Larangan ber 'Najwa' ( Berbisik-bisik )

بسم الله الرحمن الرحيم



Apakah An-Najwa?

Najwa merupakan istilah di dalam Al-Quran yang merujuk kepada perbuatan sekumpulan manusia yang berbisik-bisik sesama mereka dengan menyisihkan seseorang yang ada disitu. Seperti ada 3 orang yang sedang duduk bersama, kemudian si A dan si B berbisik berdua dengan pengetahuan si C yang ada disitu, dan mengetahui serta sedar bahawa dia disisihkan oleh si A dan B.

Hukum Najwa dalam Islam?

Secara umumnya, hukum berNajwa telah dilarang oleh Allah di dalam Al-Quran dalam surah Mujadalah ayat 7 hingga 10. Ayat larangan ini diturunkan Allah kerana kaum yahudi di Madinah gemar berbisik sesama mereka ketika kaum Muslimin berada di kalangan mereka, walaupun telah dilarang oleh Rasulullah, mereka masih lagi melakukan perbuatan demikian sehinggakan Allah sendiri yang melarang perbuatan ini secara khusus di dalam Al-Quran. Pembaca juga amat disarankan untuk membuka Al-Quran terjemahan dan membaca sendiri terjemahan ayat-ayat berkaitan berkara ini.

Larangan untuk berbisik ini juga dikuatkan lagi dengan hadis  Rasulullah dari Abdullah bin Mas'ud:


إذا كنتم ثلاثة فلا يتناجى رجلان دون الآخر حتى تختلطوا بالناس فإن ذلك يحزنه
Maksudnya: Apabila kamu berada dalam satu kumpulan seramai 3 orang, janganlah 2 orang dari kamu berbisik-bisik sehinggalah kamu mengikut sertakan orang lain, kerana itu akan membuatkan ia (orang yang disisihkan) bersedih.
Hadis riwayat: Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah

Walaupun di dalam Al-Quran dan Hadis menyebut bilangan secara khusus, tetapi para Ulama berpendapat, ianya terpakai walaupun bilangan sekumpulan yang berbisik itu 1000 orang ataupun lebih, ini kerana jumlah 3 merupakan jumlah pertama yang membolehkan perbuatan ini berlaku. Jumhur Ulama juga bersepakat bahawa tegahan di dalam zahir hadis ini adalah umum, dan terpakai pada setiap zaman, dan keadaan sama ada ia membabitkan perkara yang wajib, sunat, harus mahupun haram. Perasaan orang yang disisih itu kita perlu jaga agar tidak terguris.

Adab-adab berbisik

Islam telah menetapkan adab-adab untuk kita berNajwa, ini bertujuan agar tidak mengguriskan hati mana-mana pihak. Adab-abadnya ialah:

  1. Tidak dibenarkan berbisik dengan menyisihkan seorang di dalam kumpulan, melainkan dengan izinnya.
  2. Jika tidak mendapatkan keizinan, perlu menunggu sehingga ada orang yang ke-4, ataupun orang yang disisihkan itu perlu mempunyai teman.
  3. Tidak dibenarkan untuk berbisik berkaitan perkara-perkara yang maksiat dan yang membawa kepada kezaliman.
  4. Berbisiklah berkaitan perkara-perkara yang baik, ketakwaan kepada Allah, dan meninggalkan maksiat.
Wallahualam










Tiada ulasan:

Catat Ulasan