Garis panduan ini dikeluarkan oleh JAKIM, dan ianya bersesuaian dengan sistem ekonomi di Malaysia. Garis panduan ini amat penting untuk di baca oleh:
1) Peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan melalui MLM
2) Individu yang ingin menyertai rangkaian MLM
Panduan ini menerangkan bagaimana Pelan Pemasaran yang dibenarkan untuk MLM, Kriteria perniagaan MLM yang mengikut syarak, dan perkara-perkara yang dilaran di dalam MLM.
Garis panduan ini boleh dimuat turun di SINI.
Yang HALAL itu jelas maka patuhilah. Yang HARAM itu pun jelas, maka jauhilah. Dan yang mana tidak dijelaskan, itu adalah hadiah dari Allah, maka terimalah dan bersyukur kepadanya
Penggunaan Inhaler ketika berpuasa
Inhaler merupakan sejenis alat semburan yang dijadikan sebagai ubat untuk pesakit asma. Hukum penggunaannya merupakan suatu hukum yang baru, yang diperselisihkan oleh para ulama. Perbezaan pandangan ini terbahagi kepada dua golongan.
Golongan pertama:
Teridiri daripada: Syeikh Abd Aziz bin Baz (bekas mufti Arab Saudi), Syeikh Muhammad bin Saleh Al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jabrin, Dr. Siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi.
Mereka ini berpendapat, penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa. Dalil mereka ialah:
Kandungan Inhaler antaranya terdapat sejumlah kecil air, jadi air yang tertinggal di dalam itu di Qias kan dengan dimaafkan air yang tertinggal di dalam mulut apabila berkumur dan membasuh hidung ketika mengambil wudhuk. Yang kedua, semburan tersebut diragui sama ada memang masuk ke dalam perut atau tidak, maka mereka menggunakan kaedah "setiap sesuatu itu masih berada pada tempat asalnya selagi belum terbukti". Yang ketiga, semburan Inhaler ini merupakan suatu perubatan, ia bukannya makan dan minum secara zahir. Yang keempat,semburan ini juga hanya melalui perut, dan tidak sampai ke perut. Qias dengan keharusan bersiwak pada bulan puasa.
Golongan kedua:
Terdiri daripada: Dr Fadl Hassan Abbas, Syeikh Muhammad Mukhtar Salami, Dr Muhammad Alfai, Syeih Muhammad Taqiudin al-Uthmani, Prof Dr. Wahbah az-Zuhaili
Mereka ini berpendapat penggunaan Inhaler membatalkan puasa. Sesiapa yang terdesak menggunakannya perlulah menqada' puasa mereka. Dalil mereka ialah:
Bahan didalammnya tetap sampai ke perut walaupun dalam kuantiti yang kecil. Walaupun ia pergi ke paru-paru, namun masih akan sampai ke perut, maka ia tetap dikira batal, kerana setiap sesuatu yang masuk ke dalam perut akan membatalkan puasa, tanpa mengira jumlahnya banyak atau sedikit.
Kesimpulannya. Penggunaan Inhaler patut dijauhkan ketika sedang berpuasa, kecuali jika sesorang itu sangat terdesak, maka boleh menggunakannya dan bebas memilih mana-mana pendapat diatas. Jika seseorang itu berada dalam keadaan yang teruk sehingga terpaksa menggunakannya dengan kerap maka boleh memilih pendapat yang pertama, kerana ia akan menjadi sukar jika hendak qadha' puasanya setiap hari.
Wallahualam.
Rujukan: Isu-isu perubatan dan hubungannya dengan perkara yang membatalkan puasa: Penterjemah Prof Madya Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari
Umur Saydatina Khadijah r.a 40 tahun ketika berkahwin dengan Nabi Muhammad saw. Benarkah?
Mukaddimah
Seringkali kita dengar bahawa umur Khadijah ketika perkahwinannya dengan Rasulullah adalah ketika berusia 40 tahun. Malah dalam silibus pengajian sirah di sekolah-sekolah agama juga mengajar perkara yang sama. Perkara ini sudah sebati dalam masyarakat Islam kita di Malaysia.
Namun kisah ini terdapat beberapa percanggahan jika dikaji kronologi riwayat hidup saydatina Khadijah. Pertama dari sudut akal dan sains, apakah seseorang yang berusia 40 tahun mampu melahirkan 7 orang anak? Sudah tentu tidak. Terdapat pihak-pihak yang menyatakan bahawa ini merupakan mukjizat Nabi, dan kelebihan yang diberikan oleh Allah, ada juga yang menggunakan hujah Allah Maha Berkuasa.
Tidak dinafikan kekuasaan Allah ini, namun kita perlu sedar secara sunnatullah semua penciptaan yang ada di dunia ini diciptakan oleh Allah melalui satu proses kejadian. Daripada penciptaan Alam semesta, bumi, tumbuhan, dan manusia. Semua ini Allah telah terangkan proses kejadiannya. Adakah Allah tidak mampu menciptakannya dengan sekelip mata? Sudah tentu Allah mampu malah lebih dari itu kekuasaan Allah. Proses kejadian ini adalah kerana untuk manusia berfikir, belajar, dan melihat kekuasaan Allah, hanya segelintir keadaan sahaja Allah menjadikan sesuatu di luar kebiasaan.
Kisah ini juga telah dieksploit oleh golongan syiah, yang mendakwa bahawa Khadijah sebenarnya berkahwin lebih dari 40 tahun, dan hanya melahirkan Fatimah pada tahun kelima kenabian Nabi. Disebabkan itu Fatimah tidak mengiktiraf Zainab Ruqayyah dan Ummu Kalthum sebagai anak Nabi. Dakwaan mereka ini juga menunjukkan umur Khadijah ketika melahirkan nabi adalah 60 tahun.
Kita perlu sedar bahawa agama dan sains tidak mungkin dapat dipisakan, justeru kisah Khadijah ini amat tidak bertepatan dengan logik sains, dan juga kisah ini akan memberi ruang kepada golongan yang memusuhi Islam untuk menghina junjungan mulia kita Rasulullah saw.
Pendapat Ulama
Ulama berbeza pendapat berkaitan umur sebenar Khadijahj ketika berkahwin dengan Nabi. Ada yang kata 40 tahun, ada yang menyatakan 35 tahun, 30 tahun, 27 tahun dan 25 tahun. Belbagai pendapat-pendapat yang dikemukan.
Ulama yang menyatakan umur Khaidjah 40 tahun adalah dari golongan syiah. Dan mereka tidak menerima langsung pendapat lain. Menurut Imam Ibn Kathir:
" Al-Baihaqi telah memetik daripada al-Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah ra, Baginda berumur 25 tahun, dan Khadijah ra berumur 35 tahun. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa Khadijah berumur 25 tahun, sebaya dengan Rasulullah. "(Kitab al-Bidayah wa an-Nihayah. Jilid 2, halaman 295)
Manakala usia Khadijah ketika wafat pula ada yang mengatakan 65 tahun, dan ada yang kata 50 tahun. Pendapat yang Khadijah berusia 50 tahun adalah lebih teppat.
(Kitab al-Bidayah wa an-Nihayah. Jilid 2, halaman 294)
Semua ulama hadis & sejarah bersepakat bahawa Khadijah telah menjalani hidup bersama nabi selama 25 tahun, dan wafat pada tahun ke-10 kerasulan Nabi saw. Melalui pendapat yang paling tepat usia kewafatan Khadijah pada usia 50 tahun, dan kesepakatan ulama tempohnya menjadi isteri Nabi saw selama 25 tahun, maka usia Khadijah ra ketika menjadi isteri nabi ialah 25 tahun. Pendapat ini paling tepat berbanding yang lain, dan ia juga telah disahkan oleh Al-Hafiz Ibn Kathir.
Wallahualam.
Khusyuk dan was-was di dalam solat. Hukum-hukum berkaitannya
Khusyuk di dalam solat merupakan sesuatu yang dituntut di dalam agama. Namun kadangkala kita sering tertanya adakah sah solat kita jika kita tidak khusyuk? Sebelum itu akan diterangkan secara ringkas apakah itu khusyuk di dalam solat.
Firman Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 1-2
"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya."
Menurut Imam Al-Ghazali, khusyuk itu tercapai jika sewaktu mengerjakan solat, terpenuhi hal-hal berikut ini:
- kehadiran hati;
- faham makna kalimah yang di baca
- mengagungkan Allah SWT;
- merasa gentar terhadap Allah SWT;
- rasa pengharapan kepada Allah SWT; dan
- merasa malu terhadap-Nya
Dengan demikian makna khusyuk sebagaimana didefinisikan oleh Sa’id bin Jubair, adalah terpusat(fokus)nya pikiran terhadap solat yang sedang dilakukan hingga tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan sebelah kirinya. Hal ini pernah dibuktikan oleh Muslim bin Yasar yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya: Ihya Ulumuddin, yang mana ketika beliau sedang mengerjakan solat di sebuah masjid, banggunan masjid itu runtuh tanpa disedarinya.
Khusyuk merupakan roh (jiwa) solat. Jadi jika kita senantiasa solat dengan khusyuk, solat yang kita lakukan akan menjadikan hari-hari kita lebih positif . Agar kita dapat solat dengan khusyuk, maka haruslah berusaha:
- ketika solat kita harus merasa sedang menghadap Allah SWT, yang mengetahui segala sesuatu yang tersimpan dalam hati dan pikiran kita;
- tidak tergesa-gesa, baik dalam membaca bacaan solat maupun melaksanakannya;
- memperhatikan bacaan solat , sekaligus menghayatinya dalam hati;
- membuang jauh-jauh segala hal duniawi dan keraguan yang mengganggu hati.
Walaubagaimanapun, ketika sebagai manusia sering diganggu oleh syaitan, yang kerjanya untuk melalaikan manusia. Di dalam solat kita sering terfikir hal-hal berkaitan keluarga, kerja, dan macam-macam lagi. Bagaimanakah status solat kita?
Pertama sekali, kita perlu tahu konsep khusyuk di dalam fiqh, ianya sama seperti konsep taqwa. Taqwa itu bermaksud kita patuh dan laksanakan suruhan Allah, dan meninggalkan apa yang dilarang. Namun kita sebagai seorang manusia, tidak maksum dan tidak lari dari melakukan maksiat, adakah kita tidak lagi dikira sebagai orang yang bertaqwa? Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 201
Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).
Di sini kita jelas kita boleh lihat bahawa Allah taala telah menyatakan orang yang bertakwa bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi ialah orang yang apabila melakukan kesalahan dan ia cepat-cepat sedar dan kembali pada jalan yang benar.
Begitu juga dengan Khuyuk, walaupun menurut bahasa ia bermaksud kita tumpukan perhatian pada solat, tetapi dalam makna syaraknya ialah kita tumpukan perhatian, dan jika kita lalai cepat-cepat kembali menumpukan perhatian. Kerana kita mustahil untuk manusia (kecuali orang-orang yang tertentu) khusyuk 100% di dalam solat, inilah sifat manusia yang sentiasa akan dilalaikan oleh syaitan.
Bagaimana solat kita yang tidak khusyuk ini?
Solat yang tidak khusyuk hukumnya tetap sah, kerana khusyuk tidak termasuk dalam syarat sah, tetapi solat kita dianggap tidak sempurna. Sebagai seorang Islam kita perlu cuba untuk tingkatkan tahap khusyuk kita setiap kali solat.
Bolehkah mengulangi solat fardhu 2 kali atau lebih?
Mengulangi solat fardhu ini mempunyai dua hukum. Sunnat dan Dilarang
Jika kita telah melakukan solat fardhu bersendirian atau berjemaah, kemudian kita dapati ada jemaah lain yang sedang solat, maka sunnat jika dia ulangi solat dengan jemaah itu. Syarat dan rukun solatnya dikira sama seperti solat fardhu, seperti tidak boleh solat duduk,tidak boleh batalkan solat dengan sengaja dan lain-lain. Tetapi hukum solat itu dikira sunnat. Ini bedasarkan hadis Rasulullah
فلا تفعلا إذا صليتما في رحالكما ثم أتيتما مسجد جماعة فصليا معهم فإنها لكما نافلة
Maksudnya: Jangan kamu lakukan demikian. Apabila kamu telah bersembahyang di kediaman kamu, kemudian kamu mendatangi masjid jemaah maka bersembahyanglah bersama mereka. Maka sesungguhnya ia menjadi sunat bagi kamu.
(Tirmizi (no: 219) dan katanya "Hadis Hasan Sahih", Nasaie (no: 858).)
Hukum yang kedua, megulangi solat fardhu adalah dilarang oleh syarak, jika mengulangi itu dengan alasan kerana merasakan solat kita tidak khusyuk, atau tidak puas hati, atau rasa was-was terhadap sesuatu. Larangan ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah:
لاَ تُصَلُّوا صَلاَةً فِى يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: Jangan kamu melakukan satu-satu solat dalam satu hari sebanyak dua kali.
(Abu Daud (no: 579), Nasaie (no: 860), Ibn Khuzaimah (no: 1641), dan lain-lain.)
Bagaimana jika was-was? Adakah boleh ulangi solat fardhu?
Dalam hal ini, ia tetap dilarang. Seperti kita telah jelaskan, mengulangi solat fardhu hanya dibolehkan jika kita melakukan solat sendirian, dan ingin berjemaah. Selain dari itu maka ia dilarang.
Jika kita was-was adakah boleh batalkan solat?
Jawapannya tidak boleh, kerana Rasulullah juga pernah terlupa, baginda melakukan solat zohor dua rakaat, kemudian selepas diingatkan oleh sahabat, baginda menambah lagi dua.
Jika kita tersedar yang kita melakukan solat kurang rakaat selepas habis solat, maka kita hanya perlu tambah bilangan rakaat yang terlupa itu sahaja, dengan syarat ia perlulah dalam masa yang tidak terlalu lama (dianggarkan dalam lingkukang 5-10 minit).
Manakala jika didalam solat kita terlupa, seperti adakah sedang di rakaat 3 atau 4? Maka dalam hal ini, perlu mengambil jumlah rakaat yang sedikit, dan melakukan sujud sahwi sebelum salam. Kata Rasulullah, jika kita memang berada pada rakaat yang betul, sujud sahwi itu sebagai penghinaan kepada syaitan kerana gagal merosakan solat kita, tetapi jika kita sebenarnya sedang di rakaat ke 4, tetapi buat kembali rakaat ke 3, maka sujud sahwi itu sebagai menyempurnakan solat kita.
Kesimpulan
Tidak khusyuk di dalam solat sebenarnya berkait dengan was-was. Jika kita sering was-was maka syaitan lebih mudah mengganggu kita. Apabila kita sedar yang kita sering tidak khusyuk di dalam solat, maka perlulah melatih diri agar menambah ke khusyukan itu, mungkin pada peringkat awal tidak sampai 100%, walaupun pada ketika ini sekadar 10% sahaja, dengan usaha dan tingkat ilmu kita ia akan bertambah dan semakin baik. Insha Allah
Wallahualam.
Berpurdah (niqab) dan Aurat Wanita menurut 4 Mazhab
Sebelum kita membincangkan hukum berpurdah atau niqab, perlu diketahui dahulu apakah aurat bagi wanita terhadap lelaki menurut 4 Mazhab
Dalil utama dalam bab aurat ini di dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 31:
ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها
Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, kecuali apa yang zahir daripadanya.
Maka ulama berselisih pendapat dalam maksud yang "zahir" daripadanya. dan maksud perhiasan yang tidak dibolehkan.
Dalam hal ini para Ulama berselisih kepada dua golongan.
1) Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Jumhur Fuqaha'
Golongan ini berpendapat seluruh anggota badan wanita aurat kecuali muka dan tapak tangan.
Pendapat ini juga merupakan sebahagian dari pendapat para sahabat dan Tabien. Said bin Jubair menyatakan bahawa, maksud perkataan yang zahir daripadanya itu ialah Muka dan Tapak tangan.
Selain itu, terdapat juga hadis dari Aishah r.a menyatakan, bahawa Asma' pernah ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, Rasulullah kemudian berpaling dan bersabda: "wahai Asma', perempuan apabila telah baligh tidak boleh terlihat daripadanya selain dari ini dan ini". Kemudian Rasulullah menunjukkan ke arah dua tapak tangannya dan wajahnya.
Hujah mereka yang lain ialah, didalam solat dan haji wanita boleh menunjukkan muka dan tapak tangannya. Jika kedua itu adalah aurat, maka sudah pasti tidak akan dibenarkan di dalam ibadat.
2) Mazhab Syafie & Mazhab Maliki
Golongan ini berpendapat seluruh tubuh wanita adalah aurat termasuk muka dan tapak tangan.
Mereka memegang pada ayat dilarang menampakkan perhiasan. Perhiasan terbahagi kepada perhiasan semula jadi, dan perhiasan buatan. Maka tubuh wanita keseluruhannya di anggap perhiasan wanita,maka ia dilarang.
Kemudian dalam sambungan ayat itu menyatakan "kecuali apa yang zahir daripadanya". Golongan ini mentakwilkan yang zahir itu adalah jika berlaku keadaan yang tidak disengajakan atau dalam keadaan darurat. Seperti tertiup angin, atau dalam keadaan berubat.
Selain itu, terdapat beberapa hadis yang nabi melarang para lelaki melihat wanita, dan meyuruh untuk palingkan pandangannya, maka jelas melalui larangan nabi ini haram hukumnya melihat wanita, termasuk juga melihat wajahnya.
Terdapat juga firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53 yang menyuruh sesiapa yang ingin meminta sesuatu pada isteri nabi perlu lakukan di sebalik tabir, ini menunjukkan larangan melihat wanita bukan mahram. Walaupun ayat ini ditujukan pada isteri nabi, tetapi ia di qiyas kan kepada seluruh wanita muslimah.
Melalui dalil aqli pula, wajah merupakan anggota yang boleh menimbulkan fitnah, kerana ia merupakan sumber utama timbulnya fitnah.
Hukum berpurdah
Setelah jelas pandangan-pandangan berkaitan aurat wanita maka hukum berpudah juga mengikut pandangan yang sama. Bagi golongan yang menyatakan muka dan tapak tangan bukan aurat, maka berpurdah ialah harus, atau sunat.
Sebaliknya yang berpendapat muka dan tapak tangan aurat, maka hukumnya wajib.
Namun perlu difahami dengan jelas hukum ini, kerana kebanyakan wanita-wanita di malaysia tidak memahami perkara ini dengan teliti. Hukum berpurdah wajib jika berpegang dengan wajah itu aurat, namun dalam masa yang sama tangan dan mata juga dikira aurat, maka tidak cukup hanya berpurdah, perlu juga mengenakan sarung tangan dan menutup mata.
Seperkara lagi yang perlu difahami, berpurdah tujuannya ialah untuk menjaga dari fitnah, jika berpurdah tetapi rancak ber'selfie' maka ia tidak mendatangkan faedah. Akhlak juga perlu dijaga, jangan terlalu teruja menunjukkan mata kepada umum, dan beberapa perkara yang menunjukkan kesilapan dalam berpurdah.
Pendirian orang yang berpegang dengan muka bukan aurat juga perlu dihormati, jangan rasakan diri anda mulia kerana berpurdah kerana ini masalah khilafiyah. Juga jangan memaksa orang mengikut pegangan anda, dan jangan pula berkempen. Kerana masing-masing berhak mengambil mana-mana pendapat, Golongan yang berpurdah juga perlu menghormati jika sesebuah institusi mengharamkan pemakaian purdah, ini kerana dalam masalah khilaf, pihak-pihak berwajib boleh untuk menjadikan salah satu dari pendapat yang khilaf ini sebagai pegangan yang perlu diikut atas sebab mengaja maslahah yang lain. Seperti sebuah kolej yang mengharamkan atas sebab untuk mengelak berlakunya penipuan.
Terakhir ialah, perlu diingat bahawa dalam masalah khilaf kita boleh memilih dan boleh mengamalkan kedua-dua pendapat. Jika berlaku keadaan yang melarang kita untuk berpurdah, janganlah terlalu ekstrim dan berkeras tidak mahu menaggalkannya, atau pun berada di kawasan masyarakat yang tidak menerima pemakaian ini, maka seloknya bertukarlah ke pendapat yang ianya bukan aurat. Sikap keras terhadap masalah khilaf ini akan menimbulkan permusuhan dan kekacauan.
Wallahualam
Kaedah-kaedah Maqasid
Dalam menjaga Maqasid Syariah, 3 perkara utama perlu ditekankan. Iaitu Maqasid Daruriyat, Maqasid Tahsiniyyat, dan Maqasid Hajiyat. Di dalam ketiga-tiga ini terdapat pelengkap yang dinamakan Mukammil, dan perkara yang melengkapkannya di sebut Mukammal. Menurut Imam Syatibi terdapat lima kaedah yang menjaga tiga perkara ini, ia dinamakan sebagai Qawaid Maqasidiyah.
1) Keperluan Asasi itu merupakan dasar bagi jenis Maqasid yang lain. Iaitu Keperluan tambahan dan kesempurnaan.
Keperluan asasi ini menjadi sumber paling utama dan yang paling penting untuk di jaga. tanpa keperluan asasi ini maka keperluan yang lain tidak akan lengkap. Ia boleh diibaratkan seperti dalam pembinaan sebuah rumah perkara paling asas adalah tianggnya. bagaimana mahu memasang bumbung jika tiangnya tidak ada.
Keperluan asasi ini perlu menjaga Agama, Nyawa, Akal, Harta, Akal.
2) Ketiadaan keperluan asasi pasti akan menghilangkan jenis Maqasid keperluan tambahan dan kesempurnaan.
Apabila Keperluan asasi ini hilang, maka apa-apa perkara yang berkait dengannya juga akan hilang. Sama seperti contoh diatas, apabila tiang rumah tidak dapat didirikan, bagaimana boleh di bina bumbung dan sebagainya.
Sama juga dalam masalah ibadat, Apabila hilang kewajipan untuk menunaikan solat bagi wanita yang haid, maka gugur juga kewajipan untuk berwuduk, dan perkara-perkara wajib yang lain yang bergantung terhadap perkara asasi tadi.
3) Ketiadaan keperluan tambahan dan kesempurnaan bukan menjadi faktor utama ketiadaan atau hilangnya keperluan asasi.
Berlawanan dengan perkara ke 2, Keperluan asasi tidak akan terjejas jika perkara tambahan atau kesempurnaan tidak ada. Sebuah rumah yang ada tiang bumbung,tetapi tidak ada dinding tetap dikira sebagai rumah,walaupun tidak sempurna. Solat juga sah jika tidak ada keperluan tambahan seperti doa ketika sujud, dan keperluan kesempurnaan seperti bacaan surah atau doa sebelum salam.
4) Kebarangkalian yang biasa berlaku apabila ketiadaan keseluruhan keperluan tambahan atau keperluan kesempurnaan akan menjadi kekurangan pada keperluan asasi.
Walaupun dalam perkara 3 kita menyatakan bahawa tanpa keperluan tambahan dan kesempurnaan, keperluan asasi masih sah, tetapi tidak dinafikan bahawa ianya akan menjadi cacat, atau akan menjadi kekurangan dari pelbagai sudut.
Seperti solat, walaupun sah solatnya tanpa bacaan sunat, tetapi ianya cacat, dan tidak menjadi satu solat yang baik. Boleh diandaikan bahawa keperluan asasi ini sebagai fardhu, keperluan tambahan sunat muakkad,dan keperluan kesempurnaan sebagai sunat.
5) Ketetapan memelihara keperluan tambahan dan keperluan kesempurnaan demi menjaga keperluan asasi.
Kaedah ini merupakan pelengkap kepada yang sebelum ini. Kita maklum bahawa tanpa keperluan tambahan dan kesempurnaan keperluan asasi akan dilihat cacat, maka Maqasid menuntut agar kita memelihara juga keperluan tambahan dan kesempurnaan ini agar keperluan asasi kita dilihat cantik. Ia merupakan perhiasan bagi perkara asas.
Semua ibadat-ibadat fardhu memerlukan perkara sunat bagi mencantikkan lagi fardhu itu, begitu juga dengan kehidupan biasa. dinding lantai pintu tingkap merupakan penambahan yang penting untuk kehidupan di rumah menjadi lebih selesa, bagi sempurnakan lagi perlu ada sofa meja dan lain-lain.
Oleh itu, tiga keperluan ini saling berkait dan perlu dijaga, cumanya keperluan asasi itu perlu lebih dipelihara dan dipastikan ianya sempurna.
Wallahualam
Fidyah Puasa menurut 4 Mazhab
Apa itu fidyah?
Fidyah merupakan bayaran yang dikenakan keatas orang-orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan syarak. Hukum membayar fidyah adalah wajib bedasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184.
Sebab-sebab yang diwajibkan fidyah:
- Tidak mampu puasa : Semua fuqaha sepakat bahawa lelaki atau wanita yang tidak mampu berpuasa kerana sakit tua, wajib membayar fidyah. Jika mereka sukar berpuasa pada bulan Ramadhan, maka dibolehkan untuk tidak berpuasa dan membayar fidyah mengikut hari yang tidak berpuasa. Menurut Ibn Abbas, ayat 184 surah al-Baqarah ini juga menjadi rukhsah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa. Jika ia tidak mampu membayar kafarah, warisnya diwajibkan untuk membayar kafarah untuknya, namun jika warisnya atau orang yang menanggungnya tidak mampu, maka menurut mazhab hanafi ia perlu beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah Azza Wa Jal.
- Orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh : Ulama bersepakat orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa dan tidak ada harapan sembuh boleh membayar kafarah mengikut hari yang tidak mampu ia berpuasa. Jika ia ada harapan sembuh maka puasanya boleh diqadha' selepas itu, dan tidak perlu membayar fidyah.
- Wanita hamil atau yang sedang menyusu : Jumhur Bersepakat wanita yang sedang hamil atau yang mesnyusukan anak, boleh untuk tidak berpuasa jika khuatir akan menjejaskan kesihatan atau memudaratkan diri. Tetapi mereka wajib menqadha' puasa dan membayar fidyah. Namun menurut Mazhab Hanafi hanya wajib qadha' tidak perlu membayar fidyah.
- Orang yang tidak Qadha' puasa Ramadhan hingga tiba Ramadhan yang berikut : Jumhur berpendapat orang yang tidak habis Qadha' puasa Ramadhannya hingga tiba Ramadhan yang berikut maka ia wajib Qadha' dan dikenakan fidyah mengikut jumlah hari yang tertinggal. Namun Mazhab Hanafi pula hanya wajib untuk Qadha' sahaja tanpa dikenakan fidyah.
Berapakan jumlah fidyah?
Menuruh Mazhab Hanafi, jumlah fidyah ialah setengah Sha' gandum, boleh juga dibayar dengan nilainya mengikut wang ringgit. Jumhur pula menyatakan bahawa jumlah fidyah ialah satu Mud makanan asas untuk satu hari tertinggal puasa. Kiraan Sha' atau Mud boleh rujuk artikel Kafarah.
Wallahu'alam
Langgan:
Catatan (Atom)