh sedunia pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu perniagaan MLM iaitu PT Biznas, dan menegaskan ianya satu bentuk perjudian. Sesetengah MLM terdapat padanya unsur perjudian kerana mempunyai ciri-ciri berikut:

a)  Ahli yang mendaftar dibawah MLM tidak mahukan barangan yang dibelinya, sebaliknya hanya mahu menyertai rangkaian piramid, dan ingin perolehi pendapatan menerusi pendaftaran ahli baru.

b)  Bayaran produk yang dibeli tidak semuanya yang masuk kedalam akaun syarikat.


c)   Tujuan perniagaan adalah untuk menaikkan nilai seseorang, dimana ahli yang berada diatas (upline) akan sentiasa mendapat keuntungan, dan ahli dibawah (downline) hanya menyumbang mata kepada ahli diatas.

Pengamal MLM perlulah menepati syarat-syarat minima yang berikut:

a)      Barangan yang dibeli mestilah mempunya manfaat ke atas dirinya, dan bukan hanya semata-mata untuk menyertai rangkaian piramid. produk itu juga haruslah berkualiti, dan boleh bermanfaat untuk si pembeli.

b)      Bukan emas dan perak
Jika ia jual beli tangguh, maka penjualan emas dan perak secara tangguh merupakan riba an-nasiah.

c)      Bonus dan komisen perlu jelas
Tiada pendapatan tanpa usaha dan kerja, jadi, setiap komisen serta bonus yang ditawarkan perlulah jelas, dan setimpal dengan kerja yang dilakukan, bukan hanya dengan mengharapkan orang bawahannya sahaja.

d)     komisen bukan bedasarkan ‘kepala’
komisen mestilah diperolehi dari produk yang dijualnya, bukan dari ahli yang ditaja, ini perlulah jelas, kerana ia merupakan perniagaan, dan bukannya permainan wang.

e)      Tiada syarat jualan bagi komisen ahli bawahan
Syarikat tidak boleh meletakkan syarat jualan bagi memperolehi komisen dari orang bawahannya. Tetapi syarat jualan untuk kumpulan dibolehkan.

f)       Ahli di atas perlu ada sumbangan
Perniagaan MLM pada kebiasaannya akan mengadakan sesi taklimat, atau perjumpaan dengan ahli kumpulan, ini perlu bagi memastikan komisen yang diperolehi oleh ahli diatas bukan hanya mengharapkan ahli bawahannya sahaja, malah dia juga berusaha untuk memastikan kejayaan ahli-ahlinya.

g)      Tidak mengaplikasikan sistem piramid.
Pelan pemasaran sisten piramid adalah, ahli yang daftar terlebih dahulu akan mendapat keuntungan yang berganda, dan ahli yang kemudiannya tidak berpeluang menandingi pendapatan ahli yang mendaftar lebih awal.

h)      Wujudkan musyarakah
Ahli dan orang dibawahnya, perlulah mengamalkan pelan pemasaran secara musyarakah, iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal perjanjian.

Update - 22/01/2017

Garis Panduan lengkap MLM boleh lihat di SINI.


Rujukan:



Zaharuddin Abdullah. “Multi Level Marketing menurut syariah”. 8April 2007

Abdullah Mohammad Basmeh (2000) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, cetakan  ke 16, Kuala Lumpurl: Darul Fikr

Hamzah Ahmad Az-Zain (2004). Syarah Musnad Imam Ahmad. Jateng. Pustaka Azzam

Skim Piramid

بسم الله الرحمن الرحيم

PENGENALAN

Skim piramid ialah model perniagaan yang tidak dapat dikekalkan yang membabitkan pertukaran wang terutamanya bagi mendaftar peserta baru ke dalam skim ini, biasanya tanpa barangan atau perkhidmatan disertakan.

Skim piramid adalah haram di kebanyakan negara, termasuk MalaysiaAmerika Syarikat, United KingdomAustralia dan New Zealand. Skim sebegini telah wujud selama sekurang-kurangnya satu dekad.

Jelas sekali kelemahannya adalah tidak terdapat keuntungan akhir, wang itu bergerak ke rantaian atas. Sudah pasti, orang yang dalam keadaan paling teruk adalah mereka yang berada di dasar piramid, mereka yang menyertai skim tersebut tetapi tidak mampu mendapatkan sebarang pengikut di bawah mereka sendiri. Untuk mengaburkan tindakan ini, kebanyakan skim mempunyai rujukan, maklumat dan persaksian palsu.

Pada tahun 2003, satu skim piramid berasaskan internet telah dibongkar oleh United States of America Federal Trade Comission (FTC), di mana pelanggan membayar yuran pendaftaran bagi menyertai program dan membeli pakej yang termasuk gudang internet (Internet mall) dan khidmat dan barangan berkait. Aduan FTC menyatakan bahawa syarikat menjamin pengguna yang membeli pakej tersebut bahawa pakej tersebut akan membenarkan mereka mendapat komisen bagi setiap WebSuite yang dijual.

Ciri-ciri penentuan skim sebegini adalah seperti barangan yang dijual tidak bernilai atau bernilai rendah secara sendirinya atau dijual pada harga jauh lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran semasa. Sebagai contoh, menjual ubat-ubatan, dimana sistem ini sekadar menjelaskan kepada pembeli cara mendapatkan peserta baru dan cara bagi menarik minat orang ramai ke dalam skim ini.

Diantara ciri-ciri skim piramid yang utama ialah:
  1. Kejayaan penjualan syarikat yang keterlaluan.
  1. Janji yang kabur mengenai potensi pendapatan yang tiada had.
  1. Tiada keluaran, atau keluaran dijual pada harga yang melampau dari harga sebenar di pasaran. Sebagaimana syarikat induk, barangan digambarkan secara kabur.
  2. Aliran pendapatan yang bergantung kepada komisen yang didapati melalui pendaftaran ahli baru atau melalui pembelian barangan untuk kegunaan ahli dan bukannya bagi penjualan kepada pelanggan yang bukan pelanggan kepada skim tersebut.
  3. Kecenderungan untuk hanya pelabur awal atau peserta yang benar-benar mendapat keuntungan.
  4. Cubaan untuk menyakinkan ahli baru bahawa tidak salah menyertai skim tersebut.

Lebih 90% dari peserta yang terbabit dalam skim piramid tidak pernah mendapat balik pelaburan awal mereka[3]. Mereka yang di dasar piramid, akan sentiasa kehilangan wang mereka. Jika setiap tingkat perlu mendapatkan enam di bawah mereka, nisbah rugi kepada untung adalah hampir 5 kepada 1 - 84% dari kesemua pelabur akan kehilangan pelaburan mereka. Secara realiti Piramid ini tidak akan seimbang dengan sempurna dan sesetengah peserta mungkin mampu mendapatkan sebahagian jumlah peserta mereka, tetapi prinsip yang sama masih diguna-pakai.

Skim ini tidak menerangkan yang ianya adalah sebenarnya skim piramid sebaliknya ia menamakan skim ini sebagai skim jariah atau sumbangan amal.Apa pun nama yang digunakan sebenarnya skim ini ada 15 ahli dalam 4 tingkat ( 1 + 2 + 4 + 8 = 15). Contohnya dalam satu skim individu paling atas (1) adalah ketua/pengerusi, dan dua orang di bawah adalah naib pengerusi/ketua. 4 (empat) orang dibawah adalah ahli kanan dan lapan orang di bawah adalah ahli biasa.

Lapan (8) orang ahli biasa harus membayar atau menyumbang sejumlah wang, contohnya RM1000 untuk menyertai skim ini. Sejumlah RM800 diambil oleh Pengerusi/Ketua yang kemudian keluar dari rangkaian ini, manakala ahli lain naik keatas rangkaian ini. Kini terdapat dua ketua dan kumpulan itu terbahagi kepada dua. Setiap satu kumpulan perlu mencari lapan ahli baru untuk ketua-ketua mendapat keuntungan. Seseorang hanya dapat imbuhan sekiranya dia telah menjadi ketua bagi skim. Ini bermakna dia perlu sekurang-kurangnya 14 ahli sebelum dia mendapat habuan. Apa yang pasti, sesiapa yang berada di tiga (3) tingkat dibawah akan pasti kehilangan wang mereka apabila syarikat tersebut ditutup. Ini merupakan contoh gambaran asas bagi setiap skim piramid yang beroperasi.

Skim Piramid dalam hukum syarak

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan hukum Skim Cepat Kaya dan seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum terlibat dengan Skim Cepat Kaya dan seumpamanya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.
Skim piramid tergolong dalam skim cepat kaya, dan hukumnya juga boleh diguna pakai dalam hukum Skim Cepat Kaya.



Imam Asy-Shafie



بسم الله الرحمن الرحيم




Imam Shafie lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M di atas nama Muhammad bin Idris ash-Shafie. Beliau mempunyai pertalian darah Quraish dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah untuk ibadah haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana menuntut ilmu. Di Mekah ash-Syafie memulakan perguruannya kepada Muslim bin Khalid al-Zanji, mufti kota Mekah di ketika itu dan juga kepada Sufyan bin Uyayna.

Kitab ilmu yang paling terkemuka ketika itu ialah Al-Muattha’ karangan Imam Malik, dan ash-Syafie dalam usia mudanya 15 tahun telah menghafal keseluruhan kitab tersebut. Ash-Syafie kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, Imam Malik bin Anas. Ketika itu ash-Syafie berusia 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kematiannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan ash-Syafie sebagai murid terpintar Imam Malik mulai diiktiraf ramai. Ash-Syafie mengambil alih sebentar kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Jawatan ash-Syafie tidaklah lama di Yaman, apabila beliau dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Disamping itu berbagai konspirasi lain di jatuhkan ke atasnya, sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Bagdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Ash-Shafie dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rasyid dan berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan asy-Syafie membela dirinya dengan berbagai hujjah-hujjah agama menyebabkan Khalifah Harun sendiri tertarik kepadanya. Asy-Syafie dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Ash-Syafie telah berkenalan dengan tokoh-tokoh Imam Abu Hanifah dan duduk berguru dengan mereka, terutamanya dengan Imam Muhammad al-Hasan asy-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang utama bagi ash-Syafie, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membandingkan antara dua ajaran fiqh Islam, iaitu ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, ash-Syafie kembali berhijrah ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Mekah dan di sana beliau di beri penghormatan sebagai tokoh besar dan dipelawa untuk memberi ceramah dan kuliah. Ash-Syafie kini mula diiktiraf sebagai seorang Imam, dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu-Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran asal Imam Malik.

Pada tahun 194H/810M, Imam Syafie kembali semula ke Baghdad dan beliau di pelawa untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam Syafie kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin Ali pernah di tanya akan kelebihan Imam Syafie berbanding tokoh-tokoh lain di ketika itu, maka beliau menjawab: ash-Syafie mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan I’tiqad yang benar, seorang yang sangat murah hati , mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ Rashidun dan amat pandai mengarang.

Dalam usahanya untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, beliau menghadapi berbagai tentangan dari pengikut-pengikut Imam Malik yang taasub kepada guru mereka. Di suatu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kulaih Maghribnya di Mesir, Imam Syafie telah dipukul oleh pengikut-pengikut Imam Malik yang fanatik sehingga menyebabkan beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia. Di ketika itu, Imam Syafie juga sendang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Pada usia 54 tahun, Imam Syafie meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir, meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh iaitu kitab al-Risalah. Kitab ini adalah yang terulung dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan dan mengistimbatkan hukum dari satu dalil yang ada. Selain itu Imam Syafie juga meninggalkan kitab fiqhnya yang masyhur, al-Umm. Ajaran Imam Syafie diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Imam Abu Yakub al-Ruwati (231H/ 846M), Imam Rabi bin Sulaiman al-Marali (270H/884M), Imam Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M) dan terutama ialah Imam Ahmad bin Hambal (241H/856M).

Imam Syafie telah mengeluarkan banyak fatwa-fatwa, namun terdapat satu fatwa agung Imam Syafie yang menandingi semua fatwa-fatwanya, iaitu:

" Jika kamu mendapati hadis yang sahih dari Rasulullah yang bercanggah dengan fatwa ku, maka kamu campakkanlah pendapatku ke dinding, dan terimalah hadis itu, sesungguhnya itulah mazhab ku"


Wallahualam