Orang yang sedang bermusafir samada musafirnya itu urusan agama ataupun dunia, atau dalam perjalanan, telah diberi keringanan oleh Allah dalam melakukan Ibadat solat. Allah telah memberi hadiah kepada umat Nabi Muhammad yang sedang bermusafir untuk mengurangkan bilangan solat mereka, ia juga dipanggil Qasar. Disini akan diberi penerangan berkaitan Solat Qasar, dan pandagan-pandagan ulama serta mazhab-mazhab lain yang juga turut diterima pakai oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pembaca juga boleh untuk mengambil sebagai satu pegangan atau hanya sebagai pengetahuan, tidak perlu untuk taksub terhadap satu pandangan sahaja.
Rukhsah yang diberikan Allah untuk menqasarkan solat ini secara umumnya telah diterangkan Allah di dalam Al-Quran:
وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة
إن خفتم أن يفتنكم الذين كفروا إن الكفرين كانوا لكم عدوا مبينا
Maksudnya: " Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa memendekkan (menqasar) solat kamu, jika takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu"
(Surah An-Nisa': 101)
Di dalam ayat tersebut, Allah memberi keringanan untuk menqasarkan solat jika hanya takut di serang orang kafir, walaubagaimanapun "TAKUT" bukanlah menjadi syarat untuk menqasarkan solat, ini bedasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ya'la bin Umayyah:
" Aku bertanya kepada Umar Al-Khattab: ' Aku melihat orang-orang masih menqasarkan solat, sedangkan Allah berfirman "jika takut diserang oleh orang-orang kafir", dan bukankah rasa takut itu sudah lenyap?'
Umar menjawab: " Apa yang menghairankamu itu, sama seperti apa yang pernah aku hairankan, lalu aku bertanya kepada Rasulullah, dan baginda menjawab:
صدقة تصدق الله بها عليكم فاقبلوا صدقته
Maksudnya: "itu merupakan sedekah dari Allah untuk kamu semua, maka terimalah sedekahnya"
(Hadis riwayat : Jamaah)
Ibnu Umar juga pernah ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab " Rasulullah adalah sebaik-baik teladan untuk kamu"
Manakala Aisyah pula telah meriwayatkan: " Solat itu diwajibkan dua rakaat dua rakaat ketika di Mekkah, Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah Solat yang dua rakaat ditambah lagi dua, kecuali Solat Maghrib kerana ia merupakan witir untuk siang hari, dan Solat Subuh kerana bacaan dalam Subuh adalah panjang. Jika Rasulullah bermusafir, baginda akan mengerjakan solat sebagaimana ketika difardhukan pada awalnya, iaitu di Mekkah"
( Hadis riwayat: Baihaqi, Ahmad, Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah )
Ibnu Qayyim berkata: Ketika mula bermusafir, Rasulullah menqasarkan solat yang empat rakaat dengan menjadikannya dua rakaat, hingga beliau kembali ke Madinah. Tidak ada riwayat yang mengatakan bahawa beliau membuat empat rakaat.
Jumhur Ulama semuanya sepakat bahawa Rasulullah menqasarkan solat, dan sepakat dalam hal ini, akan tetapi mereka berbeza pendapat dalam hukum menqasarkan solat.
Menurut beberapa orang sahabat seperti, Ali, Amr, Jabir, Ibnu Abbas, Ibnu Masud, Abdullah bin Umar hukum menqasarkan solat ketika musafir hukumnya wajib, dan hukum ini juga merupakan pendapat Mazhab Hanafi.
Mazhab Maliki pula berpendapat hukumnya adalah Sunat Muakkad, malah menqasarkan solat ketika musafir lebih Muakkad berbanding Solat berjemaah yang tidak qasar. Jika orang yang bermusafir tidak berjumpa dengan imam yang qasar juga, lebih baik dia solat sendiri dengan qasar, makruh hukumnya berimam dengan orang yang bermukim.
Mazhab Syafie dan Hanbali pula berpendapat hukumnya adalah Mubah (harus), tetapi menqasar solat adalah lebih utama, dan lebih baik jika dibandingkan dengan tidak qasar.
Berapakah jarak yang dibolehkan untuk Qasar solat?
Secara umumnya kita tahu bahawa orang yang musafir dibenar untuk qasar, jama' serta berbuka. Namun tidak ada satu dalil atau hadis yang memberitahu jarak musafir ini secara khusus.
Dalam kitab Fathul Bari dinyatakan bahawa Ibnu Munzir telah menyenaraikan 20 pendapat berkaitan perkara ini. Namun disini akan diterangkan beberapa pendapat yang paling kuat.
- Pendapat yang pertama : Jaraknya ialah 1 Farsakh / 3mil = Lebih kurang 5KM. Keterangannya:
Dari Yahya bin Yazid: Aku bertanya kepada Anas bin Malik mengenai menqasar solat, beliau menjawab: " Rasulullah melakukan solat dua rakaat (menqasar) jika sudah berjalan sejauh 3 mil, atau 1 farsakh"
(Hadis riwayat: Muslim, Ahmad, Abu Daud, Baihaqi)
Al-Hafiz Ibnu Hajr Al-'Asqalani juga menyebut dalam Fathul Bari bahawa hadis di atas merupakan hadis yang paling sahih dan yang paling jelas dalam menjelas jarak yang diperbolehkan Qasar. Terdapat hadis yang mempunyai makna yang sama juga yang diriwayatkan oleh Sa'id bin Mansur dari Abu Sa'id Al-Khudri.
2.
Pendapat yang kedua: Tidak ada jarak yang khusus. Keterangannya:
Ulama-ulama pendapat yang kedua ini pula tidak menetapkan jarak yang khusus, seseorang itu boleh untuk menqasarkan solat sekiranya ia menempuh satu jarak dengan tujuan untuk musafir (perjalanan), atau boleh juga dikatakan seseorang yang melakukan perjalan yang keluar dari negerinya, dan secara zahirnya sebagai manusia dapat dikatakan bahawa ia sedang dalam perjalanan atau musafir. Maka ia boleh menjamakkan solatnya. Pendapat ini dipegang oleh Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyin, dan Imam As-Syaukani.
Ibn Abi Syaibah berpendapat jarak minima untuk qasar solat ialah 1mil, atau lebih kurang 1.7KM, pendapat ini juga dipegang oleh Ibn Hazm. Manakalah Imam As-Syaukani pula berkata: " Sesiapa yang keluar dari daerah atau negerinya menuju ke suatu tempat yang mana dianggap perjalannya sebagai musafir (iaitu orang yang menempuh perjalanan), maka harus baginya untuk menqasarkan solat walaupun jaraknya kurang dari 1 barid". 1 bari = lebih kurang 22KM
Sekiranya ingin berpegang kepada pendapat ini perlu diingati bahawa Allah maha mengetahui walaupun apa yang terdetik di dalam hati kita. Jadi jika ingin menqasar solat dengan jarak yang dekat pastikan ianya benar-benar di dalam musafir, jangan sesekali mempermainkan Allah, kerana Allah maha mengetahui.
3.
Pendapat yang ketiga:
2 atau 3 Marhalah: 1 Marhalah = 2 Barid = 8 Farsakh = 44.7 KM. Keterangannya
:
Menurut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, jarak qasar ialah 2 marhalah. Ini menurut hadis dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda " Wahai orang Mekkah, janganlah kamu menqasar solat kurang dari 4 barid dari Mekkah ke asfaan"
(Hadis riwayat Tabraani, Darul Qutni. Hadis Mauquf)
Ibnu Syaibah pula berkata: Qasar dalam solat ialah pada jarak perjalanan sehari semalam. Jarak perjalan yang dimaksudkan ini ialah dengan berjalan secara normal atau menaikin unta dengan keadaan biasa. Dan jika diukur jaraknya lebih kurang 4 barid, iaitu lebih kurang 88-89 KM.
Manakala Imam Abu Hanifah pula berkata: Jarak yang dibolehkan untuk qasar adalah jarak perjalanan 3 hari 3 malam, atau lebih kurang 3 Marhalah iaitu lebih kurang 120KM.
Kesemua jarak-jarak ini terpakai dalam apa jua cara, samada berjalan, menaiki kereta, kapal terbang, mahupun kapal laut. Jarak-jarak ini juga boleh diguna untuk berbuka bagi orang yang bermusafir. Seperti yang sudah dipesan, jangan sesekali cuba mempermain atau perbodohkan Allah, kerana Allah tahu apa niat kita yang sebenar.
Bilakah dibolehkan untuk mula dan akhiri menqasarkan Solat?
Jumhur ulama sepakat bahawa dibolehkan mula qasar apabila keluar daripada kawasannya, atau daerahnya. Ini merupakan syarat Qasar. Ibnu Munzir mengatakan: Aku tidak jumpa satupun bukti yang menunjukkan Rasulullah dalam perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah.
Anas pula berkata: Aku mengerjakan solat zuhor bersama Rasulullah di Madinah 4 rakaat, dan di Dzul Hulaifah 2 rakaat.
(Hadis riwayat: Jamaah)
Orang yang bermusafir tidak boleh menqasar lagi setelah tiba di kawasannya, atau menurutnya ia merasakan sudah berada di kawasannya. Jika di kawasan perkampungan, tidak boleh qasar jika sudah melintasi rumah pertama di daerahnya.
Berapa lamakah orang bermusafir boleh menqasarkan solat?
Masalah ini juga mempunyai pelbagai pendapat. Sebelum menerangkan pendapat-pendapat ulama akan diterangkan dahulu amalan Rasulullah dan para sahabat.
Dalam kitab Fiqh Sunnah, antara amalan Rasulullah dan sahabat yang diterangkan - Menurut Ibnu Qayyim, Rasulullah berada di Tabuk selama 20 hari, dan terus melakukan Qasar serta tidak pernah mengarahkan para sahabat untuk tidak qasar solat walaupun menetap lebih lama dari itu. Hadis dari Jabir bin Abdullah: Rasulullah bermukim di tabuk selama 20 hari dan selalu menqasarkan solatnya.
(Hadis riwayat Ahmad)
Dalam sahih Bukhari juga ada menyebut hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah menetap dalam salah satu perjalannya selama 19 hari, dan selalu mengerjakan solat 2 rakaat. Kerana itu jika kami bermusafir selama 19 hari kami akan menqasarkan solat, dan jika lebih dari itu kami tidak lagi Qasar.
Amalan sahabat pula, Ibnu Umar pernah bermusafir dan menetap selama 6 bulan, dan hanya menqasarkan solat. Begitu juga dengan Anas bin Malik yang menetap di syam selama 2 tahun dan melakukan qasar. Ada juga sahabat yang lain melakukan hal yang sama ketika di Ramhurmuz selama 7 bulan.
Menurut pendapat Ulama pula:
Imam Malik dan Syafie berpendapat jika seseorang itu berniat ingin menetap selama lebih dari 4 hari ia perlu solat seperti biasa, jika kurang dari itu dibolehkan untuk qasar.
Imam Abu Hanifah pula jika berniat ingin menetap selama 15 hari perlu solat seperti biasa, jika kurang dibolehkan qasar. Ini juga pendapat Laits bin Saad, juga ada riwayat ini pendapat yang dipegang oleh 3 orang sahabat : Umar, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas
Ali bin Abi Talib pula mengatakan jika lebih 10 hari tidak boleh qasar, dan kurang dari itu dibolehkan.
Menurut Aisyah dibolekan qasar selagi mana ia belum menyimpan bekalan (selagi belum mengemas atau menyimpan barang-barang seperti bermukim)
Manakala kesemua Imam 4 Mazhab sepakat bahawa, jika seseorang yang tidak pasti berapa lama hendak menetap ketika musafir kerana ada sesuatu untuk diselesaikan dan ia masih menunggu dan dan berniat " Aku akan pulang mungkin hari ini atau esok", selagi ia berada dalam keadaan ini iaitu tidak pasti bila mahu pulan ia dibolehkan untuk Qasar. Tetapi Imam syafie membuat pengecualian dalam satu pendapatnya, jika orang yang di dalam keadaan sedemikian ia boleh menqasar sehingga 17 atau 18 hari, kemudian jika masih belum pulang perlu solat seperti biasa.
Ibnu Munzir mengatakan: Sudah ada Ijma' ulama bahawa seseorang yang bermusafir boleh untuk menqasarkan solatnya selagi ia tidak bermaksud untuk bermustatutin, walaupun selama bertahun-tahun.
Kesimpulannya, terdapat banyak pendapat berkaitan solat Qasar, boleh menerima mana-mana pendapat ulama dan tidak perlu untuk kita taksub terhadap satu pandangan. Kerana tidak terdapat hadis yang khusus dari Rasulullah terutama dalam bab jarak dan bilangan hari qasar. Seperti yang diberitahu, qasar merupaka sedekah dari Allah, terimalah kemudahan dari Allah ini, TETAPI jangan sesekali mempermudahkan, dan permainkan Allah.
ALLAH Maha Mengetahui.
Wallahualam