Multi Level Marketing (MLM) menurut Syarak

بسم الله الرحمن الرحيم





MLM mula berkembang di Malaysia sekitar tahun 1980, dan kini telah banyak syarikat MLM bergabung di bawah Persatuan Jualan Langsung Malaysia, ataupun Direct Selling Association 0f Malaysia (DSAM) dengan 69 syarikat MLM yang dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)

Jualan bertingkat (MLM) adalah amat popular di Malaysia. Pada tahun 2007 ahli-ahli DSAM telah mencatatkan gabungan perolehan penjualan lebih daripada RM2.7 billion, dan lebih dari 3 juta orang yang menjadi wakil jualan. Walaubagaimanapun, sehingga kini masih tidak ramai di kalangan cendikiawan yang membahaskan tentang sistem pemasaran seperti ini dengan lebih terperinci, dengan hujah-hujah yang kukuh. Jika dilihat dari aspek ekonomi, MLM merupakan salah satu sumber penting kepada ekonomi negara, namun dari sudut syariah, satu persoalan yang timbul adalah, adakah MLM merupakan sesuatu perniagaan yang dihalalkan oleh Islam?

Sistem pemasaran MLM pada dasarnya merupakan sesuatu yang diharuskan di dalam Islam, kerana ia tidak bercanggah dengan syarat asas dalam muamalat. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan  hukum sistem jualan Langsung (MLM) Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

Walaubagaimanapun, menurut Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dalam sebuah artikelnya, MLM boleh menjadi haram sekiranya terdapat unsur-unsur yang berikut:

1) Harga yang lebih tinggi dari biasa

Produk MLM yang dijual dengan harga yang lebih tinggi dari biasa tidak digalakkan di dalam Islam, dan sebahagian ulama menyatakan ianya haram dan terbatal. Di dalam istilah fiqah, ia digelar ghabnun fahisyh, dan ulama telah mengkategorikan hukumnya kepada tiga, iaitu, haram, makruh, dan harus.

Ghabnun adalah penipuan yang dilakukan oleh penjual, dengan menaikkan harga barang, kerana didalamnya terdapat bayaran yang tersembunyi seperti yuran keahlian dan sebagainya. Seperti contoh, sebuah telefon bimbit pada asalnya bernilai RM500, akan tetapi, peniaga MLM telah menjual dengan harga RM900 disebabkan ianya disertakan dengan keahlian dan menjadi downline kepada si penjual tadi.

Akan tetapi tidak semua ghabnun itu haram, para ulama telah membahagikannya dalam tiga jenis, justeru ghabnun yang di dalamnya terdapat unsur-unsur penipuan sahaja yang tidak dibenarkan, dan menjadi haram dalam perniagaan MLM.

2) Sasaran belian peribadi sebagai syarat komisen

Perniagaan MLM kebiasaanya memerlukan sasaran jualan tertentu sebagai syarat penerimaan komisen, apabila target jualan gagal diperoleh, maka hilanglah kelayakan untuk mendapat komisen walaupun orang bawahannya berjaya.

Komisen yang diperoleh bedasarkan hasil usahanya menjual barang adalah harus, kerana ia mengikut akad upahan. komisen akan bertukar menjadi shubhah apabila ia di dalam situasi yang berikut :

a)      Peniaga tersebut terikat dengan syarat tertentu seperti sasaran jualan, kerana ia termasuk dalam paksaan.

b)     Komisen yang diperolehi daripada hasil usaha orang dibawahnya yang tidak dikenali, dan tidak mempunyai usaha daripada pendapatan tersebut.


c)      Apabila komisen ke atas orang yang mengesyorkan sesuatu produk juga dikenakan syarat penjualan, dan berbeza dengan perjanjian asal upah.


 3) Penyertaan tanpa barangan
Komisen yang diperoleh dengan cara kemasukan ahli bawahan yang baru, bukan melalui jualan barangan dan jika semakin ramai ahli baru yang menyertai, semakin tinggi komisen yang diperolehi. Cara ini boleh dikategorikan sebagai riba nasiah, dan riba al-fadhl. Hal yang sama juga sekiranya barang jualan ada, akan tetapi ianya tidak berkualiti, ataupun pembelinya tidak mempunya kegunaan ke atasnya, dibeli hanya kerana untuk cukupkan syarat, dan hanya bertujuan untuk masuk dalam rangkaian perniagaan, serta mendapatkan komisen dari rangkaian tersebut. Ia juga merupakan helah bagi menghalalkan perniagaan mereka.

 4) Terdapat penipuan
Sistem pemasaran MLM yang terdapat penipuan dalam pelan pemasarannya, maka hukumnya adalah jelas haram.Ia juga termasuk dalam paksaan penggunaan produk keatas pelanggan. Selari dengan firman Allah yang bermaksud:


Ertinya :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”
An-Nisa (4) : 29

 5) Terdapat dua akad pada suatu masa
Hadis dari Rasulullah S.A.W:
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya: “ Rasulullah S.A.W telah melarang membuat dua belian (akad) didalam satu akad”

Dalam perniagaan MLM, hal yang sedemikian berlaku apabila sebuah syarikat MLM membuka pendaftaran ahlinya dan setiap ahli baru perlu membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan, yang dikenali dengan yuran. walaupun begitu, tidak ada kontrak yang jelas tentang tujuan, atau untuk apa yuran itu dibayar. Setelah itu, ahli tersebut layak untuk menjual produk, dan mendapatkan ahli baru di bawahnya, maka di sini telah menjadi dua akad dalam satu masa, iaitu akad mu’awadat (pertukaran hak milik), dan akad wakalah (wakil syarikat).


Kesatuan Fiqh sedunia pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu perniagaan MLM iaitu PT Biznas, dan menegaskan ianya satu bentuk perjudian. Sesetengah MLM terdapat padanya unsur perjudian kerana mempunyai ciri-ciri berikut:

a)  Ahli yang mendaftar dibawah MLM tidak mahukan barangan yang dibelinya, sebaliknya hanya mahu menyertai rangkaian piramid, dan ingin perolehi pendapatan menerusi pendaftaran ahli baru.

b)  Bayaran produk yang dibeli tidak semuanya yang masuk kedalam akaun syarikat.


c)   Tujuan perniagaan adalah untuk menaikkan nilai seseorang, dimana ahli yang berada diatas (upline) akan sentiasa mendapat keuntungan, dan ahli dibawah (downline) hanya menyumbang mata kepada ahli diatas.

Pengamal MLM perlulah menepati syarat-syarat minima yang berikut:

a)      Barangan yang dibeli mestilah mempunya manfaat ke atas dirinya, dan bukan hanya semata-mata untuk menyertai rangkaian piramid. produk itu juga haruslah berkualiti, dan boleh bermanfaat untuk si pembeli.

b)      Bukan emas dan perak
Jika ia jual beli tangguh, maka penjualan emas dan perak secara tangguh merupakan riba an-nasiah.

c)      Bonus dan komisen perlu jelas
Tiada pendapatan tanpa usaha dan kerja, jadi, setiap komisen serta bonus yang ditawarkan perlulah jelas, dan setimpal dengan kerja yang dilakukan, bukan hanya dengan mengharapkan orang bawahannya sahaja.

d)     komisen bukan bedasarkan ‘kepala’
komisen mestilah diperolehi dari produk yang dijualnya, bukan dari ahli yang ditaja, ini perlulah jelas, kerana ia merupakan perniagaan, dan bukannya permainan wang.

e)      Tiada syarat jualan bagi komisen ahli bawahan
Syarikat tidak boleh meletakkan syarat jualan bagi memperolehi komisen dari orang bawahannya. Tetapi syarat jualan untuk kumpulan dibolehkan.

f)       Ahli di atas perlu ada sumbangan
Perniagaan MLM pada kebiasaannya akan mengadakan sesi taklimat, atau perjumpaan dengan ahli kumpulan, ini perlu bagi memastikan komisen yang diperolehi oleh ahli diatas bukan hanya mengharapkan ahli bawahannya sahaja, malah dia juga berusaha untuk memastikan kejayaan ahli-ahlinya.

g)      Tidak mengaplikasikan sistem piramid.
Pelan pemasaran sisten piramid adalah, ahli yang daftar terlebih dahulu akan mendapat keuntungan yang berganda, dan ahli yang kemudiannya tidak berpeluang menandingi pendapatan ahli yang mendaftar lebih awal.

h)      Wujudkan musyarakah
Ahli dan orang dibawahnya, perlulah mengamalkan pelan pemasaran secara musyarakah, iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal perjanjian.

Update - 22/01/2017

Garis Panduan lengkap MLM boleh lihat di SINI.


Rujukan:



Zaharuddin Abdullah. “Multi Level Marketing menurut syariah”. 8April 2007

Abdullah Mohammad Basmeh (2000) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, cetakan  ke 16, Kuala Lumpurl: Darul Fikr

Hamzah Ahmad Az-Zain (2004). Syarah Musnad Imam Ahmad. Jateng. Pustaka Azzam

Skim Piramid

بسم الله الرحمن الرحيم

PENGENALAN

Skim piramid ialah model perniagaan yang tidak dapat dikekalkan yang membabitkan pertukaran wang terutamanya bagi mendaftar peserta baru ke dalam skim ini, biasanya tanpa barangan atau perkhidmatan disertakan.

Skim piramid adalah haram di kebanyakan negara, termasuk MalaysiaAmerika Syarikat, United KingdomAustralia dan New Zealand. Skim sebegini telah wujud selama sekurang-kurangnya satu dekad.

Jelas sekali kelemahannya adalah tidak terdapat keuntungan akhir, wang itu bergerak ke rantaian atas. Sudah pasti, orang yang dalam keadaan paling teruk adalah mereka yang berada di dasar piramid, mereka yang menyertai skim tersebut tetapi tidak mampu mendapatkan sebarang pengikut di bawah mereka sendiri. Untuk mengaburkan tindakan ini, kebanyakan skim mempunyai rujukan, maklumat dan persaksian palsu.

Pada tahun 2003, satu skim piramid berasaskan internet telah dibongkar oleh United States of America Federal Trade Comission (FTC), di mana pelanggan membayar yuran pendaftaran bagi menyertai program dan membeli pakej yang termasuk gudang internet (Internet mall) dan khidmat dan barangan berkait. Aduan FTC menyatakan bahawa syarikat menjamin pengguna yang membeli pakej tersebut bahawa pakej tersebut akan membenarkan mereka mendapat komisen bagi setiap WebSuite yang dijual.

Ciri-ciri penentuan skim sebegini adalah seperti barangan yang dijual tidak bernilai atau bernilai rendah secara sendirinya atau dijual pada harga jauh lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran semasa. Sebagai contoh, menjual ubat-ubatan, dimana sistem ini sekadar menjelaskan kepada pembeli cara mendapatkan peserta baru dan cara bagi menarik minat orang ramai ke dalam skim ini.

Diantara ciri-ciri skim piramid yang utama ialah:
  1. Kejayaan penjualan syarikat yang keterlaluan.
  1. Janji yang kabur mengenai potensi pendapatan yang tiada had.
  1. Tiada keluaran, atau keluaran dijual pada harga yang melampau dari harga sebenar di pasaran. Sebagaimana syarikat induk, barangan digambarkan secara kabur.
  2. Aliran pendapatan yang bergantung kepada komisen yang didapati melalui pendaftaran ahli baru atau melalui pembelian barangan untuk kegunaan ahli dan bukannya bagi penjualan kepada pelanggan yang bukan pelanggan kepada skim tersebut.
  3. Kecenderungan untuk hanya pelabur awal atau peserta yang benar-benar mendapat keuntungan.
  4. Cubaan untuk menyakinkan ahli baru bahawa tidak salah menyertai skim tersebut.

Lebih 90% dari peserta yang terbabit dalam skim piramid tidak pernah mendapat balik pelaburan awal mereka[3]. Mereka yang di dasar piramid, akan sentiasa kehilangan wang mereka. Jika setiap tingkat perlu mendapatkan enam di bawah mereka, nisbah rugi kepada untung adalah hampir 5 kepada 1 - 84% dari kesemua pelabur akan kehilangan pelaburan mereka. Secara realiti Piramid ini tidak akan seimbang dengan sempurna dan sesetengah peserta mungkin mampu mendapatkan sebahagian jumlah peserta mereka, tetapi prinsip yang sama masih diguna-pakai.

Skim ini tidak menerangkan yang ianya adalah sebenarnya skim piramid sebaliknya ia menamakan skim ini sebagai skim jariah atau sumbangan amal.Apa pun nama yang digunakan sebenarnya skim ini ada 15 ahli dalam 4 tingkat ( 1 + 2 + 4 + 8 = 15). Contohnya dalam satu skim individu paling atas (1) adalah ketua/pengerusi, dan dua orang di bawah adalah naib pengerusi/ketua. 4 (empat) orang dibawah adalah ahli kanan dan lapan orang di bawah adalah ahli biasa.

Lapan (8) orang ahli biasa harus membayar atau menyumbang sejumlah wang, contohnya RM1000 untuk menyertai skim ini. Sejumlah RM800 diambil oleh Pengerusi/Ketua yang kemudian keluar dari rangkaian ini, manakala ahli lain naik keatas rangkaian ini. Kini terdapat dua ketua dan kumpulan itu terbahagi kepada dua. Setiap satu kumpulan perlu mencari lapan ahli baru untuk ketua-ketua mendapat keuntungan. Seseorang hanya dapat imbuhan sekiranya dia telah menjadi ketua bagi skim. Ini bermakna dia perlu sekurang-kurangnya 14 ahli sebelum dia mendapat habuan. Apa yang pasti, sesiapa yang berada di tiga (3) tingkat dibawah akan pasti kehilangan wang mereka apabila syarikat tersebut ditutup. Ini merupakan contoh gambaran asas bagi setiap skim piramid yang beroperasi.

Skim Piramid dalam hukum syarak

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan hukum Skim Cepat Kaya dan seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum terlibat dengan Skim Cepat Kaya dan seumpamanya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.
Skim piramid tergolong dalam skim cepat kaya, dan hukumnya juga boleh diguna pakai dalam hukum Skim Cepat Kaya.