Khusyuk dan was-was di dalam solat. Hukum-hukum berkaitannya


Khusyuk di dalam solat merupakan sesuatu yang dituntut di dalam agama. Namun kadangkala kita sering tertanya adakah sah solat kita jika kita tidak khusyuk? Sebelum itu akan diterangkan secara ringkas apakah itu khusyuk di dalam solat.

Firman Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 1-2

"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya."
Menurut Imam Al-Ghazali, khusyuk itu tercapai jika sewaktu mengerjakan solat, terpenuhi hal-hal berikut ini:



  1. kehadiran hati;
  2. faham makna kalimah yang di baca
  3. mengagungkan Allah SWT;
  4. merasa gentar terhadap Allah SWT;
  5. rasa pengharapan kepada Allah SWT; dan
  6. merasa malu terhadap-Nya





Dengan demikian makna khusyuk sebagaimana didefinisikan oleh Sa’id bin Jubair, adalah terpusat(fokus)nya pikiran terhadap solat yang sedang dilakukan hingga tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan sebelah kirinya. Hal ini pernah dibuktikan oleh Muslim bin Yasar yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya: Ihya Ulumuddin, yang mana ketika beliau sedang mengerjakan solat di sebuah masjid, banggunan masjid itu runtuh tanpa disedarinya. 




Khusyuk merupakan roh (jiwa) solat. Jadi jika kita senantiasa solat dengan khusyuk, solat yang kita lakukan akan menjadikan hari-hari kita lebih positif . Agar kita dapat solat dengan khusyuk, maka haruslah berusaha:




  1. ketika solat kita harus merasa sedang menghadap Allah SWT, yang mengetahui segala sesuatu yang tersimpan dalam hati dan pikiran kita;
  2. tidak tergesa-gesa, baik dalam membaca bacaan solat maupun melaksanakannya;
  3. memperhatikan bacaan solat , sekaligus menghayatinya dalam hati;
  4. membuang jauh-jauh segala hal duniawi dan keraguan yang mengganggu hati.


Walaubagaimanapun, ketika sebagai manusia sering diganggu oleh syaitan, yang kerjanya untuk melalaikan manusia. Di dalam solat kita sering terfikir hal-hal berkaitan keluarga, kerja, dan macam-macam lagi. Bagaimanakah status solat kita?

Pertama sekali, kita perlu tahu konsep khusyuk di dalam fiqh, ianya sama seperti konsep taqwa. Taqwa itu bermaksud kita patuh dan laksanakan suruhan Allah, dan meninggalkan apa yang dilarang. Namun kita sebagai seorang manusia, tidak maksum dan tidak lari dari melakukan maksiat, adakah kita tidak lagi dikira sebagai orang yang bertaqwa? Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 201

Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).

Di sini kita jelas kita boleh lihat bahawa Allah taala telah menyatakan orang yang bertakwa bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi ialah orang yang apabila melakukan kesalahan dan ia cepat-cepat sedar dan kembali pada jalan yang benar.

Begitu juga dengan Khuyuk, walaupun menurut bahasa ia bermaksud kita tumpukan perhatian pada solat, tetapi dalam makna syaraknya ialah kita tumpukan perhatian, dan jika kita lalai cepat-cepat kembali menumpukan perhatian. Kerana kita mustahil untuk manusia (kecuali orang-orang yang tertentu) khusyuk 100% di dalam solat, inilah sifat manusia yang sentiasa akan dilalaikan oleh syaitan.


Bagaimana solat kita yang tidak khusyuk ini?

Solat yang tidak khusyuk hukumnya tetap sah, kerana khusyuk tidak termasuk dalam syarat sah, tetapi solat kita dianggap tidak sempurna. Sebagai seorang Islam kita perlu cuba untuk tingkatkan tahap khusyuk kita setiap kali solat. 

Bolehkah mengulangi solat fardhu 2 kali atau lebih?

Mengulangi solat fardhu ini mempunyai dua hukum. Sunnat dan Dilarang

Jika kita telah melakukan solat fardhu bersendirian atau berjemaah, kemudian kita dapati ada jemaah lain yang sedang solat, maka sunnat jika dia ulangi solat dengan jemaah itu. Syarat dan rukun solatnya dikira sama seperti solat fardhu, seperti tidak boleh solat duduk,tidak boleh batalkan solat dengan sengaja dan lain-lain. Tetapi hukum solat itu dikira sunnat.  Ini bedasarkan hadis Rasulullah






فلا تفعلا إذا صليتما في رحالكما ثم أتيتما مسجد جماعة فصليا معهم فإنها لكما نافلة

Maksudnya: Jangan kamu lakukan demikian. Apabila kamu telah bersembahyang di kediaman kamu, kemudian kamu mendatangi masjid jemaah maka bersembahyanglah bersama mereka. Maka sesungguhnya ia menjadi sunat bagi kamu.


(Tirmizi (no: 219) dan katanya "Hadis Hasan Sahih", Nasaie (no: 858).)

Hukum yang kedua, megulangi solat fardhu adalah dilarang oleh syarak, jika mengulangi itu dengan alasan kerana merasakan solat kita tidak khusyuk, atau tidak puas hati, atau rasa was-was terhadap sesuatu. Larangan ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah:





لاَ تُصَلُّوا صَلاَةً فِى يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ




Maksudnya: Jangan kamu melakukan satu-satu solat dalam satu hari sebanyak dua kali.

(Abu Daud (no: 579), Nasaie (no: 860), Ibn Khuzaimah (no: 1641), dan lain-lain.)



Bagaimana jika was-was? Adakah boleh ulangi solat fardhu?

Dalam hal ini, ia tetap dilarang. Seperti kita telah jelaskan, mengulangi solat fardhu hanya dibolehkan jika kita melakukan solat sendirian, dan ingin berjemaah. Selain dari itu maka ia dilarang.

Jika kita was-was adakah boleh batalkan solat?

Jawapannya tidak boleh, kerana Rasulullah juga pernah terlupa, baginda melakukan solat zohor dua rakaat, kemudian selepas diingatkan oleh sahabat, baginda menambah lagi dua.

Jika kita tersedar yang kita melakukan solat kurang rakaat selepas habis solat, maka kita hanya perlu tambah bilangan rakaat yang terlupa itu sahaja, dengan syarat ia perlulah dalam masa yang tidak terlalu lama (dianggarkan dalam lingkukang 5-10 minit). 

Manakala jika didalam solat kita terlupa, seperti adakah sedang di rakaat 3 atau 4? Maka dalam hal ini, perlu mengambil jumlah rakaat yang sedikit, dan melakukan sujud sahwi sebelum salam. Kata Rasulullah, jika kita memang berada pada rakaat yang betul, sujud sahwi itu sebagai penghinaan kepada syaitan kerana gagal merosakan solat kita, tetapi jika kita sebenarnya sedang di rakaat ke 4, tetapi buat kembali rakaat ke 3, maka sujud sahwi itu sebagai menyempurnakan solat kita. 

Kesimpulan

Tidak khusyuk di dalam solat sebenarnya berkait dengan was-was. Jika kita sering was-was maka syaitan lebih mudah mengganggu kita. Apabila kita sedar yang kita sering tidak khusyuk di dalam solat, maka perlulah melatih diri agar menambah ke khusyukan itu, mungkin pada peringkat awal tidak sampai 100%, walaupun pada ketika ini sekadar 10% sahaja, dengan usaha dan tingkat ilmu kita ia akan bertambah dan semakin baik. Insha Allah

Wallahualam.

Berpurdah (niqab) dan Aurat Wanita menurut 4 Mazhab

Sebelum kita membincangkan hukum berpurdah atau niqab, perlu diketahui dahulu apakah aurat bagi wanita terhadap lelaki menurut 4 Mazhab

Dalil utama dalam bab aurat ini di dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 31:

ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها

Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, kecuali apa yang zahir daripadanya.

Maka ulama berselisih pendapat dalam maksud yang "zahir" daripadanya. dan maksud perhiasan yang tidak dibolehkan.

Dalam hal ini para Ulama berselisih kepada dua golongan.

1) Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Jumhur Fuqaha'

Golongan ini berpendapat seluruh anggota badan wanita aurat kecuali muka dan tapak tangan.

Pendapat ini juga merupakan sebahagian dari pendapat para sahabat dan Tabien. Said bin Jubair menyatakan bahawa, maksud perkataan yang zahir daripadanya itu ialah Muka dan Tapak tangan. 

Selain itu, terdapat juga hadis dari Aishah r.a menyatakan, bahawa Asma' pernah ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, Rasulullah kemudian berpaling dan bersabda: "wahai Asma', perempuan apabila telah baligh tidak boleh terlihat daripadanya selain dari ini dan ini". Kemudian Rasulullah menunjukkan ke arah dua tapak tangannya dan wajahnya.

Hujah mereka yang lain ialah, didalam solat dan haji wanita boleh menunjukkan muka dan tapak tangannya. Jika kedua itu adalah aurat, maka sudah pasti tidak akan dibenarkan di dalam ibadat.

2) Mazhab Syafie & Mazhab Maliki

Golongan ini berpendapat seluruh tubuh wanita adalah aurat termasuk muka dan tapak tangan. 

Mereka memegang pada ayat dilarang menampakkan perhiasan. Perhiasan terbahagi kepada perhiasan semula jadi, dan perhiasan buatan. Maka tubuh wanita keseluruhannya di anggap perhiasan wanita,maka ia dilarang.

Kemudian dalam sambungan ayat itu menyatakan "kecuali apa yang zahir daripadanya". Golongan ini mentakwilkan yang zahir itu adalah jika berlaku keadaan yang tidak disengajakan atau dalam keadaan darurat. Seperti tertiup angin, atau dalam keadaan berubat.

Selain itu, terdapat beberapa hadis yang nabi melarang para lelaki melihat wanita, dan meyuruh untuk palingkan pandangannya, maka jelas melalui larangan nabi ini haram hukumnya melihat wanita, termasuk juga melihat wajahnya. 

Terdapat juga firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53 yang menyuruh sesiapa yang ingin meminta sesuatu pada isteri nabi perlu lakukan di sebalik tabir, ini menunjukkan larangan melihat wanita bukan mahram. Walaupun ayat ini ditujukan pada isteri nabi, tetapi ia di qiyas kan kepada seluruh wanita muslimah. 

Melalui dalil aqli pula, wajah merupakan anggota yang boleh menimbulkan fitnah, kerana ia merupakan sumber utama timbulnya fitnah.

Hukum berpurdah

Setelah jelas pandangan-pandangan berkaitan aurat wanita maka hukum berpudah juga mengikut pandangan yang sama. Bagi golongan yang menyatakan muka dan tapak tangan bukan aurat, maka berpurdah ialah harus, atau sunat. 

Sebaliknya yang berpendapat muka dan tapak tangan aurat, maka hukumnya wajib. 

Namun perlu difahami dengan jelas hukum ini, kerana kebanyakan wanita-wanita di malaysia tidak memahami perkara ini dengan teliti. Hukum berpurdah wajib jika berpegang dengan wajah itu aurat, namun dalam masa yang sama tangan dan mata juga dikira aurat, maka tidak cukup hanya berpurdah, perlu juga mengenakan sarung tangan dan menutup mata. 

Seperkara lagi yang perlu difahami, berpurdah tujuannya ialah untuk menjaga dari fitnah, jika berpurdah tetapi rancak ber'selfie' maka ia tidak mendatangkan faedah. Akhlak juga perlu dijaga, jangan terlalu teruja menunjukkan mata kepada umum, dan beberapa perkara yang menunjukkan kesilapan dalam berpurdah. 

Pendirian orang yang berpegang dengan muka bukan aurat juga perlu dihormati, jangan rasakan diri anda mulia kerana berpurdah kerana ini masalah khilafiyah. Juga jangan memaksa orang mengikut pegangan anda, dan jangan pula berkempen. Kerana masing-masing berhak mengambil mana-mana pendapat, Golongan yang berpurdah juga perlu menghormati jika sesebuah institusi mengharamkan pemakaian purdah, ini kerana dalam masalah khilaf, pihak-pihak berwajib boleh untuk menjadikan salah satu dari pendapat yang khilaf ini sebagai pegangan yang perlu diikut atas sebab mengaja maslahah yang lain. Seperti sebuah kolej yang mengharamkan atas sebab untuk mengelak berlakunya penipuan. 

Terakhir ialah, perlu diingat bahawa dalam masalah khilaf kita boleh memilih dan boleh mengamalkan kedua-dua pendapat. Jika berlaku keadaan yang melarang kita untuk berpurdah, janganlah terlalu ekstrim dan berkeras tidak mahu menaggalkannya, atau pun berada di kawasan masyarakat yang tidak menerima pemakaian ini, maka seloknya bertukarlah ke pendapat yang ianya bukan aurat. Sikap keras terhadap masalah khilaf ini akan menimbulkan permusuhan dan kekacauan.

Wallahualam