Mengutamakan puasa qada' Ramadhan atau puasa sunat Syawal


1)   PUASA QADHA’ RAMADHAN

Puasa merupakan ibadat dan rukun Islam yang ke tiga. Pensyariatan berpuasa ke atas orang Islam bermula pada hari Isnin 2 Syaaban tahun ke dua Hijrah.  Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 183 yang bermaksud:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.


Walau bagaimanapun terdapat kelonggaran yang diberikan oleh Allah kepada golongan-golongan tertentu yang dibolehkan untuk berbuka ketika berada di bulan Ramadhan, ini berdasarkan Firman Allah dalam surah Baqarah ayat 184 yang bermaksud:

Maksudnya: (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.


Rasulullah juga telah bersabda dalam sebuah hadis shahih yang bermaksud:

Muadzah pernah bertanya kepada Aisyah “ mengapa wanita haid perlu qadha’ puasa dan tidak perlu qadha’ solat? Aisyah menjawab “ dulu pada zaman Rasulullah kami disuruh untuk menqadha’ puasa, tetapi tidak disuruh menqadha’ solat” (riwayat jemaah)



Berdasarkan dalil-dalil di atas, terdapat golongan yang diberi kelonggaran oleh Allah untuk tidak berpuasa, dan wajib menggantikan puasanya iaitu;

                     i.        Orang yang bermusafir yang boleh menqasarkan solatnya
                    ii.        Orang yang sakit ( bahaya jika berpuasa )
                   iii.        Wanita yang sedang haid dan nifas


Bagi orang yang bermusafir dan yang sakit, diberi kelonggaran oleh Allah, tetapi tidak wajib membatalkan puasanya, dibolehkan untuk teruskan berpuasa, ataupun berbuka, berdasarkan Hadis Nabi Muhammad:


عن حمزة بن عمرو الأسلمى رضي الله عنه أنه قال: يا رسول الله إني أجد في قوة على الصيام في السفر فهل علي جناح؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم هي رخـصة من الله، فمن أخذ بها فحسن، ومن أحب أن يصوم فلا جناح عليــــــه.
Maksudnya: Dari Hamzah bin Amru berkata: “wahai Rasulullah sesungguhnya aku kuat untuk berpuasa ketika dalam perjalanan, apakah aku berdosa?” Rasulullah bersabda “ Itu adalah kelonggaran dari Allah, barang siapa yang menerimanya itu adalah baik, dan siapa yang mahu berpuasa tidak mengapa”. (Riwayat Muslim)


Manakala wanita yang sedang dalam haid dan nifas wajib untuk tidak berpuasa, seperti yang disebut dalam hadis dari Abu Sa’id Al-khudri, ketika Rasulullah dalam perjalanan hendak menunaikan solat hari raya, baginda terserempak dengan sekumpulan wanita dan menegur mereka, di antara kata-kata rasulullah ialah;


"....أليس إذا حاضت المرأة لم تصل ولم تصم؟ قلن: بلى....."
“ Bukankah ketika haid wanita tidak solat dan berpuasa? Mereka (wanita-wanita) menjawab: benar”


Kesimpulannya, puasa Ramadhan Wajib digantikan jika kita berbuka dengan sebab-sebab yang telah diberikan kelonggaran oleh Allah, sama ada menggantikannya secara berurutan ataupun berselang, ia mesti dilakukan sebelum tiba Ramadhan yang berikutnya.


2)  Puasa enam hari Syawal

Di antara puasa-puasa sunat yang dituntut dalam ialah puasa enam hari dalam bulan syawal, merujuk kepada Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Anshari;


"من صام رمضان ، وأتبعه ستا من شوال فكأنما صام الدهر"
Maksudnya: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian menyambungnya dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia mendapat ganjaran seperti setahun berpuasa” (Riwayat jemaah kecuali An-Nasaie)


Imam Ahmad berpendapat puasa sunat Syawal boleh dilakukan sama ada berturut-turut atau berselang, manakala Mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat lebih baik dilakukan secara berturut-turut bermula hari raya kedua.



3)  Mengutamakan puasa Qadha’ Ramadhan atau puasa enam hari bulan Syawal?

Puasa Qadha Ramadhan merupakan suatu kewajipan, manakala puasa enam hari Syawal hanya puasa sunat, namun kini sering menjadi persoalan apakah boleh jika kita puasa sunat enam hari di bulan Syawal dahulu, kemudian baru kita qadha’ puasa Ramadhan ataupun kita perlu menghabiskan dahulu Qadha puasa Ramadhan kita kemudian baru puasa enam hari bulan Syawal?

Secara umumnya terdapat dua pandangan dan pendapat berkaitan manakah yang lebih diutamakan sama ada menqadha puasa dahulu atau puasa sunat Syawal.
     i.        Pendapat yang pertama membolehkan mendahulukan puasa sunat Syawal dahulu, kemudian boleh menggantikan puasa Ramadhan kemudian. Pendapat ini merujuk kepada Hadis dari Aisyah;


" كأن يكون علي الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان"
Maksudnya:  Kewajipan ke atas ku untuk puasa dari puasa Ramadhan, dan aku tidak menggantikannya sehingga datang bulan Sya’ban. (Riwayat Muslim)




    ii.        Berdasarkan hadis tersebut, Ulama berpendapat bahawa, sebagai seorang sahabat dan isteri Rasulullah sudah tentu Aisyah tidak meninggalkan puasa-puasa sunat, ini termasuklah puasa enam hari Syawal. Tindakan Aisyah menggantikan puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan bahawa dibolehkan berpuasa enam hari di bulan Syawal walaupun belum menqadha’ puasa Ramadhan.
       
       Pendndapat kedua pula, menyatakan lebih utama dan perlu mendahulukan puasa ganti terlebih dahulu sebelum berpuasa enam hari Syawal. Ini kerana dalam hadis yang menyebut tentang puasa di bulan Syawal, Rasulullah menyebut dalam hadis tersebut من صام  yang memberi maksud sesiapa yang telah berpuasa, Rasulullah menggunakan perkataan puasa yang merujuk kepada feil madhi iaitu perbuatan yang telah berlaku, ini boleh membawa maksud, sesiapa yang telah melengkapkan puasa Ramadhan, kemudian menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan syawal, akan mendapat ganjaran seperti puasa setahun.


Keutamaan menqadhakan dahulu puasa Ramadhan boleh dilihat melalui sebuah hadis qudsi;

"وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه"
Maksudnya: dan tidaklah hampir kepada ku seorang hamba ku dengan apa jua pun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu / wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya. (Riwayat Bukhari)


Jika diteliti pendapat yang kedua adalah lebih kuat, dan ia juga bertepatan dengan hadis puasa sunat Syawal itu sendiri, selain dari itu, ia boleh dikiaskan seperti keutamaan membayar hutang terlebih dahulu daripada memberi sedekah.


Akan tetapi pendapat ini hanya dari sudut keutamaan sahaja, sekiranya dari sudut perlaksanaan ia mungkin berbeza menurut keadaan individu tertentu. Jika diteliti hadis berkaitan Aisyah menggantikan puasanya pada bulan Sya’ban adalah kerana berkemungkinan beliau perlu menggantikan puasa Ramadhannya dengan jumlah hari yang banyak, sekiranya seorang wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang agak banyak, akan menjadi kesusahan kepadanya untuk menghabiskan kesemua puasa gantinya pada bulan Syawal, kemudian menyambung pula lagi enam hari.


Apabila dikira secara rambang, jika menurut mazhab Syafie, haid wanita boleh berlangsung sehingga 15 hari, dan  jika wanita haid utamakan dahulu puasa gantinya dalam bulan Syawal maka dalam bulan Syawal wanita haid perlu berpuasa sehingga 21 hari. Seperti yang diketahui bulan Syawal disunatkan kepada umat Islam untuk menziarahi keluarga dan rakan-rakan, dan ini pasti akan memberi kesusahan kepada para wanita.


Jadi sekiranya wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang banyak, maka dibolehkan untuk berpuasa seperti Aisyah, iaitu mengutamakan puasa enam hari Syawal, kemudian menggantikan puasa Ramadhan pada hari-hari yang lain.


Kepada golongan yang lain, seperti orang yang bermusafir dan sakit, perlu menggantikan dahulu puasa Ramadhannya, kemudian baru diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.


Walaahualam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan