بسم الله الرحمن الرحيم
Takwim merupakan satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan
bulan. Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan berpandukan kepada objek
astronomi, seperti matahari atau bulan. Takwim juga boleh merupakan satu objek
nyata yang menjelaskan sistem itu. Takwim yang ada kini dibahagikan mengikut
objek atau rujukan tertentu, takwim suria yang menggunakan kitaran matahari
seperti takwim Gregorian, takwim Lunar pula menggunakan kitaran bulan
sebagai rujukan seperti takwim Hijri, manakala takwim Lunisolar pula takwim
yang menggunakan matahari dan bulan sebagai rujukan takwim mereka seperti
takwim Cina, dan Hebrew.
Pada zaman purba, manusia menggunakan apa sahaja yang ada di alam
sebagai satu tanda masa, kemudian mereka juga melakukan pemerhatian perubahan
musim yang berlaku. Sejajar dengan perkembangan tamadun manusia, perkembangan
takwim juga semakin berkembang, takwim menjadi lebih sistematik, seperti
pemerhatian zodiak, penggunaan nama bulan dan sebagainya.
Takwim dibina bedasarkan pemerhatian dan kajian oleh ahli
astronomi, sejajar dengan sifat manusia yang mempunyai kelemahan dan tidak
bersifat sempurna, takwim yang dibina oleh manusia juga mempunyai kelemahan dan
terdapat kesilapan serta boleh diubah mengikut kehendak orang yang berkuasa.
Walaubagaimanapun takwim hijri yang menjadi takwim khusus untuk umat Islam
telah disusun mengikut peraturan dan ketetapan yang ditetapkan oleh Allah.
Walaupun takwim hijri disusun secara sistematik oleh Khalifah Umar, peranan
Al-Quran dalam pembinaan takwim cukup besar. Al-Quran telah menerangkan dan
menetapkan beberapa cirri umum yang mesti dipatuhi dalam pembinaan takwim,
seperti penetapan bilangan bulan dalam setahun, ia terdapat dalam firman Allah
dalam surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa.
Pengurangan dan pertambahan bulan dalam setahun
dalam takwim telah dilarang oleh Allah, kerana Al-Quran telah menjelaskan hanya
12 bulan dalam setahun yang ditetapkan. Al-Quran juga menetapkan bila
bermulanya bulan baru dalam sebulan, dalam takwim yang lain tarikh setiap bulan
tidak sistematik dan boleh diubah-ubah, tetapi dalam Islam Al-Quran telah
menentukan cara menentukan permulaan bulan, firman Allah dalam surah Baqarah
ayat 185 dan 189 yang bermaksud
(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia,
Kemunculan hilal atau anak bulan menjadi penentu kepada bermulanya
permulaan bulan, walaupun tidak diterangkang secara khusus, ayat Al-Quran ini
telah menerangkan konsepnya secara umum. Al-Quran juga melarang menggunakan
tahun lompat yang mana biasa digunakan di dalam takwim lain, larangan Allah ini
ada di dalam surah At-Taubah ayat 37 yang bermaksud:
Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan Yang lain) adalah menambah kekufuran Yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun Yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan Yang empat) Yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); Dengan itu mereka menghalalkan apa Yang telah diharamkan oleh Allah. perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang kafir.
Perbuatan
menggunakan tahun lompat bukan sahaja dilarang malah dimurkai Allah dan sesat.
Ayat ini juga menunjukkan Al-Quran berperanan dalam pembentukan dan penyusunan
takwim, dan ia tidak kepada takwim hijri sahaja, malah Al-Quran berperanan dalam
menentukan takwim secara umum. Al-Quran juga Perkara ini dapat dibuktikan dalam surah Yunus
ayat 5 yang bermaksud:
Dia lah Yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah Yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan Dengan adanya faedah dan gunanya Yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesarannya) satu persatu bagi kaum Yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu Yang dijadikanNya).
Dan Dia lah (Tuhan) Yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).
Dalam surah Yunus Allah telah menerangkan penggunaan matahari dan
bulan sebagai rujukan untuk menentukan bilangan tahun dan kiraan masa. Takwim
matahari juga penting kerana ia menentukan perubahan musim dan cuaca dalam
setahun. Sebagai orang Islam penerimaan takwim Qamari dan Syamsi penting bagi
melangsungkan kehidupan, dan kedua-dua takwim ini juga mempunyai hubung kait seperti
yang diterangkan Allah dalam surah Kahfi.
Jelas sekali Al-Quran mempunyai peranan dalam penyusunan takwim,
baik takwim hijri Qamari atau takwim Syamsi, sebagai umat Islam kita wajib
mengikut peraturan dan penetapan yang Allah telah tetapkan, dan penetapan ini
adalah yang paling tepat dengan kitaran bulan dan matahari dalam penyusunan
takwim kerana ianya ditetapkan oleh Tuhan yang menciptakan Alam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan