Adakah Islam menggalakkan perkahwinan?

Melihat kepada keadaan semasa yang berlaku pada tahun 2012 yang semakin menuju ke penghujung, tidak kira samada golongan artis, bekerjaya, mahupun pelajar. 2012 dilihat tahun yang paling ramai umat Islam di Malaysia khususnya yang melangsungkan perkahwinan, tahun ini juga mempunyai tarikh yang dilihat tarikh yang cantik bagi bakal penganting melangsungkan perkahwinan, juga merupakan peluang terakhir sekiranya mereka ingin perkahwinan mereka jatuh pada tarikh yang cantik iaitu 12/12/12.

Persoalan yang timbul, adakah perkahwinan digalakkan dalam islam? Jawapannya sudah tentu ya. Dalam al-Quran surah ar-Ra'ad ayat 38 Allah telah menerangkan bahawa para nabi dan rasul telah diberi isteri-isteri agar mereka mempunyai keturunan. Rasulullah juga telah bersabda:

أربع من سنن المرسلين: الحياء والتعطر والسواك والنكاح
Maksudnya: 4 perkara yang termasuk dalam sunnah-sunnah para rasul: pemalu, memakai wangian, bersiwak, dan bernikah. (h.r Tirmizi)

Namun seringkali kini kita mendengar dikalangan masyarakat, terutamanya golongan yang masih menuntut di IPT, sering ragu dan lebih cenderung untuk menghindarkan diri dari berkahwin, atas alasan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab, dan lain-lain. Disebabkan kita sebagai manusia, makhluk yang lemah dan tidak sempurna, kita amatlah digalakkan di dalam Islam untuk meletakkan sepenuh keyakinan kita kepada Allah, yakinlah bahawa hanya Allah yang dapat membantu kita, tidak kira kita mempunyai wang yang cukup untuk belanja kahwin ataupun tidak, kita perlu yakin bahawa Allah akan tolong kita dan permudahkan urusan kita. Di dalam surah An-nur ayat 32 Allah berfirman:

" dan kahwinkanlah dengan orang-orang yang masih bujang (dan dara) dikalangan kamu, dan orang-orang yang soleh, dan imam-imam di kalangan kamu, sekiranya mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka dengan kurnianya..."

Imam At-Tirmizi juga telah meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

" 3 golongan yang Allah pasti akan tolong: orang yang berjihad di jalan Allah, hamba yang telah berjanji dengan tuannya untuk membayar wang tebusan untuk dirinya, dan orang yang berkahwin kerana ingin menjaga kesucian dirinya"

Dalil diatas menunjukkan bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya berkahwin, ini kerana dengan berkahwin, fitnah dan maksiat akan dapat dihindari, terdapat juga hadis2 yang menerangkan bahawa dengan berkahwin, separuh daripada pintu maksiat dan kejahatan akan tertutup, antaranya hadis yang shahih yang diriwayatkan oleh Thabarani dan Hakim:

" Barangsiapa yang diberi kurnia oleh Allah seorang isteri yang shalih bererti Allah telah menolong separuh dalam urusan agamanya, dan hendaklah ia takut pada separuh yang lainnya"

Walaubagaimanapun, ia bukanlah bermakna kita boleh suka-suka hati untuk berkahwin dan duduk menunggu rezeki jatuh dari langit tanpa usaha, kerana Allah hanya akan membantu hambanya yang berusaha dan bertawakkal, bukan sekadar tawakkal tanpa usaha. Perkahwinan perlu disertai dengan tanggungjawab, dan kematangan, bukan hanya untuk berseronok, dan perlu juga niat yang murni, bukan untuk melepaskan nafsu dan bergembira. Berkahwinlah jika kita rasa kita sudah bersedia, dan berdoalah agar Allah membantu dalam segala urusan.

Kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di IPT khususnya, jika tidak mampu untuk hindar dari maksiat, maka wajiblah atas mereka untuk mencari jalan agar mereka diijab qabulkan, ataupun berusaha untuk jauhkan diri dari fitnah. Dan kepada mereka yang ingin berumah tangga, banyakkanlah berbincang dengan orang yang lebih perngalaman dan yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersama kita.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan