Khusyuk dan was-was di dalam solat. Hukum-hukum berkaitannya


Khusyuk di dalam solat merupakan sesuatu yang dituntut di dalam agama. Namun kadangkala kita sering tertanya adakah sah solat kita jika kita tidak khusyuk? Sebelum itu akan diterangkan secara ringkas apakah itu khusyuk di dalam solat.

Firman Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 1-2

"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya."
Menurut Imam Al-Ghazali, khusyuk itu tercapai jika sewaktu mengerjakan solat, terpenuhi hal-hal berikut ini:



  1. kehadiran hati;
  2. faham makna kalimah yang di baca
  3. mengagungkan Allah SWT;
  4. merasa gentar terhadap Allah SWT;
  5. rasa pengharapan kepada Allah SWT; dan
  6. merasa malu terhadap-Nya





Dengan demikian makna khusyuk sebagaimana didefinisikan oleh Sa’id bin Jubair, adalah terpusat(fokus)nya pikiran terhadap solat yang sedang dilakukan hingga tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan sebelah kirinya. Hal ini pernah dibuktikan oleh Muslim bin Yasar yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya: Ihya Ulumuddin, yang mana ketika beliau sedang mengerjakan solat di sebuah masjid, banggunan masjid itu runtuh tanpa disedarinya. 




Khusyuk merupakan roh (jiwa) solat. Jadi jika kita senantiasa solat dengan khusyuk, solat yang kita lakukan akan menjadikan hari-hari kita lebih positif . Agar kita dapat solat dengan khusyuk, maka haruslah berusaha:




  1. ketika solat kita harus merasa sedang menghadap Allah SWT, yang mengetahui segala sesuatu yang tersimpan dalam hati dan pikiran kita;
  2. tidak tergesa-gesa, baik dalam membaca bacaan solat maupun melaksanakannya;
  3. memperhatikan bacaan solat , sekaligus menghayatinya dalam hati;
  4. membuang jauh-jauh segala hal duniawi dan keraguan yang mengganggu hati.


Walaubagaimanapun, ketika sebagai manusia sering diganggu oleh syaitan, yang kerjanya untuk melalaikan manusia. Di dalam solat kita sering terfikir hal-hal berkaitan keluarga, kerja, dan macam-macam lagi. Bagaimanakah status solat kita?

Pertama sekali, kita perlu tahu konsep khusyuk di dalam fiqh, ianya sama seperti konsep taqwa. Taqwa itu bermaksud kita patuh dan laksanakan suruhan Allah, dan meninggalkan apa yang dilarang. Namun kita sebagai seorang manusia, tidak maksum dan tidak lari dari melakukan maksiat, adakah kita tidak lagi dikira sebagai orang yang bertaqwa? Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 201

Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).

Di sini kita jelas kita boleh lihat bahawa Allah taala telah menyatakan orang yang bertakwa bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi ialah orang yang apabila melakukan kesalahan dan ia cepat-cepat sedar dan kembali pada jalan yang benar.

Begitu juga dengan Khuyuk, walaupun menurut bahasa ia bermaksud kita tumpukan perhatian pada solat, tetapi dalam makna syaraknya ialah kita tumpukan perhatian, dan jika kita lalai cepat-cepat kembali menumpukan perhatian. Kerana kita mustahil untuk manusia (kecuali orang-orang yang tertentu) khusyuk 100% di dalam solat, inilah sifat manusia yang sentiasa akan dilalaikan oleh syaitan.


Bagaimana solat kita yang tidak khusyuk ini?

Solat yang tidak khusyuk hukumnya tetap sah, kerana khusyuk tidak termasuk dalam syarat sah, tetapi solat kita dianggap tidak sempurna. Sebagai seorang Islam kita perlu cuba untuk tingkatkan tahap khusyuk kita setiap kali solat. 

Bolehkah mengulangi solat fardhu 2 kali atau lebih?

Mengulangi solat fardhu ini mempunyai dua hukum. Sunnat dan Dilarang

Jika kita telah melakukan solat fardhu bersendirian atau berjemaah, kemudian kita dapati ada jemaah lain yang sedang solat, maka sunnat jika dia ulangi solat dengan jemaah itu. Syarat dan rukun solatnya dikira sama seperti solat fardhu, seperti tidak boleh solat duduk,tidak boleh batalkan solat dengan sengaja dan lain-lain. Tetapi hukum solat itu dikira sunnat.  Ini bedasarkan hadis Rasulullah






فلا تفعلا إذا صليتما في رحالكما ثم أتيتما مسجد جماعة فصليا معهم فإنها لكما نافلة

Maksudnya: Jangan kamu lakukan demikian. Apabila kamu telah bersembahyang di kediaman kamu, kemudian kamu mendatangi masjid jemaah maka bersembahyanglah bersama mereka. Maka sesungguhnya ia menjadi sunat bagi kamu.


(Tirmizi (no: 219) dan katanya "Hadis Hasan Sahih", Nasaie (no: 858).)

Hukum yang kedua, megulangi solat fardhu adalah dilarang oleh syarak, jika mengulangi itu dengan alasan kerana merasakan solat kita tidak khusyuk, atau tidak puas hati, atau rasa was-was terhadap sesuatu. Larangan ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah:





لاَ تُصَلُّوا صَلاَةً فِى يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ




Maksudnya: Jangan kamu melakukan satu-satu solat dalam satu hari sebanyak dua kali.

(Abu Daud (no: 579), Nasaie (no: 860), Ibn Khuzaimah (no: 1641), dan lain-lain.)



Bagaimana jika was-was? Adakah boleh ulangi solat fardhu?

Dalam hal ini, ia tetap dilarang. Seperti kita telah jelaskan, mengulangi solat fardhu hanya dibolehkan jika kita melakukan solat sendirian, dan ingin berjemaah. Selain dari itu maka ia dilarang.

Jika kita was-was adakah boleh batalkan solat?

Jawapannya tidak boleh, kerana Rasulullah juga pernah terlupa, baginda melakukan solat zohor dua rakaat, kemudian selepas diingatkan oleh sahabat, baginda menambah lagi dua.

Jika kita tersedar yang kita melakukan solat kurang rakaat selepas habis solat, maka kita hanya perlu tambah bilangan rakaat yang terlupa itu sahaja, dengan syarat ia perlulah dalam masa yang tidak terlalu lama (dianggarkan dalam lingkukang 5-10 minit). 

Manakala jika didalam solat kita terlupa, seperti adakah sedang di rakaat 3 atau 4? Maka dalam hal ini, perlu mengambil jumlah rakaat yang sedikit, dan melakukan sujud sahwi sebelum salam. Kata Rasulullah, jika kita memang berada pada rakaat yang betul, sujud sahwi itu sebagai penghinaan kepada syaitan kerana gagal merosakan solat kita, tetapi jika kita sebenarnya sedang di rakaat ke 4, tetapi buat kembali rakaat ke 3, maka sujud sahwi itu sebagai menyempurnakan solat kita. 

Kesimpulan

Tidak khusyuk di dalam solat sebenarnya berkait dengan was-was. Jika kita sering was-was maka syaitan lebih mudah mengganggu kita. Apabila kita sedar yang kita sering tidak khusyuk di dalam solat, maka perlulah melatih diri agar menambah ke khusyukan itu, mungkin pada peringkat awal tidak sampai 100%, walaupun pada ketika ini sekadar 10% sahaja, dengan usaha dan tingkat ilmu kita ia akan bertambah dan semakin baik. Insha Allah

Wallahualam.

Berpurdah (niqab) dan Aurat Wanita menurut 4 Mazhab

Sebelum kita membincangkan hukum berpurdah atau niqab, perlu diketahui dahulu apakah aurat bagi wanita terhadap lelaki menurut 4 Mazhab

Dalil utama dalam bab aurat ini di dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 31:

ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها

Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, kecuali apa yang zahir daripadanya.

Maka ulama berselisih pendapat dalam maksud yang "zahir" daripadanya. dan maksud perhiasan yang tidak dibolehkan.

Dalam hal ini para Ulama berselisih kepada dua golongan.

1) Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Jumhur Fuqaha'

Golongan ini berpendapat seluruh anggota badan wanita aurat kecuali muka dan tapak tangan.

Pendapat ini juga merupakan sebahagian dari pendapat para sahabat dan Tabien. Said bin Jubair menyatakan bahawa, maksud perkataan yang zahir daripadanya itu ialah Muka dan Tapak tangan. 

Selain itu, terdapat juga hadis dari Aishah r.a menyatakan, bahawa Asma' pernah ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, Rasulullah kemudian berpaling dan bersabda: "wahai Asma', perempuan apabila telah baligh tidak boleh terlihat daripadanya selain dari ini dan ini". Kemudian Rasulullah menunjukkan ke arah dua tapak tangannya dan wajahnya.

Hujah mereka yang lain ialah, didalam solat dan haji wanita boleh menunjukkan muka dan tapak tangannya. Jika kedua itu adalah aurat, maka sudah pasti tidak akan dibenarkan di dalam ibadat.

2) Mazhab Syafie & Mazhab Maliki

Golongan ini berpendapat seluruh tubuh wanita adalah aurat termasuk muka dan tapak tangan. 

Mereka memegang pada ayat dilarang menampakkan perhiasan. Perhiasan terbahagi kepada perhiasan semula jadi, dan perhiasan buatan. Maka tubuh wanita keseluruhannya di anggap perhiasan wanita,maka ia dilarang.

Kemudian dalam sambungan ayat itu menyatakan "kecuali apa yang zahir daripadanya". Golongan ini mentakwilkan yang zahir itu adalah jika berlaku keadaan yang tidak disengajakan atau dalam keadaan darurat. Seperti tertiup angin, atau dalam keadaan berubat.

Selain itu, terdapat beberapa hadis yang nabi melarang para lelaki melihat wanita, dan meyuruh untuk palingkan pandangannya, maka jelas melalui larangan nabi ini haram hukumnya melihat wanita, termasuk juga melihat wajahnya. 

Terdapat juga firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53 yang menyuruh sesiapa yang ingin meminta sesuatu pada isteri nabi perlu lakukan di sebalik tabir, ini menunjukkan larangan melihat wanita bukan mahram. Walaupun ayat ini ditujukan pada isteri nabi, tetapi ia di qiyas kan kepada seluruh wanita muslimah. 

Melalui dalil aqli pula, wajah merupakan anggota yang boleh menimbulkan fitnah, kerana ia merupakan sumber utama timbulnya fitnah.

Hukum berpurdah

Setelah jelas pandangan-pandangan berkaitan aurat wanita maka hukum berpudah juga mengikut pandangan yang sama. Bagi golongan yang menyatakan muka dan tapak tangan bukan aurat, maka berpurdah ialah harus, atau sunat. 

Sebaliknya yang berpendapat muka dan tapak tangan aurat, maka hukumnya wajib. 

Namun perlu difahami dengan jelas hukum ini, kerana kebanyakan wanita-wanita di malaysia tidak memahami perkara ini dengan teliti. Hukum berpurdah wajib jika berpegang dengan wajah itu aurat, namun dalam masa yang sama tangan dan mata juga dikira aurat, maka tidak cukup hanya berpurdah, perlu juga mengenakan sarung tangan dan menutup mata. 

Seperkara lagi yang perlu difahami, berpurdah tujuannya ialah untuk menjaga dari fitnah, jika berpurdah tetapi rancak ber'selfie' maka ia tidak mendatangkan faedah. Akhlak juga perlu dijaga, jangan terlalu teruja menunjukkan mata kepada umum, dan beberapa perkara yang menunjukkan kesilapan dalam berpurdah. 

Pendirian orang yang berpegang dengan muka bukan aurat juga perlu dihormati, jangan rasakan diri anda mulia kerana berpurdah kerana ini masalah khilafiyah. Juga jangan memaksa orang mengikut pegangan anda, dan jangan pula berkempen. Kerana masing-masing berhak mengambil mana-mana pendapat, Golongan yang berpurdah juga perlu menghormati jika sesebuah institusi mengharamkan pemakaian purdah, ini kerana dalam masalah khilaf, pihak-pihak berwajib boleh untuk menjadikan salah satu dari pendapat yang khilaf ini sebagai pegangan yang perlu diikut atas sebab mengaja maslahah yang lain. Seperti sebuah kolej yang mengharamkan atas sebab untuk mengelak berlakunya penipuan. 

Terakhir ialah, perlu diingat bahawa dalam masalah khilaf kita boleh memilih dan boleh mengamalkan kedua-dua pendapat. Jika berlaku keadaan yang melarang kita untuk berpurdah, janganlah terlalu ekstrim dan berkeras tidak mahu menaggalkannya, atau pun berada di kawasan masyarakat yang tidak menerima pemakaian ini, maka seloknya bertukarlah ke pendapat yang ianya bukan aurat. Sikap keras terhadap masalah khilaf ini akan menimbulkan permusuhan dan kekacauan.

Wallahualam


Kaedah-kaedah Maqasid

Dalam menjaga Maqasid Syariah, 3 perkara utama perlu ditekankan. Iaitu Maqasid Daruriyat, Maqasid Tahsiniyyat, dan Maqasid Hajiyat. Di dalam ketiga-tiga ini terdapat pelengkap yang dinamakan Mukammil, dan perkara yang melengkapkannya di sebut Mukammal. Menurut Imam Syatibi terdapat lima kaedah yang menjaga tiga perkara ini, ia dinamakan sebagai Qawaid Maqasidiyah.

1) Keperluan Asasi itu merupakan dasar bagi jenis Maqasid yang lain. Iaitu Keperluan tambahan dan kesempurnaan. 

Keperluan asasi ini menjadi sumber paling utama dan yang paling penting untuk di jaga. tanpa keperluan asasi ini maka keperluan yang lain tidak akan lengkap. Ia boleh diibaratkan seperti dalam pembinaan sebuah rumah perkara paling asas adalah tianggnya. bagaimana mahu memasang bumbung jika tiangnya tidak ada. 

Keperluan asasi ini perlu menjaga Agama, Nyawa, Akal, Harta, Akal.

2) Ketiadaan keperluan asasi pasti akan menghilangkan jenis Maqasid keperluan tambahan dan kesempurnaan.

Apabila Keperluan asasi ini hilang, maka apa-apa perkara yang berkait dengannya juga akan hilang. Sama seperti contoh diatas, apabila tiang rumah tidak dapat didirikan, bagaimana boleh di bina bumbung dan sebagainya.

Sama juga dalam masalah ibadat, Apabila hilang kewajipan untuk menunaikan solat bagi wanita yang haid, maka gugur juga kewajipan untuk berwuduk, dan perkara-perkara wajib yang lain yang bergantung terhadap perkara asasi tadi. 

3) Ketiadaan keperluan tambahan dan kesempurnaan bukan menjadi faktor utama ketiadaan atau hilangnya keperluan asasi. 

Berlawanan dengan perkara ke 2, Keperluan asasi tidak akan terjejas jika perkara tambahan atau kesempurnaan tidak ada. Sebuah rumah yang ada tiang bumbung,tetapi tidak ada dinding tetap dikira sebagai rumah,walaupun tidak sempurna. Solat juga sah jika tidak ada keperluan tambahan seperti doa ketika sujud, dan keperluan kesempurnaan seperti bacaan surah atau doa sebelum salam.

4) Kebarangkalian yang biasa berlaku apabila ketiadaan keseluruhan keperluan tambahan atau keperluan kesempurnaan akan menjadi kekurangan pada keperluan asasi. 

Walaupun dalam perkara 3 kita menyatakan bahawa tanpa keperluan tambahan dan kesempurnaan, keperluan asasi masih sah, tetapi tidak dinafikan bahawa ianya akan menjadi cacat, atau akan menjadi kekurangan dari pelbagai sudut. 

Seperti solat, walaupun sah solatnya tanpa bacaan sunat, tetapi ianya cacat, dan tidak menjadi satu solat yang baik. Boleh diandaikan bahawa keperluan asasi ini sebagai fardhu, keperluan tambahan sunat muakkad,dan keperluan kesempurnaan sebagai sunat. 

5) Ketetapan memelihara keperluan tambahan dan keperluan kesempurnaan demi menjaga keperluan asasi. 

Kaedah ini merupakan pelengkap kepada yang sebelum ini. Kita maklum bahawa tanpa keperluan tambahan dan kesempurnaan keperluan asasi akan dilihat cacat, maka Maqasid menuntut agar kita memelihara juga keperluan tambahan dan kesempurnaan ini agar keperluan asasi kita dilihat cantik. Ia merupakan perhiasan bagi perkara asas. 

Semua ibadat-ibadat fardhu memerlukan perkara sunat bagi mencantikkan lagi fardhu itu, begitu juga dengan kehidupan biasa. dinding lantai pintu tingkap merupakan penambahan yang penting untuk kehidupan di rumah menjadi lebih selesa, bagi sempurnakan lagi perlu ada sofa meja dan lain-lain. 

Oleh itu, tiga keperluan ini saling berkait dan perlu dijaga, cumanya keperluan asasi itu perlu lebih dipelihara dan dipastikan ianya sempurna. 

Wallahualam











Fidyah Puasa menurut 4 Mazhab



Apa itu fidyah?

Fidyah merupakan bayaran yang dikenakan keatas orang-orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan syarak. Hukum membayar fidyah adalah wajib bedasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184.


Sebab-sebab yang diwajibkan fidyah:


  • Tidak mampu puasa : Semua fuqaha sepakat bahawa lelaki atau wanita yang tidak mampu berpuasa kerana sakit tua, wajib membayar fidyah. Jika mereka sukar berpuasa pada bulan Ramadhan, maka dibolehkan untuk tidak berpuasa dan membayar fidyah mengikut hari yang tidak berpuasa. Menurut Ibn Abbas, ayat 184 surah al-Baqarah ini juga menjadi rukhsah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa. Jika ia tidak mampu membayar kafarah, warisnya diwajibkan untuk membayar kafarah untuknya, namun jika warisnya atau orang yang menanggungnya tidak mampu, maka menurut mazhab hanafi ia perlu beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah Azza Wa Jal. 

  • Orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh : Ulama bersepakat orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa dan tidak ada harapan sembuh boleh membayar kafarah mengikut hari yang tidak mampu ia berpuasa. Jika ia ada harapan sembuh maka puasanya boleh diqadha' selepas itu, dan tidak perlu membayar fidyah. 

  • Wanita hamil atau yang sedang menyusu : Jumhur Bersepakat wanita yang sedang hamil atau yang mesnyusukan anak, boleh untuk tidak berpuasa jika khuatir akan menjejaskan kesihatan atau memudaratkan diri. Tetapi mereka wajib menqadha' puasa dan membayar fidyah. Namun menurut Mazhab Hanafi hanya wajib qadha' tidak perlu membayar fidyah. 

  • Orang yang tidak Qadha' puasa Ramadhan hingga tiba Ramadhan yang berikut : Jumhur berpendapat orang yang tidak habis Qadha' puasa Ramadhannya hingga tiba Ramadhan yang berikut maka ia wajib Qadha' dan dikenakan fidyah mengikut jumlah hari yang tertinggal. Namun Mazhab Hanafi pula hanya wajib untuk Qadha' sahaja tanpa dikenakan fidyah.

Berapakan jumlah fidyah?

Menuruh Mazhab Hanafi, jumlah fidyah ialah setengah Sha' gandum, boleh juga dibayar dengan nilainya mengikut wang ringgit. Jumhur pula menyatakan bahawa jumlah fidyah ialah satu Mud makanan asas untuk satu hari tertinggal puasa. Kiraan Sha' atau Mud boleh rujuk artikel Kafarah.


Wallahu'alam

Kafarah Puasa menurut 4 Mazhab




Apa itu Kafarah?

Kafarah ialah denda yang dikenakan ke atas orang yang membatalkan puasanya secara sengaja dan atas kehendaknya sendiri. Mereka dikenakan kafarah kerana melanggar kesucian bulan Ramadhan dengan sengaja, tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Hukum kafarah adalah wajib jika batal puasanya dalam bulan Ramadhan sahaja.

Dalam keadaan apa dikenakan kafarah?

Kafarah tidak dikenakan ke atas semua jenis keadaan yang membatalkan puasa. Kafarah hanya dikenakan jika orang yang membatalkan puasanya dalam-dalam keadaan berikut (semuanya yang hanya terjadi dalam bulan Ramadhan sahaja):

1) Mazhab Hanafi

  • Memasukkan sesuatu kedalam mulut dengan sengaja. Sama ada makanan atau tidak. seperti rokok, shisha dan lain-lain. Termasuk juga jika seseorang yang makan kerana menyangka puasa batal kerana melakukan sesuatu, sedangkan tidak batal, seperti berbekam atau bercium dengan istrinya. Jika ia makan kerana menyangka perbuatan itu membatalkan puasanya sedangkan sebenarnya tidak maka wajib juga dikenakan kafarah, kecuali ia telah diberitahu oleh ahli fiqh bahawa puasnya memang batal. 

  • Berjimak dengan sengaja. Melalui lubang faraj atau dubur, walaupun sentuhan berlaku tanpa enjakulasi, dengan syarat objek itu adalah seorang manusia yang hidup yang boleh manaikkan nafsu.  Seorang wanita juga wajib dikenakan kafarah jika ia membiarkan dirinya disetubuhi budak yang belum baligh dan orang gila. 



2) Mazhab Maliki

Perkara-perkara yang membatalkan puasa yang diwajibkan untuk qadha' puasa dan dikenakan kafarah. 


  • Bejimak dengan sengaja pada siang hari, walaupun tidak mengeluarkan mani. Apabila zakar telah masuk sahaja ke dalam faraj maka dikira sebagai jimak. Juga terjadi jika melakukannya dengan binatang. Jika berjimak dalam keadaan lupa maka ia tidak akan dikenakan kafarah. Jika seorang lelaki berjimak dengan seorang wanita yang sedang tidur atau memaksa wanita itu bersamanya, maka lelaki itu perlu membayar kafarah atas dirinya dan atas wanita itu, begitu juga sebaliknya jika wanita yang melakukan. Jika dua-dua melakukan dengan sengaja maka setiap orang perlu bayar kafarah atas dirinya.

  • Mengeluarkan mani atau madzi dalam keadaan sedar. Jika melakukan onani, atau bercumbuan seperti bercium, atau bercumbu tanpa melakukan sentuhan di kemaluan, sehingga menegeluarkan mani atau madzi maka batallah puasanya, dan dikenakan kafarah. Namun jika dia hanya memandang seseorang dan berkhayal yang menyebabkan maninya keluar, maka tidak dikenakan kafarah, tetapi puasanya batal, jika hanya keluar madzi puasanya tidak batal. Tetapi jika seseorang itu memang kebiasannya akan keluar mani jika memandang seseorang, maka ia akan dikenakan kafarah.

  • Makan dan minum dengan sengaja. Walaupun memasukkan sesuatu yang bukan makanan, ia dikira juga sebagai makan dan minum. Termasuk juga muntah dengan sengaja kemudia menelan semula muntah itu, ini semua termasuk dalam perkara yang dikenakan kafarah. Namun tidak wajib bayar kafarah jika termasuk sesuatu melalui rongga selain mulut seperti hidung dan telinga.

  • Berniat untuk berbuka pada siang hari. dan Sengaja berbuka tanpa ada uzur yang dibenarkan.


3) Mazhab Syafie & Mazhab Hanbali

Mazhab Syafie hanya 1 perkara yang membatalkan puasa dan dikenakan kafarah malah dikenakan ta'zir. Iaitu berjimak dengan sengaja. Dengan syarat ia sudah berniat puasa pada malam harinya, melakukannya dengan sengaja dan tahu akan haramnya perbuatan itu, puasanya batal kerana berjimak (Jika ia sudah batal puasa dengan perkara lain seperti makan, kemudian ia berjimak maka tidak dikenakan kafarah), dia berdoa dengan perbuatan ini (tidak ada kafarah jika belum baligh, atau orang yang mendapat rukhsah, seperti orang yang sedang bermusafir yang boleh untuk tidak puasa, dan ia berbuka dengan berjimak), dia yakin puasanya sah, dan tidak ragu-ragu, jimak berlaku pada lubang faraj atau dubur wanita yang hidup atau mati juga haiwan, selain itu tidak dikenakan kafarah. 



Bentuk-bentuk Kafarah


Kafarah puasa adalah sama seperti kafarah zhihar dan kafarah membunuh tanpa sengaja, iaitu wajib mengikut urutan.

  1. Merdekakan hamba :  Hamba yang ingin dimerdekakan perlu yang beriman (menurut jumhur kecuali mazhab hanafi), tidak mempunyai kecacatan yang menghilangkan fungsi untuk berjalan bercakap berfikir dan melihat. 
  2. Berpuasa dua bulan Qamari (bulan hijrah) berturut-turut : Jika tidak sanggup merdekakan hamba sama ada tidak mempunyai hamba atau tidak mampu, maka kafarahnya ialah berpuasa selama dua bulan qamari berturut-turut, tanpa diselangi dengan hari-hari tasyriq atau hari raya. Hanya boleh diselangi jika ada uzur syarie seperti wanita yang datang haid, atau orang sakit yang tidak mampu berpuasa tetapi sakitnya akan sembuh, atau orang yang gila, atau orang yang lupa, atau orang yang tersilap kiraan hari, atau orang yang nifas, atau orang yang pingsan dalam keadaan lama. Menurut mazhab hanafi pula selain dari uzur haid maka wajib mula dari awal jika terbatal puasanya. Selain dari itu jika ia terbatal puasanya maka perlu ulang semula kiraan dua bulan dari awal. Tidak sah puasanya jika ia mampu merdekakan hamba, jika dia sedang berpuasa kemampuan itu datang maka ia wajib merdekakan hamba walaupun puasanya pada hari terkahir menurut mazhab hanafi. Menurut Jumhur pula tidak wajib, ia boleh teruskan puasanya, kecuali jika dia benar-benar mahu merdekakan hamba. 
  3. Memberi makan 60 orang miskin : Jika tidak mampu berpuasa, makan kafarahnya ialah memberi makan 60 orang miskin, setiap seorang perlu diberi 1 Mud gandum (menurut pendapat Jumhur). 1 Mud bagi mazhab hanafi bersamaan 714.5 gram, mazhab syafie dan hanbali pula 1 mud bersamaan 510 gram, Mazhab maliki pula bersamaan 506.5 gram. Gandum buleh juga diganti dengan makanan ruji seperti beras. Menurut mazhab hanafi pula setiap orang miskin perlu diberikan 2 Mud gandum, atau 1 Mud pagi 1 Mud petang. Atau boleh diberi 1/2 Sha' kurma, 1 Sha' bersamaan dengan 2.7kg. Kurma juga boleh diganti dengan kismis kering menurut hanafi, atau boleh juga diganti dengan nilai duit. Orang yang menerima kafarah tidak boleh beri makanan kafarah itu kepada keluarganya (yang dibawah tanggungannya).

Mazhab Maliki pula tidak mewajibkan mengikut urutan, orang yang dikenakan kafarah bebas memilih yang mana, dan yang paling afdhal ialah memberi makan orang miskin. 


Bagaimana jika kesalah yang dikenakan kafarah berulang?

Jika kesalahan itu berlaku dalam hari yang sama, semua mazhab bersepakat bahawa hanya dikenakan satu kafarah sahaja. Seperti seseorang telah berjimak, dan belum membayar kafarahnya telah berjimak sekali lagi pada hari yang sama, maka hanya dikira 1 kafarah. 

Tetapi jika dilakukan pada hari yang berbeza, maka dikenakan kafarah mengikut jumlah harinya itu menurut pendapat jumhur. Menurut Hanafi pula cukup 1 kafarah sahaja jika ia melalukan beberapa kali walaupun pada hari yang lain. 


Bagaimana jika terdapat keuzuran syarie selepas melakukan kesalahan?

Jika seseorang itu membatalkan puasanya seperti berjimak, kemudian terjadinya keuzuran yang dibenarkan membatalkan puasa itu datang selepas berjimak, maka ia tetap dikenakan kafarah. Seperti seseorang telah berjimak, kemudian ia sakit, atau bermusafir, atau wanita yang datang hadi setelah berjimak ketika puasa, maka keuzuran itu tidak menghalangnya dari dikenakan kafarah. 

Mazhab hanafi pula kafarahnya gugur jika keuzuran itu datang selepas melakukan kesalahan. Kecuali jika orang bermusafir, orang yang bermusafir setelah berjimak tetap dikenakan kafarah. 



Wallahualam

Isteri berpuasa sunat tanpa izin suami

Sabda Rasulullah:


لا تصوم المرأة يوما واحدا وزوجها شاهد إلا بإذنه إلا رمضان 


Maksudnya: Seorang wanita tidak boleh berpuasa walaupun satu hari dalam keadaan suaminya berada di rumah, kecuali dengan izin suaminya. Melainkan pada bulan Ramadhan. 
(H.R Bukhari, Muslim, dan lain-lain)

Apakah hukum isteri berpuasa tanpa izin suami?

Majoriti Ulama menyatakan hukumnya adalah haram secara mutlak. Manakala Mazhab Hanafi pula menyatakan hukumnya Makruh Tahrim, iaitu makruh yang mana menghampiri haram. Seorang isteri yang ingin berpuasa sunat perlu mendapat keizinan suaminya jika suaminya berada di rumah. Jika suaminya tiada di rumah, maka ia tidak perlu mendapat keizinan suaminya. Suami juga dibolehkan untuk menyuruh isterinya membatalkan puasanya. Begitu juga jika isteri yang berpuasa ketika suami tiada di rumah, kemudian bila suaminya balik, suami boleh menyuruh isterinya membatalkan puasa. 

Jika seorang isteri tetap meneruskan puasanya walaupun tidak diizinkan suami, puasanya tetap sah, tetapi perbuatannya itu haram. Pengharaman ini bedasarkan hadis Rasulullah diatas, selain itu, mengikuti arahan suami adalah wajib, manakala puasa sunat hukumnya adalah sunat. Perkara sunat tidak boleh melebihi perkara yang wajib. 

Namun begitu, keizinan suami ini hanya dalam puasa sunat, ianya tidak terpakai dalam puasa Ramadhan. Kerana puasa Ramadhan hukumnya wajib, malah isteri tidak berdosa jika menderhaka suaminya jika suami melarang berpuasa Ramadhan. Rasulullah juga menyatakan bahawa tidak ada ketaatan pada manusia dalam perkara yang mungkar, dan tidak berpuasa Ramadhan adalah perkara yang mungkar. Sama juga keadaanya jika berpuasa Qada'. Kerara puasa Qada' dikira juga puasa Ramadhan, yang mana hukumnya adalah wajib.

Suami juga perlu bertimbang rasa dalam perkara ini, seorang suami yang baik perlu menggunakan pendakatan yang baik, walaupun suami ada hak dalam melarang perkara ini, adalah tidak wajar jika menggunakan kekerasan keatas isteri. 


Wallahualam

Doa ditimpa musibah dan doa melihat orang terkena musibah

Apa itu musibah? 

Musibah merupakan satu bentuk kesusahan ujian yang diberi kepada manusia dengan dua tujuan. Pertama sebagai ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana kesabaran dan kebergantungan kita kepada Allah. Kedua pula sebagai balasan kepada hambanya yang terpensong, ia sebagai peringatan dari Allah agar kita segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Namun perkara ini tidak dapat diketahui melainkan dengan cara bermuhasabah, dan hanya Allah yang maha mengetahui. 

Musibah datang dalam pelbagai bentuk, antaranya melalui firman Allah yang bermaksud:

" Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar :
Surah al-Baqarah: 155

Doa apabila ditimpa musibah?

Apabila kita menerima ujian atau musibah, dalam apa jua bentuk yang disebut dalam ayat di atas, maka perkara pertama yang perlu diucapkan ialah:

إنا لله وإنا إليه راجعون

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Orang yang membaca doa ini, kemudian bersabar atas musibah tersebut akan mendapat kebaikan serta rahmat dari Allah. Insya Allah

Apakah doa untuk orang lain yang melihat musibah?

Kita sering melihat rakan atau orang lain ditimpa musibah, seperti kereta rosak, kemalangan, kecacatan, kehilangan wang dan sebagainya. adakah kita hanya melihat? Diajarkan kepada kita doa untuk dibaca apabila melihat musibah berlaku agar ktia dihindari oleh Allah dari musibah itu terkena ke atas ktia

الحمدُ للهِ الَّذِي عافانِي مِمَّا ابْتَلاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنا تَفْضِيْلا



Kenapa kita kena musibah?

Ujian dan kesusahan ini diberi Allah tidak lain agar kita sentiasa ingat kepadanya, agar kita dapat masuh ke syurganya. Allah berfirman yang merkmaksud

"Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."



Berbahagialah bagi orang yang sedang diuji dan bersabar atas ujiannya, syurga menanti kalian.

Wallahualam

Sujud Syukur menurut 4 Mazhab




Menurut pendapat majoriti Ulama', sujud syukur hukumnya adalah Sunnah, namun ada yang memakruhkannya. Berikut merupakan pendapat para ulama 4 mazhab.

1) Mazhab Hanafi 

Menurut Imam Abu Hanifah, suduj syukur hukumnya Makruh, kerana kita tidak mungkin dapat menghitung nikmat Allah. Namun Ulama Hanafiyyah mengatakan sujud syukur merupakan ibadah yang berpahala, ini bedasarkan hadis dari Abu Bakrah bahawa Rasulullah bersujud setelah mendapat berita gembira. Pendapat yang difatwakan ialah sujud syukur adalah harus, namun makruh jika diluar solat. Kerana dikhuatiri orang awam menganggapnya sunnah awau wajib, dan setiap perkara yang boleh membawa kepada sunnah atau wajib sedangkan ianya tidak, adalah makruh. Jika berniat untuk sujud syukur di dalam sujud ketika solat ianya sudah memadai.


2) Mazhab Maliki

Ulama Malikiyyah berkata, jika Makruh hukumnya jika sujud syukur apabila mendengar berita yang baik, atau terhindar dari bencana seperti tsunami, gempa dan lain-lan. Yang menjadi amalan sunnahnya ialah melakukan solat 2 rakaat. Ini merupakan amalan penduduk Madinah al-Munawwarah. Namun seorang ulama dalam Mazhab Maliki membolehkannya bedasarkan hadis dari yang sama dalam Mazhab Hanafi, hadis dari Abu Bakrah ( hadis ini menurut Imam at-Tirmizi ialah hadis hasan gharib).


3) Mazhab Syafie

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Ulama Mazhab Syafie berpendapat bahawa Sujud Syukur bukan termasuk di dalam solat. Sujud Syukur sunnah dilakukan ketika mendapat berita yang baik, atau nikmat yang besar seperti, mendapat zuriat, naik gaji, atau terhindar dari bencana seperti banjir besar, atau serangan pengganas dan sebagainya. 

Keadahnya adalah sama seperti sujud tilawah. Menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie, boleh melakukan Sujud Syukur menggunakan isyarat jika sedang memandu, atau dalam keadaan lain yang menghalang ia dari sujud di tanah. Ulama Syafie bersandarkan dengan hadis dari Abu Daud dengan sanad yang hasan. 


4) Mazhab Hanbali

Kitab Mughnii menjelaskan dalam Mazhab Hanbali Sujud Syukur merupakan amalan sunnah, sama seperti Mazhab Syafie, antara dalil mereka ialah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq bersujud setelah tentera Islam menakluki Yamamah. Tidak boleh bersujud syukur ketia sedang solat, jika melakukannya juga maka batal solatnya kerana sujud syukur bukan sebahagian dari gerakan solat, kecuali jika ia terlupa, atau tidak tahu akan larangannya.

Wallahualam.