Larangan ber 'Najwa' ( Berbisik-bisik )

بسم الله الرحمن الرحيم



Apakah An-Najwa?

Najwa merupakan istilah di dalam Al-Quran yang merujuk kepada perbuatan sekumpulan manusia yang berbisik-bisik sesama mereka dengan menyisihkan seseorang yang ada disitu. Seperti ada 3 orang yang sedang duduk bersama, kemudian si A dan si B berbisik berdua dengan pengetahuan si C yang ada disitu, dan mengetahui serta sedar bahawa dia disisihkan oleh si A dan B.

Hukum Najwa dalam Islam?

Secara umumnya, hukum berNajwa telah dilarang oleh Allah di dalam Al-Quran dalam surah Mujadalah ayat 7 hingga 10. Ayat larangan ini diturunkan Allah kerana kaum yahudi di Madinah gemar berbisik sesama mereka ketika kaum Muslimin berada di kalangan mereka, walaupun telah dilarang oleh Rasulullah, mereka masih lagi melakukan perbuatan demikian sehinggakan Allah sendiri yang melarang perbuatan ini secara khusus di dalam Al-Quran. Pembaca juga amat disarankan untuk membuka Al-Quran terjemahan dan membaca sendiri terjemahan ayat-ayat berkaitan berkara ini.

Larangan untuk berbisik ini juga dikuatkan lagi dengan hadis  Rasulullah dari Abdullah bin Mas'ud:


إذا كنتم ثلاثة فلا يتناجى رجلان دون الآخر حتى تختلطوا بالناس فإن ذلك يحزنه
Maksudnya: Apabila kamu berada dalam satu kumpulan seramai 3 orang, janganlah 2 orang dari kamu berbisik-bisik sehinggalah kamu mengikut sertakan orang lain, kerana itu akan membuatkan ia (orang yang disisihkan) bersedih.
Hadis riwayat: Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah

Walaupun di dalam Al-Quran dan Hadis menyebut bilangan secara khusus, tetapi para Ulama berpendapat, ianya terpakai walaupun bilangan sekumpulan yang berbisik itu 1000 orang ataupun lebih, ini kerana jumlah 3 merupakan jumlah pertama yang membolehkan perbuatan ini berlaku. Jumhur Ulama juga bersepakat bahawa tegahan di dalam zahir hadis ini adalah umum, dan terpakai pada setiap zaman, dan keadaan sama ada ia membabitkan perkara yang wajib, sunat, harus mahupun haram. Perasaan orang yang disisih itu kita perlu jaga agar tidak terguris.

Adab-adab berbisik

Islam telah menetapkan adab-adab untuk kita berNajwa, ini bertujuan agar tidak mengguriskan hati mana-mana pihak. Adab-abadnya ialah:

  1. Tidak dibenarkan berbisik dengan menyisihkan seorang di dalam kumpulan, melainkan dengan izinnya.
  2. Jika tidak mendapatkan keizinan, perlu menunggu sehingga ada orang yang ke-4, ataupun orang yang disisihkan itu perlu mempunyai teman.
  3. Tidak dibenarkan untuk berbisik berkaitan perkara-perkara yang maksiat dan yang membawa kepada kezaliman.
  4. Berbisiklah berkaitan perkara-perkara yang baik, ketakwaan kepada Allah, dan meninggalkan maksiat.
Wallahualam










Puasa Hari 'Asyura

بسم الله الرحمن الرحيم


Hari 'Asyura ialah hari yang ke-10 dalam bulan Muharram, dipanggil 'Asyura kerana dalam bahasa arab 10 ialah 'Asyarah. Hari 'Asyura merupakan hari yang mana masayarakat Quraisy berpuasa ketika di zaman Jahiliyyah, dan Rasulullah juga sentiasa berpuasa pada hari tersebut ketika di Mekkah. Selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah masih lagi berpuasa pada hari 'Asyura,dan menyuruh kaum muslimin yang lain berpuasa juga, tetapi selepas kewajipan berpuasa Ramadhan diturunkan, Rasulullah bersabda:

من شاء صامه ومن شاء تركه

Maksudnya: Sesiapa yang ingin berpuasa ('Asyura) maka puasalah, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa ('Asyura) maka jangan puasa.
Hadis riwayat: Bukhari & Muslim

Digalakkan berpuasa pada hari ini kerana untuk memperingati sejarah nabi Musa. Ibnu Abbas menceritakan, ketika Rasulullah tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari tersebut, lalu Rasulullah bertanya:

Hari apakah ini yang kamu puasa? Mereka menjawab: Ini merupakan hari yang baik, hari yang mana Allah telah menyelamatkan nabi Musa dan bani israil dari musuh, dan Nabi Musa berpuasa pada hari 'Asyura. Maka Rasulullah bersabda: Aku lebih berhak menghormati Musa daripada kamu semua. Kemudian Rasulullah berpuasa pada hari 'Asyura dan menyruh kaum Muslimin juga berpuasa.
Hadis riwayat: Bukhari & Muslim

Ibnu Abbas telah meriwayatkan: Ketika Rasulullah berpuasa pada hari 'Asyura dan menyuruh kaum Muslimin berpuasa, para sahabat telah bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah hari 'Asyura ini hari yang diagungkan oleh orang-orang yahudi dan nasrani?"
Maka Rasulullah bersabda:


فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع

Maksudnya: Jika telah tiba tahun depan, Insya Allah kita akan berpuasa juga pada hari kesembilan.
Hadis riwayat: Muslim & Abu Daud

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:

لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع

Maksudnya: Jika Aku masih hidup hingga tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesimbilan juga.
Hadis riwayat: Ahmad & Muslim

Ibnu Abbas juga memberitahu bahawasanya Rasulullah tidak sempat berpuasa pada hari kesembilan Muharram, kerana Baginda telah wafat sebelum tiba tahun berikutnya.

Para Ulama melalui hadis-hadis dari Rasulullah telah menetapkan bilangan puasa 'Asyura ada 3 peringkat iaitu:
  1. Puasa pada hari ke 9,10,dan 11
  2. Puasa pada hari ke 9 dan 10
  3. Puasa pada hari ke 10 sahaja

Kelebihan puasa 'Asyura ialah akan di ampunkan dosa pada tahun yang lalu, dan akan diberi kelapangan oleh Allah. Rasululla bersabda:


وصوم عاشوراء يكفر ستة ماضية

Maksudnya: ........ dan berpuasa pada hari 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu"
Hadis riwayat: Jamaah kecuali Bukhari & Tirmizi

Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:


من وسع على نفسه وأهله وسع الله سائر سنته

Maksudnya: Barangsiapa yang memberi kelapangan pada dirinya dan keluarganya di hari 'Asyura maka Allah akan memeberi kelapangan kepadanya pada tahun itu.
Hadis riwayat: Baihaqi dan Ibnu Barr - hadis ini mempunyai sanad yang lain, dan semuanya lemah, Imam Sakhawi berkata: Dengan ada banyaknya sanad yang lemah untuk hadis ini, menjadikan hadis ini kuat.

Wallahualam.


Sutrah (batasan) dalam Solat

بسم الله الرحمن الرحيم


Apakah itu Sutrah?

Sutrah ialah batas atau penghalang yang diletakkan di depan orang yang sedang bersolat sebagai penghalang kepada saf. Ianya diletakkan hadapan saf, sebagai batasan kepada orang yang bersolat, agar orang yang lalu lalang boleh melintas di hadapannya.


Hukum meletakkan Sutrah?

Orang yang hendak bersolat, disunnatkan meletakkan Sutrah di depannya sebagai tanda untuk orang yang ingin lalu dan melintas dihadapannya, dan ia akan membatasi pandangan mata orang yang sedang solat.

Ini bedasarkan hadis dari Rasulullah:

إذا صلى أحدكم فليصل إلى سترة وليدن منها

Maksudnya: Jika seseorang diantara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah ia meletakkan Sutrah di depannya, dan mendekatkan dirinya ke arah Sutrah tersebut.
(Hadis riwayat: Abu Daud & Ibn Majah)


Apa yang boleh dijadikan Sutrah?

Secara umumnya, Sutrah ialah batasan yang agak tinggi dan jelas, seperti tiang-tiang di masjid, atau tembok. Tetapi jika tidak ada, Sutrah boleh diletakkan dengan apa jua, sekalipun dengan menggunakan batas sejadah. Boleh juga dengan barangan yang kecil seperti kunci, telefon bimbit, tongkat, garisan atau apa jua barang yang kita boleh jadikan ia sebagai tanda untuk menjadi batas untuk orang yang lalu lanang,malah orang juga boleh dijadikan Sutrah.

Rasulullah bersabda:


إذا صلى أحدكم فليستتر لصلاته ولو بسهم
Maksudnya: Jika seseorang diantara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah ia meletakkan Sutrah walaupun dengan sebatang anak panah.
(Hadis riwayat: Ahmad & Hakim - Hadis ini sahih dan memenuhi syarat sahih Imam Muslim)

Dalam Hadis yang lain, Dari Abu hurairah, Rasulullah bersabda:


إذا صلى أحدكم فليجعل تلقاء وجهه شيئا فإن لم يجد شيئا فلينصب عصا فإن لم يكن معه عصا فليخط خطا ولا يضره ما مر بين يديه
Maksudnya: Jika seseorang diantara kamu yang hendak bersolat, hendaklah ia meletakkan sesuatu di hadapannya. Jika ia tidak dapat jumpa apa-apa, maka letaklah sebatang tongkat. Jika tidak ada tongkat, maka hendaklah ia membuat satu garisan agar ia tidak akan terganggu oleh orang lain yang ingin melintas dihadapannya. 
(Hadis riwayat: Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban - Hadis ini sahih menurut Ahmad dan Ibnu Madini)

Abu Hurairah juga pernah meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah solat menghadap tiang masjid, pokok, dan menghadap Aisyah yang sedang berbaring, malah Rasulullah juga pernah menjadikan binatang tungganan sebagai Sutrah.



Adakah makmum perlu meletakkan Sutrah jika solat berjemaah?

Jawapannya tidak, kerana Sutrah Makmum adalah termasuk dalam Sutrah Imam, ini bermaksud Makmum tidak perlu letak Sutrah, dan jika sesorang yang melintas di hadapan saf2 Makmum maka ia tidak menjadi kesalahan, tetapi ia tidak boleh melintas di hadapan Imam. 

Ini bedasarkan perbuatan Rasulullah yang diceritakan oleh Amr bin Syu'aib, dari ayahnya, dari datuknya" Kami turun bersama Rasulullah dari dataran Adzakhir ( kawasan tinggi di Mekah), Lalu apabila tiba waktu solat, baginda bersolat menghadap sebuah dinding,dan kami menjadi Makmum. Tiba-tiba seekor kambing hendak melintas di depannya, dan baginda menghalang kambing tersebut, dan kambing tersebut lalu di belakang baginda.
(Riwayat Abu Daud & Ahmad) 

Ibnu Abbas menceritakan: Aku datang dengan menaiki seekor keldai, ketika itu umurku hampir baligh. Aku melihat Rasulullah sedang bersolat dengan orang ramai di Mina, aku lalu dihadapan saf dan masuk ke dalam saf, sementara keldai ku biarkan ia mencari makanan. Dan tidak ada seorang pun yang menegur perbuatan ku.
(Riwayat Jamaah)



Hukum orang yang melintas diantara orang solat dan sutrah?

Banyak hadis yang menyatakan bahawa orang yang melintas di dalam sutrah adalah HARAM, dan termasuk dalam kategori dosa besar, kecuali jika orang yang bersolat itu tidak meletakkan Sutrah. Zaid bin Khalid mengatakan, Rasulullah bersabda:


لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه كان لأن يقوم أربعين خريفا خيرا له من أن يمر بين يديه

Maksudnya: Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersolat ini tahu besarnya dosanya, nescaya ia akan berdiri selama 40 tahun dari melintas di hadapan orang sedang solat.
(Hadis riwayat: Bazzar dengan sanad Shahih & Jamaah - dalam matan sedikit lain dari Abu Juhaim tetapi maksud yang sama)



Bagaimana jika ada orang yang lintas di hadapan kita?

Jika kita telah meletakkan Sutrah, dan masih ada orang yang melintas di dalam Sutrah, maka kita diperintahkan untuk menghalangnya, dan jika ia tetap mahu lintas jika kita sudah halang, kita dibenarkan untuk menggunakan kekerasan agar memastikan ia tidak lintas, dan perbuatan kita tidak akan membatalkan solat. 

Ketika Abu Sa'id Al-Khudri sedang bersolat pada suatu ketika, seorang anak muda ingin melintas dihadapannya, maka Abu Sa'id menghalang, pemuda itu kemudian mencari-cari jalan lain untuk lalu tetapi tidak jumpa, maka ia cuba sekali lagi untuk melintas, dan Abu Sa'id menghalang dengan tangannya di leher pemuda itu, dan lebih keras berbanding kali pertama, maka pemuda itu marah dan memaki Abu Sa'id, hinggakan orang ramai berkumpul. Kemudian pemuda itu mengadu kepada Marwan untuk mengadu, dan Marwan memanggil Abu Sa'id dan bertanya tentanng tuduhan keatasnya. Maka Abu Said menjawab, aku pernah mendengar Rasulullah bersabda:



إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو شيطان

Maksudnya: Apabila salah seorang diantara kamu sedang bersolat, dan sudah meletakkan Sutrah diahadapannya yang menajadi batas agar orang lain tidak melintas didepannya, kemudian jika ada orang yang masih lagi mahu melintas hendaklah ia menghalangnya , jika orang itu tetap mahu melintas lagi maka bunuhlah ia (perangilah) dia kerana sesungguhnya dia adalah Syaitan.
(Hadis riwayat: Bukhari & Muslim)

Wallahulam

Amalan 10 hari pertama bulan Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم


Menjelang 1 hari bulan Zulhijjah, yang mana ianya termasuk dalam bulan-bulan haram. Di dalam bulan ini, Rasulullah dan para sahabat akan memperbanyakkan amalan dan Ibadat kepada Allah. 

Pada bulan Zulhijjah, para sahabat akan memperbanyakkan amalan mereka, dan melipatgandakannya. Telah diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Hurairah dan Ibnu Umar pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah mereka biasanya akan pergi ke pasar sambil bertakbir, dan diikuti oleh sahabat yang lain. Manakala Said bin Jubair pula melakukan amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah dengan begitu banyak sehingga dirinya menjadi lemah. 

Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah telah bersabda:

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله عز وجل من هذه الأيام يعني أيام العشر قالو يا رسول الله ولا الجهاد في سبيل الله ، قال ولا الجهاد في سبيل الله إلا رجلا خرج بنفسه وماله ثم لم يرجع بشيء من ذلك

Maksudnya: Tidak ada hari yang mana setiap amal kebajikan disukai Allah lebih daripada hari-hari yang lain, iaitu sepuluh hari pertama Zulhijjah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah,walaupun jika dibandingkan dengan berjihad di jalan Allah? Rasulullah menjawab: Sekalipun jika hendak dibandingkan dengan Jihad di jalan Allah, kecuali jika seseorang yang pergi berjihad dengan diri dan hartanya, dan tidak ada yang kembali.
Hadis Riwayat: Jamaah, kecuali Muslim & Nasai


Dari Ibnu Umar pula, Rasulullah bersabda:

ما من أيام أعظم عند الله ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الايام العشر فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد

Maksudnya: Tiada hari dimana amal kebaikan lebih baik dan lebih disukai Allah selain 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid.
Hadis riwayat: Ahmad & Thabarani


Abu Hurairah juga ada meriwayatkan hadis dari Rasulullah:

ما من أيام أحب إلى الله أن يتعبد له فيها من عشر ذي الحجة يعدل صيام كل يوم منها بصيام سنة وقيام كل ليلة منها بقيام ليلة القدر

Maksudnya: Tiada hari yang mana amal ibadah lebih disukai Allah selain 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Berpuasa satu hari pada hari-hari ini, sama nilainya dengan puasa setahun, dan solat satu malam pada malam-malam ini sama nilainya dengan solat pada malam Lailatul Qadar.
Hadis riwayat: Tirmizi, Ibnu Majah & Baihaqi

Kesimpulannya, maka pada bulan Zulhijjah ini, marilah kita mempebanyakkan:

  1. Solat malam
  2. Berpuasa
  3. Berzikir ( Tahlil / Tahmid / Takbir)
  4. Membaca Al-Quran
  5. Amalanan kebajikan yang lain seperti sedekah dan lain-lain.

Wallahualam

Doa bermusafir untuk diri sendiri & orang lain

بسم الله الرحمن الرحيم


Ramai diantara kita yang tahu doa menaiki kenderaan, tetapi tidak ramai yang tahu doa apabila kita bermusafir, atau doa untuk dibaca kepada orang yang kita tinggal, atau doa orang ramai kepada orang yang bermusafir,dan banyak lagi. Berikut akan merupakan doa-doa yang berkaitan dengan bermusafir.

1) Doa menaiki kenderaan:

بِسْمِ اللهِ الحمد لله، سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لمنْقَلِبُون. الحمد لله (3x) الله أكبر (3x) سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْلِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّى أَنْتَ


Maksudnya: Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada tuhan kami. Segala puji bagi Allah (3x) Engkaulah yang Maha Besar (3x). Maha suci bagi Allah sesungguhnya aku berlau zalim kepada diriku, maka ampunkanlah aku, sesungguhnya tidak siapa yang dapat mengampunkan dosa selain Engkau.

Hadis riwayat: Abu Daud & At-Tirmizi


2) Doa ketika memulakan perjalanan

الله أكبر ، الله أكبر ، سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لمنْقَلِبُون. الَّلهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرِّ وَالتَّقْوَى ، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفِرِنَا هَذَا وَطْوِي عَنَّا بُعْدَهُ ،اللَّهُمَّ أَنتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ،اللهم اِنِّي أَعُوذُبِكَ مِن وَعْثَاءِ السَّفَرِ ،وَكَآبَةِ المُنْقَلَبِ  وَسُوءُ المُنْظَرِ  فِي الْماَلِ وَالاهْلِ


Maksdunya: Allah Maha Besar (3x) Maha suci tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada tuhan kami. Ya Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah jarak perjalanan ini, Ya Allah engkaulah penemanku dalam perjalan ini, dan pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindu kepadaMu dari kepenatan dalam perjalan ini,dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara buruk keatas harta dan keluarga ku.


- ketika balik dari musafir, baca doa diatas dan tambah diakhirnya:

آيبُونِ ،تَائِبُونِ ، عَابِدُونِ ،لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya: Kami kembali, kami bertaubat, kami beribadah, dah kepada tuhan kami segala pujian.

Hadis riwayat: Muslim



3) Doa apabila memasuki banda atau kawasan

اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظْلَلْنَ ، وَرَبَّ الأَرَضِينَ السَّبْعِ وَمَا أَقْلَلْنَ ، وَرَبَّ الشَّيَاطِينِ وَمَا أَضْلَلْنَ ، ورب الرياح وما ذرين أَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَخَيْرَ وخَيْرِ أَهْلِهَا مَا فِيهَا ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَشَرِّ مَا فِيهَا


Maksudnya: Ya Allah tuhan tujuh petala langit dan apa yang di bawahnya, tuhan penguasa tujuh lapisan dan segala apa yang diatasnya, tuhan yang mengusai syaitan-syaitan dan segala yang mereka sesatkan, tuhan yang menguasai angin dan segala yang ditiupnya. Aku memohon kepadamu kebaikan dari kawasan ini, dan kebaikan para penduduknya, dan segala didalamnya. Aku juga berlindung kepada mu dari keburukan kawasan ini,penduduknya serta apa yang ada didalamnya.

Hadis riwayat: Al-Hakim (sahih menurut Imam Az-Zahabi), Ibnu Sunni (menurut Ibnu Hajar hadis ini Hasan), An-Nasaie ( Hasan menurut Ibnu Baaz)


4) Doa yang perlu dibaca orang yang hendak bermusafir kepada orang yang ditinggalkan

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللهُ الَّذِي لَا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ


Maksudnya: Aku menyerahkan kamu semua kepada Allah yang ia tidak akan lalai dari urusannya

Hadis riwayat: Ahmad & Ibnu Majah


5) Doa orang ramai (beriman) yang perlu dibaca kepada orang yang sedang bermusafir

أَسْتَوْدِعُ اللهُ دِيْنَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ وَعَمَلِكَ

Maksudnya: Aku menyerahkan agamau, tanggungjawabmu, dan perbuatanmu yang terakhir kepada Allah.

زَوَّدَكَ اللهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُ مَا كُنْتَ

Maksudnya: Semoga Allah membekalkanmu dengan taqwa, mengampunkan dosamu, dan memudahkan kebaikan kepada mu, dimana sahaja engkau berada

Hadis riwayat: At-Tirmizi


6) Doa yang perlu dibaca orang yang bermusafir ketika masuk waktu subuh.

سَمَّعَ سَامِعٌ بِحَمْدِ اللهِ وَحُسْنِ بَلَائِهِ عَلَيْنَا رَبَّنَا صَاحِبْنَا وَأَفْضِلْ عَلَيْنَا عَائِذًا بِاللهِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Semoga ada yang memperdengarkan pujian kami kepada Allah (atas nikamt yang diberi) dan dugaannya yang baik bagi kami, wahai tuhan kami, jadilah peneman kami, dan berilah kebaikan kepada kami dengan perlindungan dari api neraka

Hadis riwayat: Muslim


7) Doa ketika pulang dari musafir

لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير، آيِبُونِ تَائِبُونِ عَابِدُونِ لِرَبِّنَا حَامِدُونِ، صَدَقَ اللهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ


Maksudnya: Tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, yang menguasai kerajaan serta pujian, Dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu, kami kembali dengan bertaubat,beribadah, dan memuji tuhan kami. Allah yang telah menepati janjinya,membela hamba-hambanya, dan yang menumpaskan musuh bersenderian.

Hadis riwayat: Bukhari & Muslim


Wallahualam

Waktu mustajab Doa hari Jumaat


Umum kita mengetahui hari Jumaat adalah penghulu segala hari, dan menurut hadis nabi Sallallhu Alaihi Wasallam juga, hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia di sisi Allah, malah lebih mulia berbanding Hari raya Aidilfitri & Aidil Adha. Pada hari yang mulia ini juga terdapat waktu-waktu yang telah diberitahu oleh Rasulullah sebagai waktu mustajab doa. Bilakah waktunya?

Abdullah bin Salam menceritakan:

" Ketika Nabi sedang duduk,aku berkata kepadanya: Di dalam kitab Allah ada diterangkan bahawa pada hari Jumaat terdapat waktu di mana jika seorang hamba yang mengerjakan solat, kemudian memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah akan makbulkan. Beberapa saat kemudian Rasulullah bersabda kepada ku: Benar. Lalu aku bertanya: Bilakah waktunya itu? Baginda kemudian menjawab: Di penghujung waktu siang hari. Aku berkata: Itu bukan waktu solat. Baginda menjawab: Benar, sesungguhnya jika seorang Mukmin itu menunaikan solat, kemudian ia duduk menantikan solat berikutnya maka ia terhitung sedang mengerjakan solat."
Hadis Riwayat: Ibnu Majah

Abu Said dan Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anha meriwayatkan, bahawa Rasulullah bersabda:

إن في الجمعة ساعة لا يوافقها عبد مسلم يسأل الله عز وجل  فيها خيرا إلا أعطاه إياه وهي بعد العصر

Maksudnya: Pada hari jumaat ada satu waktu yang mana jika seorang Muslim memohon kebaikan daripada Allah tepat pada waktu itu, maka Allah pasti akan memakbulkan Doanya, dan waktu itu bermula selepas solat Asar. 

Hadis Riwayat: Ahmad

Jabir r.a juga telah meriwayatkan,bahawa Rasulullah bersabda:


يوم الجمعة اثنتا عشرة ساعة منها ساعة لا يوجد مسلم يسأل الله تعالى شيئا إلا أتاه إياه والتمسوها اخر ساعة بعد العصر

Maksudnya: Waktu siang hari Jumaat mempunyai 12 jam, diantaranya ada satu waktu jika seorang Muslim memohon sesuatu pada waktu itu, pasti Allah akan perkenankan permohonannya itu. Dan carilah waktu pada waktu-waktu akhir setelah Asar.

Hadis riwayat: Nasa'i, Abu Daud, Hakim (Al-Mustadrak) hadis shahih dan mematuhi syarat sahih Imam Muslim. Dalah Fathul Bari Hadis ini Hasan

Sa'id dalam sunannya telah meriwayatkan bahawa para sahabat telah bersepakat bahawa waktu paling mustajab doa pada hari Jumaat ialah ketika waktu-waktu akhir siang hari Jumaat. (Disahihkan oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)


Dalam hadis riwayat Muslim dan Abu Daud, Abu Musa r.a mendengar Rasulullah bersabda bahawa waktu yang makbul doa pada hari Jumaat ialah ketika Imam duduk antara 2 Khutbah Jumaat, sehingga selesai solat. (Hadis Mudtharib & Munqathi')

Sama-samalah kita berusaha mencari waktu-waktu yang mustajab Doa, dan mintalah apa sahaja kepada Allah, kerana dialah yang maha Kuasa, maha Mendengar, dan maha Mengasihani.

Wallahualam

Doa ketika terbangun tengah malam dan bermimpi buruk

Ramai diantara kita yang biasa terjaga tengah malam, kemudian tidak boleh tidur semula sama ada akibat bermimpi buruk atau sebab-sebab lain. Berikut adalah doa-doa yang  telah diajar oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam kepada kita.


Jika kita terbangun dan tidak boleh tidur, bacalah doa/zikir ini ketika kita membalik-balikkan badan pada waktu malam:

لَا إله إلَّا اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَماَ بَيْنَهُمَا الْعَزِيْزُ الْغَفَّار
Maksudnya: Tiada tuhan yang layak di sembah selain Allah, yang maha esa, yang maha perkasa,tuhan di langit, di bumi dan diantara keduanya, yang maha mulia dan maha pengampun.
Hadis riwayat Hakim, dan dishahihkan serta dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi, Imam An-Nasa'ie, dan Ibnu Sunni. 


Jika kita terjaga pada waktu malam akibat mimpi yang buruk atau menakutkan, maka bacalah juga doa ini yang mana telah diajar oleh Rasulullah.

Jika mimpi yang menakutkan, bacalah doa:


أَعُوذُ بِكَلِماتِ اللهِ التَّامَّة مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَن يَحْضُرُونَ
Maksudnya: Aku berlindung dengan Kalimah Allah yang bebas dari kemarahan, seksaan dan kejahatan hamba-hambanya, dan dari godaan syaitan, serta jauhkanlah aku darinya.
Doa ini diriwayatkan oleh Abu Dawud 4/12 dan Shahih Tirmizi: 3/171



Jika kita terjaga akibat mimpi buruk pula, lakukanlah seperti berikut:


  1. meniup disebelah kiri 3 kali
  2. Berlindung kepada Allah dari syaitan dan dari keburukan apa yang dimimpikan (bacalah Isti'azah kemudian berdoalah dalam bahasa yang kita tahu dan memohon agar keburukan yang kita mimpikan itu dijauhkan Allah) 3 kali
  3. Jangan berkongsi atau memberitahu sesiapapun mengenai mimpi buruk kita.
  4. Ubah posisi tidur kita dari yang asal.
  5. Bangun dan solat sunnat (jika mahu).  

langkah-langkah ini diterangkan oleh Rasulullah di dalam Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Shahih Muslim: 4/1772-1773

Wallahualam