Puasa Hari 'Asyura

بسم الله الرحمن الرحيم


Hari 'Asyura ialah hari yang ke-10 dalam bulan Muharram, dipanggil 'Asyura kerana dalam bahasa arab 10 ialah 'Asyarah. Hari 'Asyura merupakan hari yang mana masayarakat Quraisy berpuasa ketika di zaman Jahiliyyah, dan Rasulullah juga sentiasa berpuasa pada hari tersebut ketika di Mekkah. Selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah masih lagi berpuasa pada hari 'Asyura,dan menyuruh kaum muslimin yang lain berpuasa juga, tetapi selepas kewajipan berpuasa Ramadhan diturunkan, Rasulullah bersabda:

من شاء صامه ومن شاء تركه

Maksudnya: Sesiapa yang ingin berpuasa ('Asyura) maka puasalah, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa ('Asyura) maka jangan puasa.
Hadis riwayat: Bukhari & Muslim

Digalakkan berpuasa pada hari ini kerana untuk memperingati sejarah nabi Musa. Ibnu Abbas menceritakan, ketika Rasulullah tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari tersebut, lalu Rasulullah bertanya:

Hari apakah ini yang kamu puasa? Mereka menjawab: Ini merupakan hari yang baik, hari yang mana Allah telah menyelamatkan nabi Musa dan bani israil dari musuh, dan Nabi Musa berpuasa pada hari 'Asyura. Maka Rasulullah bersabda: Aku lebih berhak menghormati Musa daripada kamu semua. Kemudian Rasulullah berpuasa pada hari 'Asyura dan menyruh kaum Muslimin juga berpuasa.
Hadis riwayat: Bukhari & Muslim

Ibnu Abbas telah meriwayatkan: Ketika Rasulullah berpuasa pada hari 'Asyura dan menyuruh kaum Muslimin berpuasa, para sahabat telah bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah hari 'Asyura ini hari yang diagungkan oleh orang-orang yahudi dan nasrani?"
Maka Rasulullah bersabda:


فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع

Maksudnya: Jika telah tiba tahun depan, Insya Allah kita akan berpuasa juga pada hari kesembilan.
Hadis riwayat: Muslim & Abu Daud

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:

لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع

Maksudnya: Jika Aku masih hidup hingga tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesimbilan juga.
Hadis riwayat: Ahmad & Muslim

Ibnu Abbas juga memberitahu bahawasanya Rasulullah tidak sempat berpuasa pada hari kesembilan Muharram, kerana Baginda telah wafat sebelum tiba tahun berikutnya.

Para Ulama melalui hadis-hadis dari Rasulullah telah menetapkan bilangan puasa 'Asyura ada 3 peringkat iaitu:
  1. Puasa pada hari ke 9,10,dan 11
  2. Puasa pada hari ke 9 dan 10
  3. Puasa pada hari ke 10 sahaja

Kelebihan puasa 'Asyura ialah akan di ampunkan dosa pada tahun yang lalu, dan akan diberi kelapangan oleh Allah. Rasululla bersabda:


وصوم عاشوراء يكفر ستة ماضية

Maksudnya: ........ dan berpuasa pada hari 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu"
Hadis riwayat: Jamaah kecuali Bukhari & Tirmizi

Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:


من وسع على نفسه وأهله وسع الله سائر سنته

Maksudnya: Barangsiapa yang memberi kelapangan pada dirinya dan keluarganya di hari 'Asyura maka Allah akan memeberi kelapangan kepadanya pada tahun itu.
Hadis riwayat: Baihaqi dan Ibnu Barr - hadis ini mempunyai sanad yang lain, dan semuanya lemah, Imam Sakhawi berkata: Dengan ada banyaknya sanad yang lemah untuk hadis ini, menjadikan hadis ini kuat.

Wallahualam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan